Kelab tersebut ditubuhkan sebagai penghubung di antara PAS dengan masyarakat bukan Islam khususnya serta menambahkan kesedaran dan pemahaman terhadap peranan Pakatan Rakyat.
Pengerusi Kelab Penaja Kelab Penyokong Muda PAS, Vincent Lee berkata, kelab ini ditubuhkan memandangkan PAS menerima permintaan daripada golongan muda, khususnya mereka yang bukan Islam.
"Melalui kelab ini, kita akan mengadakan 'roadshow' di setiap negeri bagi kempen mengumpulkan ahli menjelang 27 Nov ini, di mana kita mensasarkan sebanyak 100,000 ahli akan menyertai kelab ini," kata beliau.
Sementara itu, Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional Pemuda PAS, Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata, kelab ini bersifat lebih muda, berbanding Kelab Penyokong PAS yang ditubuhkan pada 2004 lebih menekankan aspek politik.
Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub, yang merasmikan kelab itu pula menyatakan bahawa kelab ini bakal memberi sumbangan besar kepada PAS sebagai pemangkin masa depan PAS.
"PAS serius dengan golongan bukan Islam, di mana PAS akan terus berhadapan dan menyelesaikan permasalahan orang bukan Islam memandangkan Islam memberi hak kepada semua, tanpa mengira kaum," tegas beliau.
Tambah beliau, penubuhan Kelab Penyokong Muda ini akan diberikan peranan sewajarnya di bawah Lajnah Perpaduan, selain PAS akan sentiasa bersama mereka di saat susah dan senang.
Suasana meriah pada pelancaran itu menggamit minat dan menjadi tumpuan ramai pengguna jalan raya yang melalui Jalan Raja Laut untuk berhenti merakamkan gambar serta menerima informasi mengenai kelab berkenaan.
Turut hadir dalam majlis pelancaran kelab itu ialah Timbalan Ketua Pemuda PAS, Nasaruddin Hassan; Naib Ketua Pemuda, Azman Shapawi; Setiausaha, Sabky Yusof dan anggota exco Pemuda PAS Pusat dan ahli Kelab Penyokong PAS. - mns_
No comments:
Post a Comment