KOTA KINABALU, 12 Feb: Pemuda PAS Sabah hari ini
melahirkan rasa terkejut dan kekesalan terhadap kenyataan Peguam Negeri
Sabah, Datuk Roderic Fernandez yang jelas bercanggah dengan Ordinan
Tanah Sabah (OTS) berkaitan hak asasi anak negeri ke atas pemilikan
tanah di Sabah.
Ketua Penerangannya, Mohd Julpikar Abd Mijan menyifatkan
tafsiran yang dibuat oleh Peguam Negeri Sabah berhubung tuntutan hak
asasi oleh Anak Negeri Sabah selepas 1930 sebagai tidak sah, adalah
tindakan menghina keputusan-keputusan mahkamah sebelum ini yang mana
telah mengiktiraf wujudnya hak asasi Anak Negeri walaupun selepas 1930.