Sunday, October 30, 2011

PAS tuntut penjelasan JHEINS

KOTA KINABALU, 31 Okt: Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah (DPPNS) menuntut penjelasan penuh daripada pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEINS) berhubung aliran perbelanjaan sejumlah RM 1.7 juta yang disalurkan untuk perbelanjaan menaik taraf lima buah sekolah berasrama penuh.

Ketua Penerangannya, Mohd Zulfikar Abd. Mijan mendakwa, berdasarkan Laporan Audit 2010 menunjukkan secara jelas adanya berlaku penyelewangan terhadap sejumlah peruntukkan yang diberikan untuk kerja-kerja menaik taraf sekolah berkenaan.

“PAS mendesak agar dibuat penyiasatan rapi termasuk seluruh cabang dan bahagian dalam JHEINS untuk mengelakkan berlakunya penyelewengan ke atas peruntukkan itu.

“Ini institusi agama, bagaimana peruntukkan tersebut diproses, kemana peruntukkan diagihkan dan apa kesan terhadap penambahbaikan itu berjalan?, soalnya.

Memetik kenyataan Laporan Audit Negara 2010 yang disiarkan di Malaysiakini, sejumlah RM1.7 juta dibelanjakan untuk kerja-kerja naiktaraf di lima buah sekolah berasrama penuh. Namun tinjauan mendapati sama ada kerja-kerja yang dilakukan itu tidak memuaskan atau belum dimulakan meskipun bayaran telah dibuat sepenuhnya.

Beliau berkata demikian semasa Sidang Media selepas perasmian Majlis Konvokesyen PASTI kawasan Kota Kinabalu kali ke-21 yang diadakan di Dewan Saadah, Wisma MUIS Ahad lalu.

Aisyah Mahfuzah dan Nur Nassahel dianugerah pelajar terbaik Ibnu Sina Konvokesyen PASTI Kota Kinabalu

KOTA KINABALU, 31 Okt: Aisyah Mahfuzah Bachotang dan Nur Nassahel Hassan telah dianugerahkan pelajar terbaik (Ibnu Sina) 2011 sempena Majlis Konvokesyen Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) kawasan Kota Kinabalu kali ke-21 yang diadakan di Dewan Sa’adah, Wisma MUIS, Ahad lalu.

Majlis tersebut dirasmikan oleh Ketua Penerangan PAS Negeri Sabah, Hishammudin Sulaiman. Dalam ucapan perasmiannya, beliau menegaskan bahawa anak-anak yang dilahirkan perlu diberikan pendidikan sempurna termasuk menyematkan asas agama.

“Anak-anak ini, jika kita asuh dengan baik maka jadi baik. Agama dalam diri anak-anak perlu disematkan supaya menjadi benteng kepada musuh-musuh akhlak dan peribadi.

“Amat malang sekiranya anak-anak ini dibiarkan tanpa asas agama yang kuat yang akhirnya menjadi mangsa keadaan pada kemudian hari.” katanya.

Seramai 253 pelajar daripada 16 buah PASTI kawasan Kota Kinabalu yang mengambil bahagian telah menerima sijil konvokesyen masing-masing yang disampaikan oleh Hishammudin Sulaiman. Konvokesyen itu yang menampilkan ucapan wakil pelajar oleh Aiman Hakim Suparlan dari PASTI Al-Amal, Likas turut diserikan dengan persembahan nasyid dan pengenalan pengajaran al-Quran menerusi teknik Al-Baghdadi oleh pelajar PASTI Puterajaya dan PASTI Al-Amal.

Turut hadir sempena konvokesyen tersebut ialah Pengarah 1 PASTI zon Pantai Barat, Muhammad Shuaib; Naib Ketua Muslimat PAS Sabah, Faizah Antong; Naib Yang DiPertua PAS Kawasan Sepanggar, Nazri Sulaiman; Pengarah Konvokesyen, Abdul Fakar Shaari dan para ibu bapa pelajar.

Pemuda PAS Sabah gesa kerajaan kaji Akta Tentera 1972

KOTA KINABALU, 30 Okt: Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah (DPPNS) hari ini mengesa dan mencabar kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak untuk meminda dan mengkaji Akta Tentera 1972, yang disifatkan sebagai menzalimi anggota tentera peringkat bawahan.

Ketua Penerangannya, Mohd Zulfikar Abd. Mijan (gambar) mendakwa, Kementerian Pertahanan perlu mengkaji serta membuat pindaan terhadap akta tersebut memandangkan pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) telah diumumkan Perdana Menteri baru-baru ini.

