Saturday, December 31, 2011

Jangan layan mahasiswa dengan cara 'kebinatangan'

KOTA KINABALU, 1 Dis: Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah hari ini mengutuk sekerasnya tindakan keganasan terhadap sekumpulan mahasiswa yang menyertai himpunan aman di hadapan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Ketuanya, Lahirul Latigu berkata, tindakan memukul dan membelasah mahasiswa tersebut untuk menyeleraikan mereka sebagai satu tindakan yang bersifat ‘kebinatangan’ dan terkeluar dari norma manusia beragama.

“Tindakan tidak berperikemanusiaan dan lebih kepada kaedah ‘kebinatangan’ dalam menyuraikan kemaraan mahasiswa dan anak muda ini,” katanya.

Wednesday, December 28, 2011

Sukan Rakyat PAS Pensiangan meriah

PENSIANGAN, 28 Dis: Majlis Sukan Rakyat PAS Pensiangan berlangsung meriah dengan kehadiran hampir 300 penduduk sekitar DUN Sook mengambil bahagian dalam setiap acara yang dianjurkan.

Yang DiPertuanya, Hisammuddin Sulaiman berkata, sambutan yang diberikan penduduk kampung sememangnya menyuntik semangat untuk lebih memahami dan merapatkan jurang antara pemimpin dan rakyat setempat.

“Sambutan yang diberikan oleh penduduk kampung agak baik.


Tuesday, December 27, 2011

PAS Sabah siap sedia hadapi kemungkinan banjir

KOTA KINABALU, 28 Dis: Seluruh jentera pemuda PAS dan Unit Amal Sabah hari ini diminta bersiap sedia menghadapi kemungkinan berlakunya banjir di beberapa kawasan rendah di seluruh daerah di negeri ini.
 
Ketua Penerangannya, Mohd Julpikar Abd Mijan (gambar) berkata, pihaknya akan menempatkan petugas yang terdiri dikalangan petugas PAS dan Unit Amal di setiap bilik gerakan bagi kemudahan orang ramai yang menghadapi banjir.

"Kiita akan bersiap sedia. Bilik gerakan akan dibuka dengan jumlah kakitangan dan petugas yang mencukupi. Bantuan perlu sampai kepada rakyat,” jelasnya.

"Selamat duduki peperiksaan akhir semester" - PAS Sepanggar

KOTA KINABALU, 28 Dis: PAS Sepanggar hari ini mengucapkan selamat berjaya kepada mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang akan menduduki Peperiksaan Akhir Semester yang akan bermula minggu hadapan.

Ketua Penerangan, Mohd Julpikar Abd Mijan menerusi kenyataannya memberi sokongan dan galakkan kepada mahasiswa yang akan menduduki peperiksaan tersebut.

"Kepada mahasiswa UMS, semoga berjaya dalam peperiksaan.

"Semoga beroleh kejayaan dan keputusan yang cemerlang," doa beliau.

Beliau turut menasihatkan mahasiswa agar sentiasa menjaga kesihatan diri dan melakukan persiapan awal bagi memastikan perjalanan untuk menduduki peperiksaan berjalan dengan baik.

"Persiap diri dengan segala kemudahan yang ada. Usaha dan banyakkan berdoa.

"Kejayaan sudah dihadapan, cumanya menanti usaha diri anda," katanya.

Monday, December 26, 2011

Siasat segera dakwaan Shahrizat - Pemuda Sabah

KOTA KINABALU, 27 Dis: Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah mendesak Polis dan Suruhajaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar segera membersihkan kepimpinan negara daripada sebarang salah laku rasuah, korupsi dan salah guna kuasa.

Ketuanya, Lahirul Latigu berkata, pendedahan terbaru yang dibuat oleh Datuk Seri Shahrizat Jalil telah mengundang pelbagai andaian negatif rakyat terhadap integriti pemimpin kerajaan sedia ada.

