Saturday, November 21, 2009

BAI’AH TALAK TIGA, ISU MURAHAN






Oleh: FAIZAL OKADAU

TINDAKAN media massa pro Barisan Nasional (BN) memainkan isu bai'ah talak 3 yang kononnya dijalankan oleh pimpinan PAS bagi menyekat wakil Rakyat PAS melompat parti disifatkan sebagai isu murahan dan tindakan terdesak pimpinan BN setelah melihat istiqamahnya ADUN dan MP PAS dalam memperjuangkan hasrat parti. 

Telah terbukti, BN gagal mempengaruhi dan membeli ADUN dan MP PAS sekalipun dengan habuan jutaan ringgit. Demikian tegas, Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah, Hj Hamzah Abdullah semasa merasmikan Konvokesyen PASTI ke 20, Zon Sandakan.

Hamzah juga menyifatkan isu Bai'ah ini sebagai usaha fitnah mereka yang tidak suka kepada perjuangan Islam dan Islam tegak di muka bumi ini. Banyak persoalan pokok Islam dibiarkan dan diperlekehkan oleh pemimpin UMNO tetapi sibuk menimbulkan isu-isu yang syubhat dan mengelirukan masyarakat. 

Beliau hairan bagaimana manusia boleh patuh kepada hukum solat, haji dan sebagainya akan tetapi menolak undang-undang Allah yang hendak ditegakkan oleh perjuangan Islam. 

"Tindakan manusia menolak hukum Allah seperti hudud dan pemerintahan Islam seolah-olah manusia beranggapan Allah tidak faham akan keperluan hakiki manusia. Bukankah fahaman ini boleh merosakan aqidah seorang muslim?" soal beliau.

Beliau mengakui, perjuangan menegakkan agama Allah pasti terpaksa merintis jalan kepayahan. Kalaulah Rasulullah yang terkenal dengan ‘Al-Amin’nya ditolak dakwahnya oleh bapa saudara dan keluarganya. Apalah sangat kita yang tidak sempurna ini. 

Lagikan Rasullullah pernah disihir, dituduh gila, sukakan perempuan dan segala macam tohmahan yang tidak masuk akal. Kita pejuang biasa yang rendah iman dan serba kekurangan mesti tabah melalui rintangan dan halangan dalam perjuangan menegakkan syiar Islam.

PAS PERSOAL KREDIBILITI SKN ?




Oleh: SALIHIN LADJA MURA

KETUA Pemuda Pas Sabah, Lahirul Latigu mempersoalkan kredibiliti Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Sukarti Wakiman apabila melantik pegawai Skil hakiki S 44 sebagai Pengarah Jabatan Kerajaan Negeri, sedangkan kelayakan pegawai tersebut diragui.

“Adalah keterlaluan jika Kerajaan Negeri melantik pegawai rendah sebagai Ketua Jabatan, seolah-olah tidak ada pegawai yang berkelayakan. Bayangkan pegawai ini hanya berskel S44 tetapi memangku jawatan S48 dan menanggung kerja Skel S54,” tegas Lahirul yang merahsiakan nama dan Ketua Jabatan berkenaan. 

Dalam hal ini, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Sukarti Wakiman mungkin terlepas pandang atau terdapat campurtangan politik sehingga pegawai junior dilantik memangku dan menanggung kerja jawatan kanan sedangkan ramai yang berkelayakan di jabatan berkenaan.

Kecenderungan Kerajaan Negeri Sabah melantik pegawai junior ini sebagai Ketua Jabatan memberikan impak yang begitu ketara kepada operasi dan sistem penyampaian jabatan yang amat penting ini sehingga Jabatan yang sering dikaitkan dengan rasuah ini terus dibelenggu masalah yang serupa.

“Kita kesal kerana Ketua jabatan tersebut gemar mengadakan lawatan ke luar daerah, namun tidak ke pejabat jabatan di daerah berkenaan, sebaliknya banyak menghabiskan masa di rumah urut atau melakukan kegiatan maksiat secara terbuka,” ujar Lahirul yang mendesak agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat tuntutan TNT yang dikemukakan Ketua Jabatan berkenaan kerana dipercayai sebagai tuntutan palsu.

