Monday, May 2, 2011

Konvensyen PAS Sabah: PRU-13 dijangka lebih sengit



Sandakan: Pilihanraya Umum ke -13 menjanjikan satu saingan yang sengit merujuk kepada perubahan trend pengundi melayu yang tidak lagi yakin dengan kepimpinan barisan nasional, kata Timbalan Presiden PAS Ustaz Nasarudin Mat Isa.

Beliau menyatakan demikian ketika merasmikan Konvensyen PAS Sabah yang dihadiri oleh seramai 400 orang ahli.


Ustaz Nasarudin berucap dihadapan peserta Konvensyen

Nasarudin berkata, tujuan Presiden Umno Mohd Najib Abdul Razak mempelawa PAS masuk Umno hanyalah satu bentuk strategi untuk membaca perubahan demografi politik menjelang PRU-13 nanti.

Ustaz Nasarudin bersama Pimpinan PAS Sabah

Sebelum ini kata Nasharudin, Umno juga telah mempelawa DAP untuk bersama-sama dengan mereka dalam barisan nasional.

Ini bermakna, Umno tidak lagi dapat bergantung kepada MCA untuk meraih pengundi-pengundi cina untuk sesi pilihanraya yang akan datang.

“Apa yang merisaukan BN iaitu perubahan pengundi cina sebagaimana yang ditunjukkan ketika Pilihanraya Negeri Sarawak baru-baru ini turut berjangkit kepada pengundi-pengundi melayu”

Nasarudin juga mengingatkan kepada semua petugas PAS agar menjadi agen kepada negeri-negeri Pakatan rakyat dengan menyalurkan maklumat yang betul disamping mendedahkan kezaliman kerajaan Umno-BN.

Beliau menegaskan, PAS akan terus bersama Pakatan Rakyat untuk menuntut keadilan yang sewajarnya untuk semua kaum dan agama di negara ini.

Beliau menjelaskan, Pakatan Rakyat adalah perlaksanaan Ijtihad Tahaluf Siyasi dengan pihak bukan Islam hasil daripada persidangan gerakan-gerakan Islam sedunia sebelum ini.

Atas alasan itu, beliau berasa yakin sebagaimana PAS dan rakan-rakan PR boleh memerintah di Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan, PAS juga boleh memerintah di Sabah pada pilihanraya yang akan datang.

Pada Konvensyen itu juga, Nasarudin menerima borang keahlian PAS baru seterusnya merasmikan pembukaan cawangan Bukit Nenas, PAS Batu Sapi.




Konvensyen yang diadakan sehari suntuk tersebut meresolusikan 7 perkara iaitu:

1. PAS tetap memperjuangkan dasar-dasar affirmative yang berasaskan siapa yang berkeperluan (need based) sesuai dengan matlamat keadilan Islam;
2. Pas Sabah beriltizam untuk mengimplementasikan isi kandungan yang terdapat dalam Buku Jingga;
3. PAS Sabah akan memantapkan kerjasama dengan komponen PR Sabah;
4. PAS Sabah beriltizam untuk membela rakyat Sabah bagi memperjuangkan hak mendapatkan pemilikan tanah secara mutlak;
5. PAS tetap mengutamakan perjuangan untuk membela nasib rakyat terpinggir dan berpendapatan rendah yang mana sebahagian besarnya terdiri daripada penduduk luar bandar di Sabah;
6. PAS akan memperjuangakan agar semua rakyat Sabah berupaya ‘access’ kepada bidang pendidikan di semua peringkat dalam keadaan yang selesa;
7. PAS akan memperjuangkan Keadilan Ekonomi Untuk Semua agar ianya boleh dinikmati oleh semua rakyat Sabah.



Friday, March 11, 2011

Kenyataan Media Penasihat Undang2 KASE


FAHAMI ISU SEBENAR!!

Saya ingin merujuk kepada siaran akhbar Berita Harian bertarikh 11/3/2011 yang memetik ulasan seorang Pakar Perlembagaan Profesor Dr Rohimi Shapiee. Saya amat dukacita dengan perkembangan dan ulasan tersebut yang melabelkan pihak-pihak yang tidak menggalakkan rakyat membayar saman sebagai sebagai nakal dan menggalakkan pemandu supaya terus melanggar undang-undang.

