Sunday, November 27, 2011

PAS Sabah adakan lawatan muhibbah ke negeri Pakatan Rakyat

KUALA LUMPUR, 28 Nov: Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah (DPPNS) hari ini mengadakan lawatan kerja seminggu ke negeri-negeri yang dipimpin oleh kerajaan Pakatan Rakyat.

Lawatan yang berteraskan muhibbah dan semangat setiakawan itu akan mengadakan perbincangan dua hala mengenai tawaran Pakatan Rakyat, pilihan raya dan kerjasama ekonomi.

Ketua Penerangannya, Mohd Zulfikar Abd. Mijan berkata, PAS Sabah sedang berusaha membawa keluar rakyat di negeri itu dari kepompong kekuasaan dan kerakusan pemimpin di bawah kerajaan Barisan Nasional.

“Kita mengadakan lawatan ke negeri-negeri pimpinan Pakatan Rakyat ini, bukan sahaja akan mengambil manfaat keseluruhan peluang malah akan membincangkan juga mengenai apa tawaran kita selaku parti dalam komponen Pakatan Rakyat kepada rakyat Sabah,” jelasnya.

Menurutnya, generasi muda pada hari ini sudah mula sedar dengan suasana perubahan yang turut dirasai oleh rakyat Sabah yang berada di semenanjung.

“Kita melihat ini merupakan mood perubahan dalam diri rakyat, terutama golongan muda.

“Mereka tidak sekadar melihat dan menonton apa yang dihidangkan... tapi apa yang mereka lakukan ialah mencari sebanyak mana sumber isu untuk dijadikan pelengkap kepada sesuatu dakwaan,”  ujarnya.

Kata Zulfikar, lawatan ini juga secara langsung akan membincangkan persediaan menghadapi pilihanraya yang akan berlaku pada bila-bila masa.

“Kesediaan pilihanraya pada tahun ini merupakan sesuatu yang amat mencabar.

“Kita akan menggunakan seluruh medium penyebaran yang ada untuk menyebarkan apa sahaja maklumat yang benar mengenai Sabah dan Malaysia kepada rakyat,” katanya.

Katanya, beliau juga tidak menolak kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini bahawa pilihanraya pada kali ini merupakan yang paling sengit dalam sejarah pilihanraya umum.

“Pemuda akan memberikan saingan sengit kepada pasukan lawan dengan perlawanan satu lawan satu.

“Kita juga percaya, mereka tidak senang dengan kerja kita. Tapi, apa salahnya kalau kita bekerja dan bersaing secara sihat,” katanya yang juga Ketua Penerangan PAS Sepanggar.

Lawatan yang disertai Ketua Pemuda, Lahirul Latigu bersama kepimpinan PAS Sabah itu bermula di Selangor pada 26 Nov lalu hingga 29 Nov akan turut berkunjung ke Kedah (30 Nov – 1 Dis) dan berakhir di Kelantan (2 Dis – 3 Dis).

Perutusan Hijrah 1433




Ketua Penerangan Pemuda PAS Sabah, Sdr Mohd Zulfikar Abdul Mijan menyeru kepada semua masyarakat di Sabah agar melakukan satu perubahan pada PRU ke 13 akan datang sempena kedatangan hijrah 1433.

Zulfikar mewakili saf kepimpinan Dewan Pemuda PAS Sabah mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan salam maal hijrah 1433 kepada semua masyarakat di Sabah khususnya dan rakyat Malaysia umumnya.

Beliau menjelaskan, hijrah sebenarnya satu konsep yang seerti dengan perubahan dan ia boleh di aplikasikan kepada semua tanpa mengira latar belakang agama dan suku kaum di Sabah.

Kata Zulfikar, hijrah atau perubahan di Sabah ini adalah sesuatu yang mesti dilakukan memandangkan suasana pembangunan di negeri ini yang masih jauh ketinggalan dalam pelbagai aspek kehidupan.

Beliau mengambil contoh bagaimana umat Islam di Makkah ketika sebelum hijrah hidup dalam keadaan serba kemunduran samada dari sudut ilmu ataupun teknologi. Apabila hijrah berlaku, umat Islam menjadi kuat dan digeruni lawan serta mampu mencabar kuasa besar dunia ketika itu.

Jelas beliau lagi, hijrah bukan sahaja sambutan yang penuh meriah tetapi apa yang lebih penting iaitu perlaksanaan hijrah itu sendiri. Jika selepas 50 tahun merdeka masyarakat di Sabah masih banyak ketinggalan, maka sudah tentu perubahan mesti dilakukan.

Perubahan ini kata beliau sudah tentu memerlukan pengorbanan yang tidak sedikit daripada semua masyarakat di Sabah. Jika tidak, negeri ini tidak akan dapat menikmati kemakmuran pembangunan hasil daripada khazanah buminya yang kaya dengan sumber semulajadi.

Apa ertinya 50 merdeka tetapi tanah-tanah milik rakyat dirampas tanpa hati perut dan hasil kekayaan muka buminya dikaut oleh pemimpin-pemimpin Umno-BN yang tamak harta dan kuasa tanpa memperdulikan nasib rakyat, persoal Zulfikar.

