Saturday, April 11, 2009

SPRM: Ketua Pemuda Umno Sabah diikatjamin

Apr 11, 09 9:33pmKetua Pemuda Umno Sabah,

Japlin Akim, yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Khamis lalu dan ditahan reman selama tiga hari untuk membantu siasatan, dibebaskan dengan ikatjamin hari ini.

Japlin, yang juga menteri muda pembangunan infrastruktur negeri, adalah antara pemimpin Umno yang didapati bersalah oleh Lembaga Disiplin Umno sebelum pemilihan itu hujung bulan lalu.

Ekoran itu, keahliannya dalam Umno digantung selama tiga tahun. Khamis lalu, Japlin ditahan bersama seorang kontraktor tempatan, Limus Jury, yang juga dibebaskan dengan ikatjamin hari ini.

Japlin dikenakan ikatjamin RM100,000 manakala Jury dibebaskan dengan ikatjamin RM300,000. Kedua-duanya dibebaskan dari balai polis Karamusing pada kira-kira jam 6.15 petang. Hadir sama ialah peguam mereka David Tan dan Nobert Chin.

Difahamkan, Majistret Herlina Muse menolak permohonan SPRM untuk melanjutkan tahanan reman ke ta Japlin dan Jury selama empat hari lagi selepas mendengar hujah dari kedua belah pihak di prosiding yang diadakan di balai polis tersebut.

"Kedua-duanya ditahan oleh pasukan SPRM dari Putrajaya tanpa pengetahuan SPRM negeri dan dipercayai berkaitan dengan ‘politik wang' sewaktu pemilihan Umno bulan lalu," kata satu sumber.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman yang juga pengerusi Umno Sabah dilaporkan berkata, Japlin kekal sebagai ADUN Usukan dan jawatan timbalan menteri yang disandangnya walaupun lembaga disiplin telah mendapatinya bersalah terbabit dalam politik wang.

Penyokong kuat Khairy

Sementara itu, dua lagi ketua Pemuda negeri - Nizam Abu Bakar Titingan dan Faizal Ampong - turut dipanggil oleh SPRM untuk soal siasat.

Mereka tiba di balai polis Karamunsing sejurus selepas Japlin dan Jury dibebaskan.

Nizam adalah timbalan ketua Pemuda Umno Sabah manakala Faizal pula merupakan bekas ketua Pemuda Batu Sapi.

Berikutan penahanan tersebut, difahamkan SPRM turut meneliti kes ketua Pemuda Umno Malaysia, Khairy Jamaluddin yang didapati bersalah oleh lembaga disiplin berhubung politik wang.

Japlin dikenali sebagai penyokong kuat Khairy.

Pada 17 Mac, Khairy didapati bersalah oleh lembaga tersebut selepas ejennya terbabit dalam politik wang, tetapi hanya diberi amaran kerana tidak cukup bukti.

Beliau juga dibenarkan bertanding jawatan ketua Pemuda Umno, yang dimenanginya selepas menewaskan dua lagi calon - bekas menteri besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo dan ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir.

Khairy, yang menegaskan beliau tidak melakukan sebarang kesalahan, juga tidak tersenarai dalam barisan kabinet baru Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang diumumkan Khamis lalu.

DIrektori DPPNS

Masa KJ terhad jika anggotai kabinet...

Muda Mohd Noor | Apr 10, 09 6:19pm

Seorang orang kuat Khairy Jamaluddin menyifatkan tugas memperkasakan pergerakan Pemuda Umno adalah lebih penting kepada ahli parlimen Rembau itu, daripada memegang jawatan kabinet.

abdul rahman dahlanPenolong Setiausaha Pemuda Umno Datuk Abdul Rahman Dahalan berkata, harapan ahli Umno lebih besar kepada Pemuda berbanding Wanita dan Puteri.

Oleh itu, katanya, Khairy memerlukan tumpuan sepenuh masa untuk memperkasakan Pemuda Umno.

"Jika Khairy menjadi menteri atau timbalan menteri, masa untuk memperkasakan pergerakan tersebut terhad.

"Ini kerana seseorang menteri dan timbalan menteri mempunyai tugas harian yang sibuk," katanya.

Abdul Rahman yang juga ahli Parlimen Kota Belud berkata demikian ketika diminta mengulas ketiadaan ketua Pemuda Umno dalam senarai kabinet Datuk Seri Najib Tun Razak.

Bagaimanapun, Datuk Mukhriz Mahathir yang kalah kepada Khairy dalam merebut jawatan ketua Pemuda, dilantik sebagai timbalan menteri perdagangan antarabangsa dan industri.

Manakala, naib ketua Pemuda Umno, Datuk Razali Ibrahim pula dilantik sebagai timbalan menteri kemajuan luar bandar.

