Monday, November 23, 2009

PEMUDA PAS DESAK PEGUAM NEGARA DIHADAP SEGERA KE TRIBUNAL


KENYATAAN MEDIA
21 NOVEMBER 2009

DEWAN PEMUDA PAS PUSAT

PARTI ISLAM Se MALAYSIA (PAS)

IMPLIKASI DARI DUA KEPUTUSAN MAHKAMAH TINGGI:

PEMUDA PAS DESAK PEGUAM NEGARA DIHADAP SEGERA KE TRIBUNAL


1. Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) memandang serius implikasi dari dua keputusan Mahkamah Tinggi yang terbaru, iaitulah keputusan di dalam kes Semakan Kehakiman terhadap Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) berhubung isu kedudukan ADUN Kota Siputeh, Kedah dan juga kes Saman yang dikemukakan oleh Ahli Majlis Perbandaran Kajang, Tan Boon Wah terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

2. Keputusan dari kedua-dua kes tersebut, yang berakhir dengan ketewasan di pihak SPR dan SPRM yang diwakili oleh Jabatan Peguam Negara, jelas menunjukkan bagaimana Peguam Negara selaku penasihat undang-undang utama kepada kerajaan sebagaimana yang diperuntukkan di dalam Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan, telah gagal menjalankan tugas dengan baik dalam memberikan nasihat perundangan yang tepat dan selaras dengan kehendak undang-undang yang sebenar hingga memalukan dan menjejaskan imej kerajaan.


3. Timbul persoalan apakah nasihat undang-undang oleh Peguam Negara, diberikan secara profesional ataupun didasari oleh sentimen politik semata-mata untuk mempertahankan tindakan kerajaan dan agensinya, meskipun jelas tindakan tersebut menyalahi peruntukan undang-undang bertulis. Lihat sahajalah bagaimana nasihat yang diberikan oleh kepada SPR berkaitan dengan pentafsiran Perkara 51 Undang-Undang Tubuh Negeri Kedah sedangkan peruntukan tersebut sudah sebegitu jelas dan terang di mana seseorang ADUN Kedah yang gagal menghadiri mesyuarat DUN dua-dua kali berturut-turut tanpa mendapat kebenaran dari Speaker, secara automatik hilang kerusinya.


4. Meskipun jawatan Peguam Negara dilantik oleh Yang Dipertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri, namun jawatan tersebut tetap merupakan public office yang mesti mempunyai akauntabiliti moral terhadap rakyat Malaysia. Maka, di dalam keadaan ini di mana Peguam Negara gagal menjalankan tugas dengan baik hingga mendatangkan kerugian kepada kerajaan yang kosnya turut ditanggung oleh rakyat, maka DPPP merasakan adalah wajar secara moralnya untuk Peguam Negara meletakkan jawatan serta merta.


5.. Di dalam amalan biasa, mana-mana peguam yang memberikan nasihat perundangan yang salah dan silap kepada anakguamnya, maka ianya dianggap sebagai suatu professional negligence (kecuaian profesional) yang membolehkan anakguam tersebut mengambil tindakan undang-undang terhadap peguam yang terbabit. Namun, di dalam situasi yang membabitkan Peguam Negara ini, sekiranya Peguam Negara enggan melepaskan jawatannya, maka DPPP mendesak supaya Peguam Negara dihadapkan segera ke Tribunal yang dibentuk berdasarkan peruntukan yang sama sebagaimana proses pemecatan hakim Mahkamah Persekutuan
.

HJ NASRUDIN HASSAN TANTAWI

Ketua

Dewan Pemuda PAS Pusat.

Web rasmi http://pemuda.pas.org.my

INTERBIU EKSKLUSIF: Tuan Ibrahim Tuan Man



Mursyidul Am berhak tegur pimpinan PAS : Tuan Ibrahim Tuan Man

MUQADIMAH: Jawatan Kuasa Disiplin PAS sudah mengadakan mesyuarat khas pada Sabtu, 31 Okt lalu. Dalam mesyuarat itu, beberapa dokumen yang dibekalkan dan apa yang dibangkitkan dalam Mesyuarat Khas Jawatan Kuasa PAS Pusat, 28 Oktober lalu sudah diteliti. Berdasarkan maklumat itu, Jawatan Kuasa Disiplin parti akan menghantar surat kepada beberapa nama untuk tujuan pembelaan mereka. Respons surat itu mesti dikembalikan kepada jawatankuasa ini dalam tempoh 14 hari dari tarikh surat tersebut. Menyingkap lebih lanjut, wartawan ANIS NAZRI menghubungi Naib Presiden PAS, merangkap Pengerusi Jawatan Kuasa Disiplin PAS Pusat, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man bagi mendapatkan butiran lanjut.