TIADA PERUNTUKAN HOSPITAL QUEEN ELIZABETH?




PAS Sabah merasa kesal dan dukacita kerana kerajaan tidak menyenaraikan Hospital Queen Elizabeth sebagai salah satu Hospital yang diberi keutamaan untuk dinaik taraf dalam belanjawan 2010 yang dibentang oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak di Parlimen baru-baru ini.

Menurut Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah, Mohd Aminudin Aling, keadaan Hospital Queen Elizabeth sekarang amat menyedihkan sekali.

“Pesakit diletakkan dalam keadaan berhimpit-himpit, rapat diantara satu sama lain. Keadaan ini menyebabkan para pesakit dan kakitangan Hospital merasa tertekan dan amat tidak selesa. Jika katil penuh, pesakit akan diletakkan diatas lantai (bertilam)”. kata Aminudin yang juga Pengerusi Lajnah Kebajikan PAS Sabah.

Aminudin mempertikai slogan Gagasan 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan kerana kerajaan Barisan Nasional gagal mendahulukan masalah rakyat berikutan masalah bangunan Hospital Queen Elizabeth yang tidak selamat.

Dalam belanjawan tersebut pada tahun 2010 hospital dalam peringkat pembinaan dan dinaik taraf ialah Kluang, Bera, Shah Alam, Alor Gajah dan Tampoi.

Menara utama, blok podium dan blok forensik Hospital Queen Elizabeth telah diisytiharkan tidak selamat untuk diduduki oleh IKRAM dan JKR Sabah tahun lepas.

“PAS sangat berharap Sabah dan Sarawak juga diberi keutamaan 50 buah klinik yang akan dibuka di kawasan perumahan dengan menyewa rumah kedai bagi membolehkan masyarakat mendapat kemudahan rawatan biasa. Di Semenanjung, jarak satu klinik ke satu klinik hanya beberapa kilometer sahaja, di Sabah jarak satu klinik ke satu klinik berpuluh kilometer malah beratus kilometer.”, katanya

PAS SABAH BANTAH LOJI ARANG BATU!





EXCO Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Anuar Ali menyatakan sokongan PAS terhadap usaha oleh lima gabungan NGO menentang penggunaan tenaga tidak bersih di negeri Sabah.

“PAS menyokong usaha samada individu atau persatuan bagi memelihara ekosistem dan alam sekitar negeri ini daripada sebarang ancaman pencemaran . Usaha ini sangat bertepatan dengan ajaran Islam dimana Al Quran mengajar agar umat manusia jangan melakukan kerosakan di atas muka bumi,” kata Anuar sebagai tanda sokongan lima Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang membentuk satu pakatan yang dikenali sebagai Green Surf (Sabah Unite to Re-Power the future).

Lima NGO tersebut dianggotai Land Empowerment Animals and People (Leap), Partners of Community Organisation (Pacos Trust), Persatuan Perlindungan Alam Sekitar Sabah (Sepa), Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) Cawangan Sabah dan Pejabat WWF- Malaysia Sabah. Pakatan yang telah dilancarkan di Pantai Tanjung Aru ingin mengemukakan satu penyelesaian positif terhadap keadaan tenaga di negeri ini.

Menurut pengasas dan pengarah Green Surf, Cynthia Ong pakatan ini dibentuk bagi memenuhi gesaan dan rayuan orang ramai.

“Pembinaan loji yang menggunakan tenaga arang batu adalah bertentangan dengan semua usaha pemuliharaan dan mengancam kebersihan alam sekitar,” katanya pada sidang akhbar di sini.

“Kami bukan anti kerajaan tetapi kami menyokong usaha kerajaan mencari penyelesaian baru dan kami bersedia memberi sokongan (terhadap penyelesaian tersebut)", kata beliau lagi.

Sebelum ini Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak mengumumkan Felda Sahabat di Lahad Datu sanggup menyediakan tapak alternatif bagi pembinaan loji berkenaan bagi membantu menyelesaikan masalah kekurangan bekalan elektrik yang sedang melanda negeri ini. Namun demikian ianya tertakluk kepada kelulusan laporan kajian kesan terhadap alam sekitar (EIA).