Saya ingin tegaskan pendirian kami di Jawatankuasa Kempen Anti saman Ekor (KASE) bahawa kami tidak sekali-kali bersetuju dan menggalakkan pemandu-pemandu kenderaan memandu tidak mengikut peraturan. Setiap pemandu mestilah memandu dengan berhemah kerana jalanraya bukan harta persendirian tetapi hak bersama. Kami juga tidak bersetuju dengan penguatkuasaan yang tidak mengikut peraturan sedia ada. Atas hujah dan pendirian ini, kami melancarkan Kempen Anti Saman Ekor (KASE) iaitu bertujuan memberikan penerangan tentang hak rakyat yang dijamin oleh Perlembagaan, prinsip keadilan dan pematuhan peraturan serta prosedur tindakan undang-undang.

Tidak pernah pada bila-bila masa dan ketika, Kami menyatakan bahawa Saman Ekor yang dikeluarkan oleh PDRM adalah bertentangan dengan Perlembagaan dan Akta. Jika ada, saya merasakan kenyataan dan pendirian kami telah disalah tafsir. Saya ingin memperbetulkan pemahaman dan persepsi sesiapa sahaja termasuk Pakar Perlembagaan tersebut supaya sebelum membuat sebarang ulasan atau komen, FAHAMI dahulu apa isu yang dibawa dan ditimbulkan.

Saya ingin menegaskan bahawa Saman Ekor yang dikatakan saman itu sebenarnya bukan saman tetapi hanya sekadar notis meminta maklumat pemandu daripada pemilik kenderaan yang dikeluarkan mengikut Seksyen 115 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Notis ini disebut sebagai Pol 170A. Fakta ini tidak pernah disangkal malah diakui oleh Kementerian Dalam Negeri, PDRM malah Timbalan Menteri Pengangkutan di dalam Dewan Rakyat. Saya mohon kerjasama pihak-pihak yang ingin membuat ulasan supaya lebih rajin membaca daripada membuat ulasan dan komen berasaskan lojik akal fikiran. Pernahkah pihak-pihak yang membuat ulasan ini meneliti setiap patah perkataan yang terkandung di dalam notis Pol 170A tersebut sebelum membuat komen? Baca dan fahami kandungannya dahulu kemudian nyatakan komen dan ulasan.

Mengikut Seksyen 115 (1) APJ 1987 setiap pemilik kenderaan apabila diberikan notis Pol 170A ini hendaklah memberikan maklumat pemandu yang disyaki telah melakukan kesalahan yang dinyatakan di dalam notis tersebut dalam tempoh tujuh (7) hari dari tarikh notis diterima. Kegagalan memberikan maklumat boleh dianggap melakukan kesalahan melainkan pemilik memuaskan hati mahkamah bahawa beliau tidak tahu siapa yang memandu. Maksud memuaskan hati mahkamah tersebut ialah seseorang pemilik jika ingkar menjawab notis tersebut maka pihak berkuasa iaitu PDRM yang mengeluarkan notis ini hendaklah mengeluarkan suatu notis (Saman) di bawah Seksyen 53(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Persoalannya adakah semua prosedur ini diikuti oleh pihak berkuasa iaitu PDRM yang mengeluarkan notis ini?

Bersama Notis Pol 170A ini juga dikepilkan Notis Pol 171 iaitu menawarkan kompaun kepada pemilik kenderaan jika pemilik mengakui kesalahan dan ingin menerima tawaran kompaun, pemilik boleh menjelaskannya. Perlu diambil perhatian bahawa tawaran kompaun ini diberikan melalui Seksyen 120 (1) APJ 1987. Kompaun ini hanyalah semata-mata tawaran. Bukan suatu bentuk hukuman atau denda. Kompaun ini juga mempunyai tempoh sah laku kerana di dalam Notis Pol 171 di perenggan 4 dinyatakan begini “Tawaran ini berkuatkuasa sehingga (tarikh). Sekiranya tiada jawapan selepas tarikh ini, tindakan saman akan diambil”. Ini dengan jelas menunjukkan bahawa kompaun tersebut hanyalah suatu tawaran, dan jika pemilik atau yang disyaki melakukan kesalahan tidak menerima tawaran kompaun tersebut dan enggan membayar, maka mereka hendaklah disaman supaya hadir di Mahkamah menjawap pertuduhan ke atas mereka. Saman ini dikeluarkan mengikut Seksyen 53(1) APJ 1987 yang disebut sebelum ini.