Elak tanggapan negatif


Abdul Rahman berkata, pelantikan Mukhriz dan Razali menunjukkan khairy jamaluddinPemuda tidak hilang semua dalam kabinet Najib.

"Tetapi saya berharap semua pihak kena duduk bersama secara serius untuk membantu memulihkan kerajaan," katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda Umno Selangor, Syukur Idrus berkata, kuasa melantik menteri adalah hak mutlak perdana menteri.

Katanya, bukan perkara baru jika ketua Pemuda tidak dilantik dalam kabinet.

Menurutnya, Datuk Ahmad Zahid Hamidi pernah tidak dilantik dalam kabinet Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sebaliknya, kata beliau, naib ketua Pemuda Datuk Seri Hishamuddin Hussein dilantik sebagai timbalan menteri.

"Saya berharap Pemuda bersikap rasional dan jangan ada anggapan negatif yang boleh memecahbelahkan perpaduan pergerakan itu.

"Barangkali ada suara-suara sumbang apabila Khairy tidak ada dalam kabinet tetapi ia perlu dilihat dari sudut yang positif," katanya.

Banyak kesangsian dalam Kabinet Najib

Mat Zain Mat Isa
Thu | Apr 09, 09 | 6:51:21 pm MYT

ADA beberapa pemerhatian dan kesimpulan yang sepintas lalu dapat dibuat tatkala meneliti barisan Kabinet baru Malaysia seperti diumumkan Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak, petang tadi.

Pertama, semacam ada rasa sangsi atau kepercayaan yang tidak bulat oleh Najib terhadap orang nombor duanya. Meskipun menepati ramalan meletakkan Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Timbalan Perdana Menteri, tidak ramai menyangka orang nombor dua itu akan diberikan tugas di Kementerian Pelajaran. Sudah lama kementerian itu tidak dipegang Timbalan Perdana Menteri.

Orang nombor dua selalunya diberikan peranan paling mencabar. Kementerian yang lebih dianggap kanan, strategik dan berkuasa ialah Kementerian Pertahanan, Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Kewangan.

Bukankah di situ duduknya Najib selaku Timbalan Perdana Menteri dalam Kabinet Tun Abdullah Ahmad Badawi sebelum ini? Bukankah di beberapa kementerian itu juga Abdullah selaku orang nombor dua diletakkan Tun Dr Mahathir Mohamad?

Najib memilih sepupunya, Dato' Seri Hishammuddin Tun Hussein untuk menerajui Kementerian Dalam Negeri, manakala bekas Setiausaha Politiknya, Dato' Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengepalai Kementerian Pertahanan. Apakah dua pemimpin ini sebenarnya yang lebih dipercayai Najib berbanding Muhyiddin?

Kedua, Najib tidak dapat mengelak daripada melantik pemimpin yang sudah ditolak rakyat. Ia bagaikan mengulangi tabiat Abdullah yang sebelum ini dikritik dan dikecam pelbagai pihak.

Dalam ucapannya sebelum mengisytiharkan Kabinet baru itu, Najib mengungkapkan slogan "Satu Malaysia - Rakyat Didahulukan, Prestasi Diutamakan". Kesangsian segera muncul tatkala orang disenaraikannya termasuk mereka yang telah ditolak rakyat dalam pilihan raya. Justeru, 'rakyat' manakah yang didahulukan Najib?

Antara pemimpin tersebut ialah Tan Sri Dr Koh Tsu Koon (Menteri di Jabatan Perdana Menteri), Dato' Seri Shahrizat Abdul Jalil (Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat), Dato' Dr Awang Adek Hussein (Timbalan Menteri Kewangan) dan Datin Paduka Chew Mei Fun (Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat).

Apakah ini menggambarkan pengakuan bahawa dari lebih 100 Ahli Parlimen Barisan Nasional yang masih ada, tidak ada yang mempunyai wibawa dan keupayaan untuk mengisi jawatan Kabinet, sehingga memaksa dilantik mereka yang bukan Ahli Parlimen?

Najib turut melantik pemimpin yang kalah dalam pemilihan parti, sekaligus membelakangkan mereka yang dipersetujui ahli-ahli akar umbi parti mereka sendiri. Mereka ialah Dato' Seri Dr Rais Yatim (Menteri Penerangan, Kebudayaan dan Warisan) dan Dato' Mukhriz Mahathir (Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri).

Ketiga, tindakan nekad Najib melantik Mukhriz ke dalam Kabinetnya mengundang tafsiran betapa beliau berhasrat membalas jasa Mahathir. Ataukah beliau sebenarnya tunduk kepada saranan dan nasihat bekas Perdana Menteri itu dalam mencaturkan Kabinetnya?