“Akta ini tidak adil kepada anggota tentera kerana bersifat zalim. Akta ini tidak melibatkan kepada pegawai tertinggi,” dakwanya kepada Sidang Media selepas Perasmian Majlis Konvokesyen PASTI Kawasan Kota Kinabalu Kali Ke-21 di Dewan Sa’adah, Wisma MUIS disini pagi tadi.

Beliau menambah, kerajaan perlu melaksanakan undang-undang yang sama rata kepada semua anggota tentera dan tidak tertumpu kepada anggota bawahan sahaja.

Pada 25 Oktober lalu, beliau mendakwa berlakunya penindasan dan penyelewangan terhadap anggota apprentice Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Ketika diminta mengulas isu berkenaan, beliau mendakwa kerajaan sudah menghabiskan berbillion ringgit disebabkan penyelewengan dan penindasan tersebut. Dakwanya, kerajaan dan TLDM perlu memberi penjelasan lanjut dan bukannya berselindung mencari pelbagai alasan.

“Sekiranya kerajaan dan TLDM telus dan bersungguh memperjuangkan hak dan kebajikan anggota tentera, maka PAS mencabar supaya isu ini dijawab dalam masa tujuh hari. Kerajaan tidak perlu khuatir terhadap pendedahan ini,” cabarnya.

Beliau juga meminta agar pihak pengurusan tertinggi TLDM tidak gelabah dan ‘melenting’ kerana penindasan tersebut juga melibatkan kepentingan anggota yang terdiri daripada  golongan belia.

“PAS komited kepada golongan belia. PAS sama sekali tidak mempolitikkan isu ini, kerana PAS sudah sedia maklum sebagai parti yang memperjuangkan hak dan kebajikan rakyat,” jelasnya.

Tambah beliau, walaupun skim berkenaan telah dimansuhkan oleh TLDM dan hampir 200 daripada 1,000 pelatih telah berhenti namun anggota yang berhenti tersebut wajar menerima pampasan dan ganti rugi terhadap penindasan tersebut.

“Mereka ini perlu diberikan pampasan dan ganti rugi. Mereka ini berada dikalangan mereka yang ditindas dan kerajaan yang menindas perlu bertanggungjawab,” ujarnya.

Saturday, October 29, 2011

PAS Sabah bersedia menghadapi pilihanraya

KOTA KINABALU, 30 Okt: PAS Sabah kini menumpukan usaha untuk menawan Sabah yang kini diterajui kerajaan pimpinan UMNO/ Barisan Nasional (BN) dalam Pilihanraya Umum Ke-13.

Ketua Penerangan PAS Negeri Sabah Hishammudin Sulaiman (gambar) berkata, PAS kini bersedia memikul amanah mengurus negeri Sabah daripada BN kerana kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Musa Aman sekarang tidak membawa apa-apa perubahan yang signifikan sejak BN menguasai negeri itu.

“Sudah sampai masanya UMNO/ BN mengangkat bendera putih,” kata Hishammudin dalam Sidang Media selepas perasmian Majlis Konvokesyen PASTI Kawasan Kota Kinabalu di Dewan Saadah, Wisma MUIS disini pagi tadi.

“Kerajaan Sabah dilihat begitu banyak kepincangan dan ketirisan sama ada sektor pentadbiran atau pengurusan. Tidak banyak pembangunan yang dibuat berlandaskan kepada keselesaan rakya ,” tambah Hishammudin lagi.

Beliau yang juga Yang DiPertua PAS Kawasan Pensiangan ini mendakwa kebanyakan janji-janji yang ditaburkan UMNO/ BN kepada rakyat hanyalah seperti menanam tebu dibibir.

“Kita sudah ada negeri contoh seperti Kelantan dan Kedah. Negeri Kelantan sudah diperintah hampir 25 tahun oleh PAS, sudah banyak contoh yang boleh diambil untuk ditiru oleh negeri-negeri yang UMNO/ BN perintah,” ujarnya.

Hishammudin berkata, kepimpinan PAS Sabah sudah mula menggerakkan jentera kawasan sebagai langkah awal mendendang paluan gendang untuk menanti pilihanraya.

"Kita juga telah melancarkan jentera pilihanraya setiap kawasan di Sabah. Itu persediaan awal yang kita buat,” katanya.

Selain itu, Hishammudin juga berkata PAS Sabah akan memberi saingan sengit kepada UMNO/ BN dan tidak akan membiarkan UMNO/ BN berada dalam keadaan selesa setiap masa.

Ketika ditanya mengenai hubungan antara Pakatan Rakyat Sabah, Hishammudin mengatakan bahawa hubungan yang dijalinkan bersama DAP dan PKR sangat baik.