HARAKAH: PAS memutuskan untuk mengadakan seminar khas yang dinamakan 'Seminar Memperkasakan Parti' bagi menggantikan Mesyuarat Luar Biasa (EGM), sedangkan ia dua benda yang berbeza. Mengapa memilih seminar berbanding EGM?
DATO' TUAN IBRAHIM TUAN MAN: Pertamanya, apabila kita berbincang dalam mesyuarat khas tempohari, perkara yang dibangkitkan itu bukanlah perkara yang memerlukan EGM kerana ia tidak melibatkan pindaan perlembagaan, juga tidak melibatkan hilangnya kepercayaan kepada pemimpin, yang mendesak supaya diadakan EGM.
Ia hanya perkara biasa, yang melibatkan dalam pengurusan parti. Sebab itu kita fikir memadai sahaja dengan mengadakan seminar untuk mengukuhkan parti dan membuat penegasan terhadap apa yang dipersetujui sebelum ini, iaitu mengukuhkan Pakatan Rakyat.
Jadi, tiada keperluan untuk mengadakan EGM dan Tuan Guru Mursyidul Am pun setuju tidak perlu EGM. Bila kita bincang, tanya balik dengan Mursyidul Am, ternyata ia melibatkan soal disiplin yang mungkin berpunca kepada kenyataan dalam tulisan-tulisan, blog dan ianya memang melibatkan soal disiplin.

Bagaimana nama-nama yang dibangkitkan itu?
Kalau tengok nama-nama yang dibangkitkan itu, Setiausaha Agung (Dato' Mustafa Ali), Pesuruhjaya PAS Selangor (Dato' Dr Hassan Ali). Ini nama-nama yang dilantik, bukan dipilih dalam muktamar.
Jadi, tiada keperluan untuk EGM. Mungkin kalau dalam mesyuarat khas tempohari, sebulat suara minta diubah (pemimpin tertentu) pada Dato' Presiden, mungkin dia boleh buat pertukaran. Kedua-dua yang dibangkitkan itu dilantik, bukan dipilih.
Nama lain, iaitu Presiden (Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang). Apabila kita 'check' semula dengan Mursyidul Am, beliau hanya sebut istilah yang digunakan (Dr) Aziz Bari sebagai 'kapten'.
Jadi, mungkin dia beranggapan kapten itu Presiden, mungkin Timbalan Presiden (Ustaz Nasharuddin Mat Isa). Tiada nama khusus diberikan sebagai 'kapten' itu. Nik Aziz sendiri pun setuju untuk adakan seminar, malah menegaskan dia berpuas hati dengan mesyuarat khas tersebut.
EGM dilihat sebagai jalan keluar bagi menyelesaikan kemelut dalam PAS. Seminar pula dilihat lebih terbuka kepada umum. Adakah ia mampu menyelesaikan masalah dalaman PAS ini?
Seminar ini melibatkan sebahagian besar pimpinan parti, tetapi kita mengundang beberapa tokoh luar untuk memberi pandangan. Yang hadir, ialah pimpinan parti. Hanya pembentangan dari ahli luar.
Penyertaannya dilihat mirip muktamar, tetapi untuk perbincangan ia lebih terbuka. Maknanya kita boleh mendengar pandangan orang luar. Itu lebih baik untuk kita melihat secara menyeluruh. Oleh kerana kita hendak memperkasakan parti, maka ia melibatkan pemimpin.
Dalam pada itu, saya yakin dengan seminar ini, ia boleh menyelesaikan kemelut yang ada.. Sebagaimana dalam mesyuarat khas itu ada menyebut perkara yang perlu tindakan iaitu mengadakan seminar dan merujuk ke peringkat jawatan kuasa disiplin. Jadi, mungkin ada yang buat teguran, ada yang kena rujuk ke jawatan kuasa disiplin.
Sesetengah pihak berpendapat, seminar itu lebih kepada pembinaan 'public opinion' atau membentuk tanggapan ahli bawahan terhadap pimpinan parti. Sedangkan masalah itu berlegar di kalangan pimpinan parti. Apa respons Dato' terhadap pandangan tersebut?
Seingat saya tidak. Itu tidak betul. Kita harus merujuk kepada isu. Kalau sekiranya yang dikatakan boleh diselesaikan melalui EGM, contoh, tetapi bila fikir balik, nilai balik... tiada apa-apa yang hendak di'EGM'kan.
Tiada 'point' untuk adakan EGM. Jadi, kalau tidak puas hati, dalam PAS sudah ada saluran tertentu untuk menyatakan rasa tersebut. Jadi kena gunakan saluran yang sedia ada. EGM ini diadakan setelah semua saluran yang digunakan gagal menyelesaikan masalah.
Yang tidak puas hati ini pun kita kena tengok, kadang-kadang kalau penulisan dalam blog. Adakalanya ia hanya mencetuskan idea. Biasalah... ada golongan yang sentiasa tidak berpuas hati. Kita buat ini, dia rasa tidak betul. Kita tidak buat pun, dia tidak puas hati. Golongan ini hanya cuba mencari kesempatan di kalangan keriuhan yang ada.