Justeru kata beliau, PRU ke 13 ini adalah peluang terbaik masyarakat negeri ini untuk melakukan perubahan dengan menukar kerajaan Barisan Nasional kepada kerajaan Pakatan Rakyat.

Saturday, November 26, 2011

Mangsa kebakaran terima bantuan

KOTA KINABALU, 27 Nov: Mangsa kebakaran 55 buah rumah di Kampung Tanjung Aru Baru, dekat sini Khamis lalu menerima sumbangan daripada PAS Kawasan Putatan pagi tadi.

Sumbangan yang berbentuk pakaian dan keperluan harian itu disampaikan sendiri oleh Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr. Hatta Ramli yang juga AJK PAS Malaysia.

Dr. Hatta berkata, sumbangan yang diberikan itu diharap dapat membantu meringankan beban yang ditanggung mangsa.

Menurutnya, selain bantuan tersebut, pihaknya juga menggesa kerajaan Sabah agar lebih memberi perhatian termasuklah mengenai kesihatan, kemudahan tempat tinggal dan sebagainya.

“PAS menyampaikan ucapan dukacita dan simpati kepada mangsa kebakaran. Setakat hari ini, apa yang telah kita ketahui bahawa masa depan mereka ini masih tidak terjamin.

“PAS mengharapkan kerjasama agensi kerajaan seperti Jabatan Kesihatan untuk terus memantau kesihatan mangsa bagi memastikan air yang digunakan itu selamat untuk diminum dan digunakan.

“PAS khuatir, kemungkinan terdapat jangkitan penyakit berjangkit sekiranya langkah awal pemeriksaan ini tidak dilakukan,” katanya.

Menurut Ketua Pemuda PAS Sabah, Lahirul Latigu yang turut menemui wakil mangsa kebakaran berkata, pihaknya bersimpati atas musibah yang dialami dan berusaha untuk membantu sedaya upaya bagi meringgankan beban yang terpaksa dihadapi.

“Kita juga dapat maklum bahawa, ada calon-calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang mengambil peperiksaan tahun ini terpaksa mengulangkaji dalam keadaan yang kurang selesa,” ujarnya yang juga Naib Yang DiPertua PAS Putatan.

Turut hadir menyampaikan sumbangan tersebut ialah Pesuruhjaya PAS Sabah, Aminuddin Aling; Naib Ketua Muslimat PAS Sabah, Faizah Antong dan Setiausaha PAS Sabah, Awang Laiman serta beberapa pimpinan PAS Sabah.

Khamis lalu, lebih 1000 orang kehilangan tempat tinggal apabila sekurang-kurangnya 55 buah rumah di kampung tersebut musnah dalam kebakaran yang berlaku menjelang subuh pada jam 2.15 pagi.

Kebakaran itu bagaimanapun berjaya dikawal sepasukan bomba yang menggunakan lima buah jentera daripada Balai Bomba Sembulan, Lintas dan Penampang. Kebakaran itu juga berjaya dikawal pada jam 5.15 pagi dan operasi tamat sepenuhnya kira-kira jam 6.30 pagi.

Dalam kejadian itu, tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan kerana semua penghuni berjaya menyelamatkan diri.

Thursday, November 24, 2011

Keluarga tahanan ISA ke Parlimen serah memo

KUALA LUMPUR, 25 Nov: Keluarga lima tahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di Sabah minggu lalu ke Parlimen kelmarin bagi menyerahkan memorandum kepada wakil Pakatan Rakyat dan BN.

Mereka yang ditemani Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) menuntut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membebaskan kesemua tahanan tersebut dan membawa mereka ke mahkamah terbuka untuk dibicarakan.

Pengerusi GMI, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, keluarga mangsa cukup tertekan dengan penahanan tanpa bukti kesalahan yang kukuh itu. Apatah lagi katanya, penahanan tersebut dilakukan selepas Najib mengumumkan akan memansuhkan ISA, 15 September lalu.

"Tindakan penahanan ini menimbulkan keraguan serius terhadap kredibilti dan janji Perdana Menteri tersebut. Ia menunjukkan semua proses berjalan seperti biasa dalam kerja melanyak hak asasi manusia. Najib perlu berasa malu dengan penangkapan ini," kata beliau pada sidang media di lobi Parlimen.

Apa yang lebih malang, sebab penahanan 13 orang di bawah ISA itu tidak dinyatakan secara jelas sebaliknya hanya dikaitkan dengan keganasan. Mereka ditahan oleh pegawai polis dari Jabatan Petugas Khas Bukit Aman diketuai DSP Azman Omar di Tawau sebelum dibawa ke Kota Kinabalu dan kemudiannya ke Bukit Aman.

Menurut kakak kepada salah seorang tahanan, Mohd Sarail Osman, nama adiknya itu tidak terdapat dalam senarai yang dikeluarkan Ketua Polis Negara (KPN) namun dia ditangkap ketika berada di rumah.

