KOTA KINABALU, 30 Okt: PAS Sabah kini menumpukan usaha
untuk menawan Sabah yang kini diterajui kerajaan pimpinan UMNO/ Barisan
Nasional (BN) dalam Pilihanraya Umum Ke-13.
Ketua
Penerangan PAS Negeri Sabah Hishammudin Sulaiman (gambar) berkata, PAS kini bersedia memikul amanah mengurus negeri
Sabah daripada BN kerana kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Musa Aman sekarang
tidak membawa apa-apa perubahan yang signifikan sejak BN menguasai negeri itu.
“Sudah
sampai masanya UMNO/ BN mengangkat bendera putih,” kata Hishammudin dalam Sidang
Media selepas perasmian Majlis Konvokesyen PASTI Kawasan Kota Kinabalu di Dewan
Saadah, Wisma MUIS disini pagi tadi.
“Kerajaan Sabah dilihat begitu banyak
kepincangan dan ketirisan sama ada sektor pentadbiran atau pengurusan. Tidak
banyak pembangunan yang dibuat berlandaskan kepada keselesaan rakya ,” tambah Hishammudin
lagi.
Beliau
yang juga Yang DiPertua PAS Kawasan Pensiangan ini mendakwa kebanyakan janji-janji
yang ditaburkan UMNO/ BN kepada rakyat hanyalah seperti menanam tebu dibibir.
“Kita
sudah ada negeri contoh seperti Kelantan dan Kedah. Negeri Kelantan sudah
diperintah hampir 25 tahun oleh PAS, sudah banyak contoh yang boleh diambil
untuk ditiru oleh negeri-negeri yang UMNO/ BN perintah,” ujarnya.
Hishammudin
berkata, kepimpinan PAS Sabah sudah mula menggerakkan jentera kawasan sebagai
langkah awal mendendang paluan gendang untuk menanti pilihanraya.
"Kita juga telah melancarkan jentera
pilihanraya setiap kawasan di Sabah. Itu persediaan awal yang kita buat,”
katanya.
Selain
itu, Hishammudin juga berkata PAS Sabah akan memberi saingan sengit kepada
UMNO/ BN dan tidak akan membiarkan UMNO/ BN berada dalam keadaan selesa setiap
masa.
Ketika
ditanya mengenai hubungan antara Pakatan Rakyat Sabah, Hishammudin mengatakan
bahawa hubungan yang dijalinkan bersama DAP dan PKR sangat baik.
“PAS
menyeru kepada semua rakyat, PAS akan menjadi mata, telinga, tangan, lidah dan
kepala rakyat untuk mengangkat kehidupan rakyat ke arah kesejahteraan dan
keluar dari kepompong kezaliman,” jelasnya.