Berhubung isu 'beberapa nama' diseret ke Jawatan Kuasa Disiplin yang diketuai Dato' sendiri. Setakat ini, sejauh mana siasatan terhadap mereka dijalankan?
Kita sudah mengadakan mesyuarat khas pada Sabtu, 31 Okt lalu. Dalam mesyuarat khas disiplin itu, kita sudah meneliti beberapa dokumen yang dibekalkan dan apa yang dibangkitkan dalam mesyuarat khas tempohari.
Berdasarkan maklumat itu, kita akan menghantar surat kepada beberapa nama untuk tujuan pembelaan mereka. Kita bagi masa 14 hari dari tarikh surat tersebut diterima, jadi mereka perlu menghantar maklum balas sesegera mungkin.
Selepas itu, kita akan teliti sama ada terdapat kes atau tidak, kemudian dari itu barulah ada tindakan-tindakan berikutnya diambil.
Walaupun ada keperluan untuk kita segerakan isu-isu yang berbangkit, tapi dari sudut keadilan, kita harus berlaku adil kepada semua. Bukan hendak 'pressure' hingga mengetepikan elemen keadilan, sama ada kepada yang dituduh dan yang menuduh.

Boleh Dato' sebut mereka yang dihantar surat itu?
Polisi kita, kita tidak akan dedahkan nama-nama tersebut. Sebab persepsi ini berbagai-bagai. Keseluruhannya dalam tiga hingga lima orang yang disiasat, melibatkan seluruh negara. Dalam kes di Selangor, adalah beberapa nama. Lebih baik, tidak payah disebutkan nama.
Cuma, saya hendak ingatkan di sini. Kepada sesiapa yang terlibat, jika sudah menerima surat, lebih baik respons segera. Itu lebih baik dan memudahkan siasatan berakhir dengan lebih cepat.
Merujuk kepada dokumen-dokumen yang diterima pihak Dato'. Adakah dokumen tersebut melibatkan disiplin pemimpin-pemimpin tertentu semata-mata, atau ada juga berkaitan dengan dakwaan terdapat pemimpin yang berhasrat untuk mengusahakan Kerajaan Perpaduan (UG)?
Kedua-duanya ada. Jadi kita akan teliti. Prosedur jawatan kuasa disiplin ini, sebarang aduan dibuat melalui Setiausaha Agung akan diangkat ke jawatan kuasa dispilin. Kadang-kadang, yang diadukan itu tidak melibatkan soal disiplin parti atau ahli, tetapi lebih kerana kelemahan cawangan, jadi kita akan teliti semua aduan tersebut untuk dirujukkan ke jawatan kuasa disiplin parti.
Dato' katakan tadi, ada dokumen berkaitan disiplin dan juga dakwaan berkaitan Kerajaan Perpaduan (UG). Andai kata, ada kes melibatkan UG ini, apakah cadangan untuk mengadakan EGM akan dibangkitkan kembali?
Saya fikir tidak, kerana dalam perlembagaan parti menjelaskan mana-mana yang boleh menjejaskan nama baik parti, ada peruntukan khas untuk dikenakan tindakan. Tidak perlu EGM, tidak perlu.

Isu UG ini pernah ditutup suatu ketika dahulu, dan Dato' sendiri pernah mengeluarkan kenyataan sesiapa yang membangkitkan isu ini akan diambil tindakan disiplin. Jadi, dalam hal ini adakah Dato' Mursyidul Am akan dikenakan tindakan?
Dalam hal ini, kita menghormati Dato' Mursyidul Am. Cuma saya fikir, dalam isu ini kenyataan beliau tidak disambut dalam konteks Kerajaan Perpaduan. Secara umumnya saya lihat tiada yang sambut isu ini untuk mengangkat dan membesarkan kembali isu UG ini.
Kita pun selalu mengadakan kunjung hormat terhadap Mursyidul Am. Beliau adalah pemimpin yang dihormati dan disanjungi. Dia berhak menegur mana-mana yang dia rasakan tidak betul atau bimbang.

Dalam menghadapi kemelut ini, apa nasihat Dato' kepada ahli-ahli PAS bagi meredakan keadaan?

Bagi saya dalam konteks ahli parti, ukhuwah jamaah harus dibina. Kadang-kadang memang akan ada isu yang melanda parti. Apabila ia berlaku, kita kenalah mengutamakan akhlak jamaah. Perlu hormat pandangan orang lain supaya akhlak itu sentiada terpelihara
Unit Media dan IT, Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah tidak bertanggungjawab dengan kehilangan atau kerosakan disebabkan maklumat di dalam laman blog ini

hari ini

asal bukan umno

asal bukan umno

keamanan

borang keahlian

senyum

senyum

ARTIKEL

 

pemuda pas sabah. Copyright 2011 All Rights Reserved