“Jika benar dakwaan Shahrizat, polis dan SPRM perlu segera membuat siasatan rapi terhadap sebarang salahlaku tidak kira kepimpinan peringkat negara mahupun negeri.

"Sangat malang jika wujud pemimpin yang makan rasuah, hipokrit dalam memimpin, salah guna kuasa dan kedudukannya,” jelasnya.

Beliau  mengulas  kenyataan yang dibuat oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu pada 25 Disember lalu yang mempersoalkan “siapakah pemimpin Umno yang tiada masalah”, yang dilihat seperti ada sesuatu yang tidak kena.
Shahrizat berkata demikian bagi membela dirinya yang sedang ditekan ekoran skandal Pusat Fedlot Kebangsaan (NFC).
Timbalan Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu berpendapat, bukan Shahrizat sahaja yang salah dalam hal ini tetapi yang lebih bersalah adalah bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani ketika projek itu diberikan, Tan Sri Muhyidin Yassin.
“Seolah-olah ada sesuatu yang cuba disembunyikan oleh beliau.

“Maklumlah, beliau sedang terpalit dengan ‘projek lembu kondo’ dan ramai rakan-rakannya yang mendesak beliau meletak jawatan. Takkan beliau seorang yang ada masalah,” kata Lahirul lagi.

Sementara itu, rakyat juga ujarnya tidak perlu berasa senang hati dengan tindakan ke atas Bekas Menteri Besar Selangor, Dr. Mohd Khir Toyo yang didapati bersalah baru-baru ini oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Baginya, itu hanya kes terpencil malah yakin banyak lagi kes yang lebih besar yang sepatutnya diambil tindakan.

"Banyak lagi skandal Menteri Besar, Ketua Menteri, Bekas Menteri dan sebagainya.

"Ini perlu dibersihkan dan dihadap ke muka pengadilan dengan kadar segera,” ujarnya.

Wednesday, December 14, 2011

Zahid tidak matang berdepan soal pertahanan negara

KOTA KINABALU, 14 Dis: Dewan Pemuda PAS Sabah hari ini menyanggah kenyataan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berhubung isu aset pertahanan negara.

Ketua Penerangannya, Mohd Julfikar Abd. Mijan berkata, selaku Menteri yang bertanggungjawab dalam hubung kait pertahanan negara, adalah menjadi satu usahanya untuk memastikan kekuatan dan kaedah pertahanan negara berada dalam keadaan yang baik.

“Kita hanya menyatakan kebenaran dan kegusaran… bukannya mahu bercakap banyak seperti apa yang didakwa beliau,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan kepada Unit Media PAS Sabah.

Menurut Julfikar lagi, pelawaan Zahid kepada PAS untuk melawat pangkalan kapal selam di Sepanggar, Sabah juga menunjukkan ketidakmatangan beliau menghadapi suara dan desakan rakyat.

“Kita bukan nak minta lawat kapal selam… kita nak tahu kapal itu boleh menyelam atau tidak.

“Apa-apa pun kita ucap terima kasih lah kepada kementerian kerana baru hari ini menjemput kita untuk lawat kapal berkenaan,” ujarnya.

Zahid sebelum ini telah mempelawa Pakatan Rakyat yang mempertikaikan kemampuan aset pertahanan negara untuk melihat sendiri kemampuan aset pertahanan tersebut, sekali gus menyanggah tohmahan yang dibuat Pakatan Rakyat.

PAS juga turut menegaskan bahawa, soal pertahanan negara tidak perlu dijadikan bahan mainan kerajaan UMNO/ Barisan Nasional.

Tegasnya, aset pertahanan negara, kedudukan beliau sebagai menteri dan keupayaan kepimpinannya adalah hak rakyat untuk mengetahui sejauh mana kemampuan dan keselesaan yang diberikannya kepada rakyat. 

“Ini duit rakyat bukan duit Pakatan Rakyat dan bukan duit UMNO/ Barisan Nasional. Dia kena sedar bahawa, kedudukan dia selaku menteri dan ahli parlimen adalah kerana rakyat yang menyokong dan mengundi,” tegas Julfikar.

