Kempen Protes Barang Naik atau singkatannya Protes BN tersebut dilancarkan oleh Lajnah Hal Ehwal Sabah dan Sarawak, Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) pagi tadi di Pejabat PAS Putatan, Kota Kinabalu.
Pengerusinya, Saudara Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus berkata, Protes BN adalah sebagai usaha memberikan kesedaran kepada masyarakat berhubung peningkatan kos hidup khususnya kenaikan harga barangan keperluan.
"Saya pasti bahawa semua rakyat merasai bebanan kenaikan harga barang ini,” katanya.
Selain itu, kempen tersebut juga akan diperluaskan ke seluruh pelusok negeri Sabah termasuk dengan mengadakan ekspo, road show dan penyebaran risalah.
Mengulas mengenai caj tambahan 6% terhadap pembelian tambah nilai perkhidmatan prabayar dan pek permulaan kad SIM bagi semua syarikat telekomunikasi, Ahmad Kerdee memaklumkan kemungkinan besar caj tambahan tersebut akan berkuatkuasa awal tahun hadapan.
Sehubungan itu rakyat ujarnya diseru untuk bersama dalam usaha menyatakan rasa tidak puas hati mereka kepada kerajaan melalui kempen ini.







