Tuesday, October 25, 2011

Penindasan kerajaan terhadap apprentices TLDM dibongkar

KOTA KINABALU, 25 Okt: Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah (DPPNS) hari ini mendedahkan penyelewengan dan penindasan kerajaan Malaysia ke atas anggota apprentices Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM).

Menurut Ketua Penerangannya, Saudara Mohd Zulfikar Abd. Mijan, terdapat hampir 1000 anggota apprentices TLDM  dibawah Skim Apprentices Diploma Teknologi Marin (DTM) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai berasa teraniaya kerana tidak diberikan hak dan kebajikan kepada mereka dengan apa yang dijanjikan sebelum ini.

“Ramai anggota tidak diberikan pangkat Petter Officer (PO) dan gaji yang setimpal kepada mereka”, jelasnya kepada sidang media di Pejabat PAS Sabah, Kota Kinabalu pagi tadi.

Tambahnya, terdapat beberapa perkara mengundang rasa tidak puas hati mereka terhadap pengurusan TLDM dalam melaksanakan tanggungjawab kebajikan kepada anggota.

Beliau mendakwa, selain kesemua anggota berkenaan tidak mematuhi kontrak sebenar dalam perkhidmatan, mereka juga tidak diberikan peluang untuk mendapatkan  penjelasan kukuh berkaitan arahan pemberhentian yang lebih awal dari waktunya.

Alasan yang digunakan oleh pihak TLDM untuk menyekat kenaikan pangkat dan menawarkan berhenti sukarela adalah tidak munasabah dengan menggunakan alasan kegagalan penyiapan kapal ronda generasi baru dan lebihan anggota dalam perjawatan.

Pampasan berhenti awal juga tidak komprehensif kerana itu  kesalahan TLDM yang tidak mematuhi kontrak menyebabkan caruman LTAT diterima adalah sikit berbanding anggota lain,” ujarnya.

Beliau menjelaskan, kegagalan pihak TLDM menyiapkan 23 daripada 27 buah baki kapal perang menyebabkan graduan lepasan DTM terpaksa diserapkan ke unit-unit kecil bahagian TLDM dengan tidak mempraktikal secara teknikal berhubung pengajian mereka di UTM.

Penindasan skim berkenaan semakin ketara apabila kesemua mereka tidak diberikan latihan peralihan untuk mempersiapkan diri sebagai orang awam dalam masyarakat.

“Mereka tidak ditawarkan peralihan sekurang-kurangnya 2 atau 3 bulan untuk mempersiapkan diri menjadi orang awam sebagaimana anggota lain,” katanya.

Selain dari itu, kesemua anggota DTM terbabit juga seolah-olah dipaksa dan diugut untuk menandatangani borang perjanjian umpama akujanji untuk tidak mengambil apa-apa tindakan undang-undang terhadap pengurusan TLDM.

“Ini terang-terangan, pihak TLDM adalah dayus dengan memaksa mereka ini tandatangan borang perjanjian. Mereka dipaksa menandatangani bagi menutup salah laku pengurusan TLDM,” tegasnya.

Dakwa Zulfikar, walaupun perkara ini berlaku semasa pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak memegang tampuk Menteri Pertahanan, namun penyelewengan dan penindasan ini katanya, wajar dijawab oleh Datuk Seri Najib dan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi selaku Menteri Pertahanan ketika ini.

Zulfikar menambah, pihaknya akan meneruskan saman keatas pihak TLDM dan Kerajaan Malaysia atas dakwaan penyelewengan dan penindasan tersebut. Walaupun pihaknya sudah mengemukakan saman pemula pada Februari lalu, namun ditolak oleh peguam atas alasan yang tidak munasabah.

Dokumen penyelewengan tersebut juga diserahkan kepada Ahli Parlimen Jerai, Saudara Mohd Firdaus Jaafar untuk didedahkan di Parlimen.

Sidang media tersebut turut dihadiri Ahli Parlimen Jerai yang juga Pengarah Pengguna dan Alam Sekitar Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM), Saudara Mohd Firdaus Jaafar; Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah, Saudara Lahirul Latigu dan pimpinan pemuda PAS Negeri Sabah.

Pemuda PAS Sabah cabar Musa Aman

KOTA KINABALU, 26 Okt: “Jika benar Musa Aman orang Sabah, maka beliau dicabar memberi penjelasan terbaik buat warga Sabah”. Itulah cabaran Pemuda PAS Sabah kepada Kerajaan Negeri khususnya Datuk Seri Musa Aman dalam menangani isu berhubung penjualan tiga buah pulau Sabah yang diiklankan untuk dijual oleh sebuah laman web asing yang berpusat di Kanada.

Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah, Saudara Lahirul Latigu (gambar) berkata PAS mengambil pendirian serius berhubung isu berkenaan memandangkan ianya berkait mengenai kedaulatan dan keselamatan negara khususnya negeri Sabah pada masa kini dan akan datang.

“Kenapa pulau ini menjadi bahan dagangan, sedangkan ianya khazanah berharga kepada sesebuah negeri?”, soalnya kepada sidang media di Pejabat PAS Sabah, Kota Kinabalu, pagi tadi.

Kata Lahirul, PAS memberi tempoh tujuh hari untuk memberi peluang kepada Ketua Menteri, Musa Aman bagi menjawab semua persoalan dan isu berhubung penjualan pulau tersebut

“PAS juga akan membawa isu ini kepada kementerian yang bertanggungjawab serta Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk dibahaskan di Parlimen,” ujarnya.

Tambahnya, kempen “Selamatkan Pulau-Pulau Sabah” yang dilancarkan pada 16 Oktober lalu akan diteruskan ke seluruh Malaysia dengan kerjasama bersama Pemuda PAS Malaysia.

“DPPNS menyeru agar masyarakat turut sama beramai-ramai membantah aktiviti penjualan khazanah negara ini dengan menandatangani petisyen secara online di laman http://www.thepetitionsite.com/1/save-sabahs-islands,” jelasnya.

Kempen mengumpul tandatangan sedang giat diadakan di pusat-pusat membeli belah seluruh Sabah yang kini telah digerakkan oleh seluruh ahli Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah.

Beliau juga mendakwa, isu tanah di Sabah terutama di kawasan pedalaman yang gagal ditangani oleh kerajaan Sabah sebagai punca ketirisan kepimpinan kerajaan pimpinan Musa Aman dalam mentadbir Sabah dengan baik.

Sebaliknya, beliau menganggap sekiranya kerajaan Sabah telus dan ikhlas memperjuangkan hak rakyat maka golongan muda juga seharusnya diberikan hak pemilikan tanah.

Dalam sidang media itu juga, Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah, Saudara Mohd Zulfikar Abd. Mijan pula menempelak Musa Aman yang jangan hanya pandai memerintah tetapi memekakkan telinga apabila berhadapan isu kedaulatan.

“Jangan tahu perintah saja, tapi orang jual pulau dia buat-buat tidak tahu,” sinisnya.

Sidang media tersebut turut dihadiri Ahli Parlimen Jerai, Saudara Mohd Firdaus Jaafar dan kepimpinan Pemuda PAS Sabah.
Unit Media dan IT, Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah tidak bertanggungjawab dengan kehilangan atau kerosakan disebabkan maklumat di dalam laman blog ini

hari ini

asal bukan umno

asal bukan umno

keamanan

borang keahlian

senyum

senyum

ARTIKEL

 

pemuda pas sabah. Copyright 2011 All Rights Reserved