PAS juga mencabar Menteri Pertahanan itu untuk diadakan secara langsung mengenai kemampuan kapal selam tersebut bagi menunjukkan kepada rakyat bahawa tohmahan yang dilemparkan Pakatan Rakyat itu tidak benar.

“Kalau dia (Zahid Hamidi) benar-benar mahu tunjukkan bukti, adakan siaran secara langsung dalam TV… tunjuk kepada orang ramai, ini kapal boleh menyelam dengan baik.

“Tapi bukan setakat menyelam saja, apa-apa yang berkaitanlah. Macam… sedalam mana boleh menyelam, sejauh mana kapal itu menyelam dan bergerak, dan kemampuan kapal itu menghadapi musuh negara,” katanya yang juga bekas anggota Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM).

Tuesday, December 13, 2011

Ke mana wakil Sabah dalam Skuad Harimau Muda?

PENSIANGAN, 13 Dis: PAS Sabah hari ini membangkitkan persoalan mengenai ketiadaan pemain Sabah dalam skuad bola sepak negara, ‘Harimau Malaya’ dan ‘Harimau Muda’.

Ketua Penerangan PAS Sabah, Hisammuddin Sulaiman dalam kenyataan yang dikeluarkan kepada Unit Media PAS Sabah melahirkan dukacita kepada pemain bola sepak tempatan Sabah yang tidak mendapat tempat bukan sahaja mewakili negeri malah negara secara keseluruhannya.

“Kami, diperingkat PAS Sabah melahirkan dukacita dengan perkembangan ini.

“Bukan atas faktor layak atau tidak, tapi apa yang diusahakan barisan Menteri Sukan Sabah dan Ahli Parlimen Sabah untuk melihat situasi ini, dan jangan memandang ianya suatu yang bersifat rasis,” katanya.

Beliau turut mempersoal kelibat wakil rakyat Sabah terutama ahli Parlimen dan Menteri Sukan Sabah yang ‘kurang berminat’ dengan bola sepak dan lebih kepada isu nasional yang lain.

“Ini hak anak Sabah yang perlu dipertimbangkan, sama ada baik mahupun sebaliknya.

“Usaha ke arah ini perlu ada… bukan kita mahu mendabik dada kita ada pasukan dan pemain terbaik. Tapi, perkembangan ini merupakan sesuatu yang tidak sihat berlaku. Tiada salah sekiranya gabungan antara negeri-negeri di Malaysia ini termasuk Sabah membentuk pasukan kebangsaan muda negara,” ujarnya.

Katanya lagi, anak muda Sabah yang mempunyai potensi dan bakat dalam bola sepak tidak mempunyai jalan untuk mengetengahkan bakatnya untuk ditonjol dan diasah peringkat negeri.

“Ada di kampung-kampung, mereka ini boleh pergi jauh. Tapi jauh ke arah mana… kita sendiri tidak tahu.

Apa wakil rakyat Sabah melihat ini satu cabaran atau satu peluang?” katanya.

PAS katanya, bersama Pakatan Rakyat akan memberikan suntikan baru bukan sahaja kepada anak muda Sabah mengetengahkan bakat dalam dunia bola sepak, malah akan memberikan perkhidmatan yang jauh lebih baik berbanding UMNO dan Barisan Nasional yang ada pada hari ini.

“Kita tidak mahu lihat lagi, Sabah berada seolah-olah dianaktirikan oleh kerajaan yang sedia ada,” jelasnya.
Unit Media dan IT, Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah tidak bertanggungjawab dengan kehilangan atau kerosakan disebabkan maklumat di dalam laman blog ini

hari ini

asal bukan umno

asal bukan umno

keamanan

borang keahlian

senyum

senyum

ARTIKEL

 

pemuda pas sabah. Copyright 2011 All Rights Reserved