KOTA KINABALU, 12 Feb: Pemuda PAS Sabah hari ini
melahirkan rasa terkejut dan kekesalan terhadap kenyataan Peguam Negeri
Sabah, Datuk Roderic Fernandez yang jelas bercanggah dengan Ordinan
Tanah Sabah (OTS) berkaitan hak asasi anak negeri ke atas pemilikan
tanah di Sabah.
Ketua Penerangannya, Mohd Julpikar Abd Mijan menyifatkan
tafsiran yang dibuat oleh Peguam Negeri Sabah berhubung tuntutan hak
asasi oleh Anak Negeri Sabah selepas 1930 sebagai tidak sah, adalah
tindakan menghina keputusan-keputusan mahkamah sebelum ini yang mana
telah mengiktiraf wujudnya hak asasi Anak Negeri walaupun selepas 1930.
“Kita amat kesal dengan kenyataan Peguam Negeri Sabah ini. Ini bakal
menjerumuskan kesulitan anak Sabah mengenai pemilikan tanah dibawah
undang-undang yang sedia ada,” ujarnya.
Menurutnya, PAS cukup sangsi dengan keupayaan beliau sehingga sanggup
mengeluarkan kenyataan yang boleh menimbulkan kemarahan Anak Negeri
Sabah.
“Isu ini bukan perkara yang sepatutnya dibuat main-main oleh
kerajaan. Ianya perlu dibawa ke muka pengadilan yang seadilnya bagi
memastikan tanggungjawab kerajaan mempertahankan hak Anak Negeri Sabah
tidak terabai dan dipandang rendah,” jelasnya.
PAS juga berpendirian bahawa, hak asasi Anak Negeri Sabah mesti
dipertahankan dan meminta mana-mana pihak yang merampas tanah-tanah adat
negeri sama ada melalui pemalsuan dokumen dan identiti diri dapat
memulangkan semula hak anak negeri tersebut kepada pemiliknya.
“Hak Anak Negeri Sabah perlu dipertahankan dengan sebaik mungkin. Ini
hak kita, ini tanah kita... kenapa perlu mereka merampas hak kita?
“Di mana suara pemimpin-pemimpin kerajaan kita... yang selama ini
merekalah mendabik dada memperjuangkan hak. Di mana mereka ketika ini?
“Anak-anak Negeri Sabah hidup dibelenggu ketakutan dan ancaman,” jelas Julpikar.
No comments:
Post a Comment