PAS SABAH DESAK SIASAT SIJIL ANAK NEGERI TANPA PILIH BULU




Oleh : RAHIMIN MUSTAPA

TIMBALAN Pesuruhjaya PAS Sabah, Hamzah Abdullah menyambut baik tindakan kerajaan negeri untuk menyiasat penggunaan sijil anak negeri (SAN) yang diperolehi melalui jalan tidak beretika. 

Beliau berkata demikian sebagai reaksi satu laporan akhbar tempatan di mana isu yang berpunca dari perdebatan di DUN Sabah berkaitan seorang ADUN DAP dari Sri Tanjong, Jimmy Wong Sze Phin (DAP) yang didakwa mempunyai taraf Sijil Anak Negeri yang meragukan menyebabkan anggota BN dari UMNO, Datuk Samsuddin Yahya, telah mendesak Polis, Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) menyiasat Adun tersebut.

PAS Sabah menegaskan agar kerajaan tidak memilih bulu dan hanya menjadikan individu yang tidak sehaluan dengan parti Barisan Nasional sebagai mangsa. 

“Ramai dikalangan taukeh-taukeh besar yang memiliki sijil anak negeri palsu bagi membolehkan mereka memiliki tanah adat dan membuka ladang-ladang besar serta membolot projek-projek kerajaan yang dikhususkan untuk Bumiputera serta anak-anak mereka mengikuti pengajian di UiTM tetapi terselamat hanya kerana mereka dikaitkan dengan menyokong UMNO/BN,” ujar Hamzah yang mempunyai banyak bukti berhubung amalan songsang ini.

Berita mengenai pemalsuan dan penggunaan Sijil Anak Negeri Palsu ini kata Hamzah, tersebar secara meluas di laman-laman blog serta akhbar tempatan tetapi pemimpin Barisan Nasional (BN) khususnya UMNO, tidak menunjukkan keghairahan mereka untuk menyiasat jenayah keji ini yang sinonim dengan perangai UMNO. 

"Kalau nak tipu boleh, nak selamat dari disiasat pihak berwajib akibat dari perangai menipu boleh, yang penting mesti sokong UMNO/BN", ujarnya lagi.

Hamzah berkata SAN tidak diperlukan kerana mana-mana anak yang dilahirkan oleh suku kaum yang diiktiraf sebagai anak negeri pastinya nama suku kaum tersebut akan dicatit dalam sijil lahir mereka. Jadi apa perlu untuk memohon SAN? 

"Pengumuman oleh Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Hajiji Mohd Noor tentang pembekuan pengeluaran SAN sebenarnya hanya mendedahkan individu-individu tertentu yang memiliki kuasa, menyalahgunakan proses pengeluaran SAN tersebut kerana dibimbangi ia dibuat bukan berdasarkan kelayakan pemohon tetapi lebih kepada berapa harga yang perlu dibayar untuk mendapatkan SAN tersebut", katanya lagi yang membidas Pengarah Majlis Hal Ehwal Anak Negeri yang menjadi dalang mengesahkan Sijil Anak Negeri Palsu kerana beliau tidak mempunyai kuasa untuk mengesahkan sesuatu sijil yang dikeluarkan oleh Mahkamah Anak Negeri. 

Beliau selanjutnya menegaskan bahawa pendedahan mengenai perangai buruk orang-orang yang berkuasa di Majlis Hal Ehwal Anak Negeri akan dibuat dalam waktu yang terdekat.

Sijil perakuan Bumiputera (sijil anak negeri) ini telah dibekukan oleh Kerajaan BERJAYA pada tahun 1982 ekoran daripada penyalahgunaan kuasa dan pemberian dokumen tersebut kepada golongan yang tidak layak memilikinya.
Unit Media dan IT, Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah tidak bertanggungjawab dengan kehilangan atau kerosakan disebabkan maklumat di dalam laman blog ini

hari ini

asal bukan umno

asal bukan umno

keamanan

borang keahlian

senyum

senyum

ARTIKEL

 

pemuda pas sabah. Copyright 2011 All Rights Reserved