“PAS menyeru kepada semua rakyat, PAS akan menjadi mata, telinga, tangan, lidah dan kepala rakyat untuk mengangkat kehidupan rakyat ke arah kesejahteraan dan keluar dari kepompong kezaliman,” jelasnya.

Tuesday, October 25, 2011

Penindasan kerajaan terhadap apprentices TLDM dibongkar

KOTA KINABALU, 25 Okt: Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah (DPPNS) hari ini mendedahkan penyelewengan dan penindasan kerajaan Malaysia ke atas anggota apprentices Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM).

Menurut Ketua Penerangannya, Saudara Mohd Zulfikar Abd. Mijan, terdapat hampir 1000 anggota apprentices TLDM  dibawah Skim Apprentices Diploma Teknologi Marin (DTM) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai berasa teraniaya kerana tidak diberikan hak dan kebajikan kepada mereka dengan apa yang dijanjikan sebelum ini.

“Ramai anggota tidak diberikan pangkat Petter Officer (PO) dan gaji yang setimpal kepada mereka”, jelasnya kepada sidang media di Pejabat PAS Sabah, Kota Kinabalu pagi tadi.

Tambahnya, terdapat beberapa perkara mengundang rasa tidak puas hati mereka terhadap pengurusan TLDM dalam melaksanakan tanggungjawab kebajikan kepada anggota.

Beliau mendakwa, selain kesemua anggota berkenaan tidak mematuhi kontrak sebenar dalam perkhidmatan, mereka juga tidak diberikan peluang untuk mendapatkan  penjelasan kukuh berkaitan arahan pemberhentian yang lebih awal dari waktunya.

Alasan yang digunakan oleh pihak TLDM untuk menyekat kenaikan pangkat dan menawarkan berhenti sukarela adalah tidak munasabah dengan menggunakan alasan kegagalan penyiapan kapal ronda generasi baru dan lebihan anggota dalam perjawatan.

Pampasan berhenti awal juga tidak komprehensif kerana itu  kesalahan TLDM yang tidak mematuhi kontrak menyebabkan caruman LTAT diterima adalah sikit berbanding anggota lain,” ujarnya.

Beliau menjelaskan, kegagalan pihak TLDM menyiapkan 23 daripada 27 buah baki kapal perang menyebabkan graduan lepasan DTM terpaksa diserapkan ke unit-unit kecil bahagian TLDM dengan tidak mempraktikal secara teknikal berhubung pengajian mereka di UTM.

Penindasan skim berkenaan semakin ketara apabila kesemua mereka tidak diberikan latihan peralihan untuk mempersiapkan diri sebagai orang awam dalam masyarakat.

“Mereka tidak ditawarkan peralihan sekurang-kurangnya 2 atau 3 bulan untuk mempersiapkan diri menjadi orang awam sebagaimana anggota lain,” katanya.

Selain dari itu, kesemua anggota DTM terbabit juga seolah-olah dipaksa dan diugut untuk menandatangani borang perjanjian umpama akujanji untuk tidak mengambil apa-apa tindakan undang-undang terhadap pengurusan TLDM.

“Ini terang-terangan, pihak TLDM adalah dayus dengan memaksa mereka ini tandatangan borang perjanjian. Mereka dipaksa menandatangani bagi menutup salah laku pengurusan TLDM,” tegasnya.

Dakwa Zulfikar, walaupun perkara ini berlaku semasa pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak memegang tampuk Menteri Pertahanan, namun penyelewengan dan penindasan ini katanya, wajar dijawab oleh Datuk Seri Najib dan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi selaku Menteri Pertahanan ketika ini.

Zulfikar menambah, pihaknya akan meneruskan saman keatas pihak TLDM dan Kerajaan Malaysia atas dakwaan penyelewengan dan penindasan tersebut. Walaupun pihaknya sudah mengemukakan saman pemula pada Februari lalu, namun ditolak oleh peguam atas alasan yang tidak munasabah.

Dokumen penyelewengan tersebut juga diserahkan kepada Ahli Parlimen Jerai, Saudara Mohd Firdaus Jaafar untuk didedahkan di Parlimen.

Sidang media tersebut turut dihadiri Ahli Parlimen Jerai yang juga Pengarah Pengguna dan Alam Sekitar Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM), Saudara Mohd Firdaus Jaafar; Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah, Saudara Lahirul Latigu dan pimpinan pemuda PAS Negeri Sabah.
Unit Media dan IT, Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah tidak bertanggungjawab dengan kehilangan atau kerosakan disebabkan maklumat di dalam laman blog ini

hari ini

asal bukan umno

asal bukan umno

keamanan

borang keahlian

senyum

senyum

ARTIKEL

 

pemuda pas sabah. Copyright 2011 All Rights Reserved