Sunday, November 27, 2011

PAS Sabah adakan lawatan muhibbah ke negeri Pakatan Rakyat

KUALA LUMPUR, 28 Nov: Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah (DPPNS) hari ini mengadakan lawatan kerja seminggu ke negeri-negeri yang dipimpin oleh kerajaan Pakatan Rakyat.

Lawatan yang berteraskan muhibbah dan semangat setiakawan itu akan mengadakan perbincangan dua hala mengenai tawaran Pakatan Rakyat, pilihan raya dan kerjasama ekonomi.

Ketua Penerangannya, Mohd Zulfikar Abd. Mijan berkata, PAS Sabah sedang berusaha membawa keluar rakyat di negeri itu dari kepompong kekuasaan dan kerakusan pemimpin di bawah kerajaan Barisan Nasional.

“Kita mengadakan lawatan ke negeri-negeri pimpinan Pakatan Rakyat ini, bukan sahaja akan mengambil manfaat keseluruhan peluang malah akan membincangkan juga mengenai apa tawaran kita selaku parti dalam komponen Pakatan Rakyat kepada rakyat Sabah,” jelasnya.

Menurutnya, generasi muda pada hari ini sudah mula sedar dengan suasana perubahan yang turut dirasai oleh rakyat Sabah yang berada di semenanjung.

“Kita melihat ini merupakan mood perubahan dalam diri rakyat, terutama golongan muda.

“Mereka tidak sekadar melihat dan menonton apa yang dihidangkan... tapi apa yang mereka lakukan ialah mencari sebanyak mana sumber isu untuk dijadikan pelengkap kepada sesuatu dakwaan,”  ujarnya.

Kata Zulfikar, lawatan ini juga secara langsung akan membincangkan persediaan menghadapi pilihanraya yang akan berlaku pada bila-bila masa.

“Kesediaan pilihanraya pada tahun ini merupakan sesuatu yang amat mencabar.

“Kita akan menggunakan seluruh medium penyebaran yang ada untuk menyebarkan apa sahaja maklumat yang benar mengenai Sabah dan Malaysia kepada rakyat,” katanya.

Katanya, beliau juga tidak menolak kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini bahawa pilihanraya pada kali ini merupakan yang paling sengit dalam sejarah pilihanraya umum.

“Pemuda akan memberikan saingan sengit kepada pasukan lawan dengan perlawanan satu lawan satu.

“Kita juga percaya, mereka tidak senang dengan kerja kita. Tapi, apa salahnya kalau kita bekerja dan bersaing secara sihat,” katanya yang juga Ketua Penerangan PAS Sepanggar.

Lawatan yang disertai Ketua Pemuda, Lahirul Latigu bersama kepimpinan PAS Sabah itu bermula di Selangor pada 26 Nov lalu hingga 29 Nov akan turut berkunjung ke Kedah (30 Nov – 1 Dis) dan berakhir di Kelantan (2 Dis – 3 Dis).

Perutusan Hijrah 1433




Ketua Penerangan Pemuda PAS Sabah, Sdr Mohd Zulfikar Abdul Mijan menyeru kepada semua masyarakat di Sabah agar melakukan satu perubahan pada PRU ke 13 akan datang sempena kedatangan hijrah 1433.

Zulfikar mewakili saf kepimpinan Dewan Pemuda PAS Sabah mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan salam maal hijrah 1433 kepada semua masyarakat di Sabah khususnya dan rakyat Malaysia umumnya.

Beliau menjelaskan, hijrah sebenarnya satu konsep yang seerti dengan perubahan dan ia boleh di aplikasikan kepada semua tanpa mengira latar belakang agama dan suku kaum di Sabah.

Kata Zulfikar, hijrah atau perubahan di Sabah ini adalah sesuatu yang mesti dilakukan memandangkan suasana pembangunan di negeri ini yang masih jauh ketinggalan dalam pelbagai aspek kehidupan.

Beliau mengambil contoh bagaimana umat Islam di Makkah ketika sebelum hijrah hidup dalam keadaan serba kemunduran samada dari sudut ilmu ataupun teknologi. Apabila hijrah berlaku, umat Islam menjadi kuat dan digeruni lawan serta mampu mencabar kuasa besar dunia ketika itu.

Jelas beliau lagi, hijrah bukan sahaja sambutan yang penuh meriah tetapi apa yang lebih penting iaitu perlaksanaan hijrah itu sendiri. Jika selepas 50 tahun merdeka masyarakat di Sabah masih banyak ketinggalan, maka sudah tentu perubahan mesti dilakukan.

Perubahan ini kata beliau sudah tentu memerlukan pengorbanan yang tidak sedikit daripada semua masyarakat di Sabah. Jika tidak, negeri ini tidak akan dapat menikmati kemakmuran pembangunan hasil daripada khazanah buminya yang kaya dengan sumber semulajadi.

Apa ertinya 50 merdeka tetapi tanah-tanah milik rakyat dirampas tanpa hati perut dan hasil kekayaan muka buminya dikaut oleh pemimpin-pemimpin Umno-BN yang tamak harta dan kuasa tanpa memperdulikan nasib rakyat, persoal Zulfikar.

Justeru kata beliau, PRU ke 13 ini adalah peluang terbaik masyarakat negeri ini untuk melakukan perubahan dengan menukar kerajaan Barisan Nasional kepada kerajaan Pakatan Rakyat.
Unit Media dan IT, Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah tidak bertanggungjawab dengan kehilangan atau kerosakan disebabkan maklumat di dalam laman blog ini

hari ini

asal bukan umno

asal bukan umno

keamanan

borang keahlian

senyum

senyum

ARTIKEL

 

pemuda pas sabah. Copyright 2011 All Rights Reserved