Sunday, October 30, 2011

PAS tuntut penjelasan JHEINS

KOTA KINABALU, 31 Okt: Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah (DPPNS) menuntut penjelasan penuh daripada pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEINS) berhubung aliran perbelanjaan sejumlah RM 1.7 juta yang disalurkan untuk perbelanjaan menaik taraf lima buah sekolah berasrama penuh.

Ketua Penerangannya, Mohd Zulfikar Abd. Mijan mendakwa, berdasarkan Laporan Audit 2010 menunjukkan secara jelas adanya berlaku penyelewangan terhadap sejumlah peruntukkan yang diberikan untuk kerja-kerja menaik taraf sekolah berkenaan.

“PAS mendesak agar dibuat penyiasatan rapi termasuk seluruh cabang dan bahagian dalam JHEINS untuk mengelakkan berlakunya penyelewengan ke atas peruntukkan itu.

“Ini institusi agama, bagaimana peruntukkan tersebut diproses, kemana peruntukkan diagihkan dan apa kesan terhadap penambahbaikan itu berjalan?, soalnya.

Memetik kenyataan Laporan Audit Negara 2010 yang disiarkan di Malaysiakini, sejumlah RM1.7 juta dibelanjakan untuk kerja-kerja naiktaraf di lima buah sekolah berasrama penuh. Namun tinjauan mendapati sama ada kerja-kerja yang dilakukan itu tidak memuaskan atau belum dimulakan meskipun bayaran telah dibuat sepenuhnya.

Beliau berkata demikian semasa Sidang Media selepas perasmian Majlis Konvokesyen PASTI kawasan Kota Kinabalu kali ke-21 yang diadakan di Dewan Saadah, Wisma MUIS Ahad lalu.

Aisyah Mahfuzah dan Nur Nassahel dianugerah pelajar terbaik Ibnu Sina Konvokesyen PASTI Kota Kinabalu

KOTA KINABALU, 31 Okt: Aisyah Mahfuzah Bachotang dan Nur Nassahel Hassan telah dianugerahkan pelajar terbaik (Ibnu Sina) 2011 sempena Majlis Konvokesyen Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) kawasan Kota Kinabalu kali ke-21 yang diadakan di Dewan Sa’adah, Wisma MUIS, Ahad lalu.

Majlis tersebut dirasmikan oleh Ketua Penerangan PAS Negeri Sabah, Hishammudin Sulaiman. Dalam ucapan perasmiannya, beliau menegaskan bahawa anak-anak yang dilahirkan perlu diberikan pendidikan sempurna termasuk menyematkan asas agama.

“Anak-anak ini, jika kita asuh dengan baik maka jadi baik. Agama dalam diri anak-anak perlu disematkan supaya menjadi benteng kepada musuh-musuh akhlak dan peribadi.

“Amat malang sekiranya anak-anak ini dibiarkan tanpa asas agama yang kuat yang akhirnya menjadi mangsa keadaan pada kemudian hari.” katanya.

Seramai 253 pelajar daripada 16 buah PASTI kawasan Kota Kinabalu yang mengambil bahagian telah menerima sijil konvokesyen masing-masing yang disampaikan oleh Hishammudin Sulaiman. Konvokesyen itu yang menampilkan ucapan wakil pelajar oleh Aiman Hakim Suparlan dari PASTI Al-Amal, Likas turut diserikan dengan persembahan nasyid dan pengenalan pengajaran al-Quran menerusi teknik Al-Baghdadi oleh pelajar PASTI Puterajaya dan PASTI Al-Amal.

Turut hadir sempena konvokesyen tersebut ialah Pengarah 1 PASTI zon Pantai Barat, Muhammad Shuaib; Naib Ketua Muslimat PAS Sabah, Faizah Antong; Naib Yang DiPertua PAS Kawasan Sepanggar, Nazri Sulaiman; Pengarah Konvokesyen, Abdul Fakar Shaari dan para ibu bapa pelajar.

Pemuda PAS Sabah gesa kerajaan kaji Akta Tentera 1972

KOTA KINABALU, 30 Okt: Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah (DPPNS) hari ini mengesa dan mencabar kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak untuk meminda dan mengkaji Akta Tentera 1972, yang disifatkan sebagai menzalimi anggota tentera peringkat bawahan.

Ketua Penerangannya, Mohd Zulfikar Abd. Mijan (gambar) mendakwa, Kementerian Pertahanan perlu mengkaji serta membuat pindaan terhadap akta tersebut memandangkan pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) telah diumumkan Perdana Menteri baru-baru ini.

“Akta ini tidak adil kepada anggota tentera kerana bersifat zalim. Akta ini tidak melibatkan kepada pegawai tertinggi,” dakwanya kepada Sidang Media selepas Perasmian Majlis Konvokesyen PASTI Kawasan Kota Kinabalu Kali Ke-21 di Dewan Sa’adah, Wisma MUIS disini pagi tadi.

Beliau menambah, kerajaan perlu melaksanakan undang-undang yang sama rata kepada semua anggota tentera dan tidak tertumpu kepada anggota bawahan sahaja.

Pada 25 Oktober lalu, beliau mendakwa berlakunya penindasan dan penyelewangan terhadap anggota apprentice Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Ketika diminta mengulas isu berkenaan, beliau mendakwa kerajaan sudah menghabiskan berbillion ringgit disebabkan penyelewengan dan penindasan tersebut. Dakwanya, kerajaan dan TLDM perlu memberi penjelasan lanjut dan bukannya berselindung mencari pelbagai alasan.

“Sekiranya kerajaan dan TLDM telus dan bersungguh memperjuangkan hak dan kebajikan anggota tentera, maka PAS mencabar supaya isu ini dijawab dalam masa tujuh hari. Kerajaan tidak perlu khuatir terhadap pendedahan ini,” cabarnya.

Beliau juga meminta agar pihak pengurusan tertinggi TLDM tidak gelabah dan ‘melenting’ kerana penindasan tersebut juga melibatkan kepentingan anggota yang terdiri daripada  golongan belia.

“PAS komited kepada golongan belia. PAS sama sekali tidak mempolitikkan isu ini, kerana PAS sudah sedia maklum sebagai parti yang memperjuangkan hak dan kebajikan rakyat,” jelasnya.

Tambah beliau, walaupun skim berkenaan telah dimansuhkan oleh TLDM dan hampir 200 daripada 1,000 pelatih telah berhenti namun anggota yang berhenti tersebut wajar menerima pampasan dan ganti rugi terhadap penindasan tersebut.

“Mereka ini perlu diberikan pampasan dan ganti rugi. Mereka ini berada dikalangan mereka yang ditindas dan kerajaan yang menindas perlu bertanggungjawab,” ujarnya.
Unit Media dan IT, Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah tidak bertanggungjawab dengan kehilangan atau kerosakan disebabkan maklumat di dalam laman blog ini

hari ini

asal bukan umno

asal bukan umno

keamanan

borang keahlian

senyum

senyum

ARTIKEL

 

pemuda pas sabah. Copyright 2011 All Rights Reserved