Kita tahu betapa besar peranan dimainkan Mahathir dalam mempercepatkan proses peralihan kuasa kepada Najib dalam parti dan kerajaan. Mahathir lah orang utama yang bertanggungjawab 'memanaskan punggung' Abdullah, sehingga terpaksa melepaskan jawatan lebih awal dari yang dirancangnya.

Keempat, ketiadaan nama Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, turut mengundang pelbagai andaian. Selain sama taraf dengan naib presiden dalam parti, Khairy juga ada tiket selaku Ahli Parlimen Rembau.

Ketiadaan namanya dalam senarai Kabinet dikaitkan dengan penyiasatan semula Lembaga Disiplin Umno berkaitan amalan politik wang dalam pemilihan Umno baru-baru ini. Desas-desus bertiup kencang kononnya Khairy bakal berhadapan tindakan tegas partinya, termasuk kehilangan jawatan yang baru dimenanginya itu.

Andaian itu bagai disahkan apabila Najib tidak menyenaraikan Khairy. Najib dikatakan tidak mahu mengambil risiko menyenaraikan orang yang sedang disiasat. Mana tahu silap haribulan akan berulang peristiwa seorang menteri terpaksa melepaskan jawatan kerana bersalah atas dakwaan politik wang. Maka bagi mengelakkan Kabinetnya tercemar, Najib dikatakan siang-siang lagi enggan menyenaraikan Khairy.

Namun ada juga yang menilainya sebagai bertepatan dengan hasrat Najib membersihkan Kabinetnya dari bayangan Abdullah. Jika nilaian itu benar, bermakna Khairy adalah mangsa keadaan hanya semata-mata dia adalah menantu bekas Perdana Menteri itu. _

Benarkah era "government knows best" telah berlalu?

Shirzad Lifeboat
Fri | Apr 10, 09 | 10:34:52 pm MYT

DALAM ucapan ringkas sebelum mengumumkan senarai kabinetnya, Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak berkata bahawa era kerajaan mengetahui segalanya atau "the government knows best" telah berlalu.
Iklan




Apakah ungkapan di atas merupakan sebuah lagi gimik politik Najib dalam usaha mencari populariti dan kepercayaan rakyat?

Pepatah Inggeris mengatakan "old habits die hard" bermaksud amalan (buruk) lama sukar untuk dihentikan.

Sudah menjadi pengetahuan umum betapa amalan kononnya kerajaan Umno-BN maha mengetahui apa yang terbaik untuk negara dan rakyat sehingga mengenepikan hampir semua cadangan dan pendapat pembangkang yang turut mewakili sebahagian besar rakyat sudah mula berakar umbi sejak di era Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman lagi.

Bukan itu sahaja, amalan ini juga memperlihatkan ciri-ciri Perdana Menteri "knows best and knows all" (tahu apa yang paling baik dan tahu segala-galanya).

Di zaman Tunku misalnya, penyingkiran Singapura dilakukan oleh Perdana Menteri sendiri kerana merasakan beliaulah yang tahu segala-galanya.

Tun Dr Mahathir Mohamad pula memutuskan secara sendirian untuk melaksanakan PPSMI secara solo (sekadar menyebut satu contoh) kerana merasa dia knew best and knew all. Dan di zaman beliau ciri "government knows best" ini menjadi begitu ketara.

Begitu juga di zaman Tun Abdullah Ahmad Badawi yang turut mengamalkan dasar kerajaan mengetahui apa yang terbaik dan maha mengetahui segalanya sehinggakan keengganan kerajaan Umno-BN mendengar suara rakyat menjadi begitu jelas dan ketara dan ditandai dengan perakan demi perarakan protes dan luahan suara rakyat.

Menurut Najib, "era Government knows best" sudah berlalu. Bila? Sekiranya era baru bermula sebaik sahaja beliau mengangkat sumpah selaku Perdana Menteri, maka beliau harus membuktikan bahawa di tangannya era sedemikian sudah benar-benar berlalu.

Sebaik sahaja kerajaan Umno-BN di bawah pimpinan Najib menghapuskan seksyen tertentu dalam ISA dan melepaskan mereka yang menjadi mangsa seksyen ini, merobah semula keseluruhan akta itu bagi sesuai dengan realiti masa kini, menghapuskan PPSMI, menggubal undang-undang gaji minima pekerja dan banyak lagi yang menjadi rintihan rakyat, maka ketika itulah apa yang dikatakan oleh Najib mengenai berlalunya era "government knows best" itu boleh dipercayai oleh rakyat. _
Unit Media dan IT, Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah tidak bertanggungjawab dengan kehilangan atau kerosakan disebabkan maklumat di dalam laman blog ini

hari ini

asal bukan umno

asal bukan umno

keamanan

borang keahlian

senyum

senyum

ARTIKEL

 

pemuda pas sabah. Copyright 2011 All Rights Reserved