Manakala kakak seorang lagi tahanan, Mohd Nazri Dollah, adiknya yang merupakan guru agama ditahan ketika baru pulang mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Kinabutan. Dia ditahan di hadapan isteri dan anak-anaknya dan kini berada di Bukit Aman.

Menurutnya yang tidak mahu namanya disiarkan, ketika melawat Mohd Nazri, adiknya itu kelihatan tidak bermaya dan tidak banyak bercakap. Namun apabila ditanya samaada dia dipukul sewaktu dalam tahanan, dia mengakui perkara itu. Sementara itu, Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub berkata, beliau dan wakil Pakatan Rakyat yang lain akan membawa isu ini sewaktu membahaskan usul untuk menarik balik tiga perisytiharan darurat yang dibentangkan Najib pagi kelmarin.

"Semalam saya sudah bawa isu ini dan Timbalan Menteri Dalam Negeri kata polis ada bukti mereka yang ditahan ini terlibat dengan kegasanasan. Saya tegaskan kalau ada bukti, dakwa di mahkamah. Tidak guna Perdana Menteri umum mahu mansuh ISA tapi dalam masa yang sama membiarkan tangkapan ini," kata beliau yang juga Naib Presiden PAS.

Beliau turut mewakili Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima memorandum bantahan tersebut. Bagaimanapun, tiada wakil daripada kerajaan yang ingin memorandum tersebut.

Turut bersama pada sidang media tersebut ialah Ahli Parliman Pendang, Datuk Dr. Hayati Othman, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar yang juga Naib Presiden PKR dan Ahli Parlimen Sungai Siput daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM) serta beberapa wakil NGO yang bersama-sama dalam GMI.

Rombongan tersebut turut ke Bukit Aman bagi menyerahkan memorandum sama.

Monday, November 21, 2011

ISA: Keluarga serah memo kepada SUHAKAM

KOTA KINABALU, 22 Nov: Anggota keluarga mangsa yang ditahan pihak polis di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di Sabah baru-baru ini menyerahkan satu memorandum kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM).

Penyerahan itu dibuat di pejabat suruhanjaya itu di Kota Kinabalu kepada Pesuruhjaya SUHAKAM, Jannie Lasimbang kira-kira jam 9 pagi kelmarin.

Turut mengiringi penyerahan itu AJK PAS Pusat, Mazlan Aliman, Pesuruhjaya PAS Sabah Mohd Aminuddin Aling, Ketua Penerangan, Hisammudin Sulaiman serta Ketua Pemuda Lahirul Latigu.

Dalam pertemuan sejam dengan SUHAKAM itu, anggota keluarga menuntut pihak SUHAKAM campur tangan dengan mendesak tahanan dibebaskan segera.

"Keluarga mahu pihak SUHAKAM jumpa tahanan. Kita dapat maklumat, kemungkinan mereka yang ditahan akan dipaksa mengaku bersalah," katanya yang juga Pengerusi Lajnah Tanah dan Pembangunan Wilayah PAS Pusat.

Menurutnya, keluarga juga melahirkan kebimbangan jika mangsa yang ditahan itu dibawa keluar dari Kota Kinabalu sama ada ke Kuala Lumpur atau ke luar Sabah.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein semalam mendakwa kumpulan 13 individu yang ditahan pihak berkuasa di Tawau, Sabah awal minggu ini amat berbahaya kepada keselamatan negara dan serantau.

Menurut beliau, kumpulan 13 individu terbabit termasuk enam warga asing "tidak takut mati" dan "mahu mati jihad" dan menyifatkan isu penahanan 13 individu terbabit sebagai "amat serius" dan berkata, pada ketika ini mereka sedang ditahan di pusat tahanan di Tawau.

Hishammuddin juga mendedahkan, operasi penahanan 13 individu yang dilaksanakan oleh unit khas anti keganasan polis turut menemui sejumlah besar senjata api dan bahan letupan.

Tuduhan jahat

Mengulas lanjut, Mazlan berkata tuduhan oleh Hishammuddin itu berniat jahat dan mendahului siasatan.

Menurutnya, anggota keluarga dalam pertemuan dengan SUHAKAM juga memaklumkan, mereka yakin mangsa tidak terlibat dengan aktiviti keganasan seperti didakwa oleh pihak KDN.

"Saya yakin mereka ditangkap untuk disiasat, tetapi bagaimana boleh menteri membuat kesimpulan mendahului siasatan polis.

"Bagi saya, ini sangkaan berniat jahat yang memalukan mangsa dan keluarga mangsa," katanya sambil mendesak mangsa tahanan dibawa ke mahkamah segera jika dibuktikan bersalah.
Unit Media dan IT, Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah tidak bertanggungjawab dengan kehilangan atau kerosakan disebabkan maklumat di dalam laman blog ini

hari ini

asal bukan umno

asal bukan umno

keamanan

borang keahlian

senyum

senyum

ARTIKEL

 

pemuda pas sabah. Copyright 2011 All Rights Reserved