Persoalannya, adakah prosedur ini juga diikuti oleh pihak berkuasa?

Perkembangan yang berlaku sekarang ialah pihak berkuasa iaitu Kementerian dalam Negeri melalui PDRM telah menghukum orang yang disyaki melakukan kesalahan lalu lintas sedangkan mereka tidak pernah dibuktikan melakukan kesalahan. Mereka dihukum dengan alasan tidak membayar kompaun sedangkan kompaun hanyalah tawaran. PDRM pula mengambil kesempatan di atas kurangnya pemahaman rakyat tentang undang-undang dan peraturan telah menghukum dengan meminta JPJ menyenarai hitam kenderaan bertujuan memaksa mereka membayar kompaun. INILAH TINDAKAN YANG BERTENTANGAN DENGAN PERLEMBAGAAN!

Kenapa ia bertentangan dengan Perlembagaan?

a)     Kesalahan yang dikatakan telah dilakukan tersebut belum dibuktikan.

Rujuk kembali kepada ulasan asal di atas. Jika Pemilik kenderaan ingkar notis, sepatutnya mereka dihadapkan ke Mahkamah untuk dibuktikan mereka ingkar notis tersebut. Pelbagai persoalan akan timbul di sini. Adakah notis tersebut telah dikeluarkan? Adakah notis tersebut telah diserahkan dengan sempurna?

Notis boleh diserahkan kepada pemilik kenderaan mengikut Seksyen 118 APJ 1987 iaitu dengan pos berdaftar. Jadi pihak berkuasa perlu membuktikan terlebih dahulu notis itu telah dikeluarkan. Kemudian buktikan notis itu telah diserahkan iaitu dengan bukti pengeposan daripada pejabat pos berkaitan. Jika ada bukti tersebut barulah pemilik perlu buktikan kenapa beliau ingkar. Jika beliau telah memuaskan hati mahkamah dengan alasan-alasannya maka kemungkinan akan dilepaskan. Jika tidak dapat memuaskan hati Mahkamah, kemungkinan akan dijatuhkan hukuman kerana ingkar notis. Belum lagi soal memandu melebihi hadlaju. Adakah ini dilakukan dalam situasi sekarang ini? Jawapannya tidak kerana Timbalan Menteri Pengangkutan sendiri mengakui di Dewan Rakyat pada 8/3/2011 bahawa jika seseorang ingkar Notis Pol 170A ini maka mereka secara automatik dianggap melakukan kesalahan. Ini suatu anggapan yang salah di sisi undang-undang.

Jika pemilik atau pemandu disyaki memandu melebihi hadlaju, mereka sepatutnya disaman hadir ke Mahkamah untuk dibuktikan mereka telah melakukan kesalahan tersebut. Adakah ini dilakukan? Tidak! Mereka terus disenarai hitam kerana tidak membayar kompaun. Sepatutnya PDRM membawa mereka ini ke Mahkamah, buktikan mereka memandu melebihi hadlaju. PDRM sentiasa mengatakan mereka mempunyai bukti, jadi buktikan di Mahkamah. Bukan dengan bekerjasama dengan JPJ untuk menyenarai hitam supaya pemilik kenderaan membayar kompaun. Ini salah! Kenapa PDRM tidak membawa mereka ini ke Mahkamah untuk dibuktikan kesalahan? Mungkin PDRM tahu bahawa mereka tidak dapat membuktikan kesalahan tersebut.

Perlu diambil perhatian bahawa APJ 1987 tidak memperuntukkan sebarang penggunaan imej yang dirakam untuk diterima pakai sebagai bukti di Mahkamah. Setelah APJ 1987 dipinda pada 22/12/2010 dan mula berkuatkuasa pada 1/2/2011 barulah imej yang dirakam diterima sebagai bukti di Mahkamah. Ini disebut di dalam seksyen 117 (11) Akta Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2010 seperti berikut : Dalam mana-mana prosiding di mana-mana mahkamah, apa-apa imej yang dirakamkan yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan bagi apa-apa kesalahan di bawah Akta ini hendaklah diterima sebagai keterangan, dan hendaklah menjadi bukti prima
facie bagi fakta yang dinyatakan di dalamnya.

Akan ada pula pihak yang akan mengatakan bahawa gambar boleh diterima sebagai keterangan di Mahkamah mengikut peruntukkan Akta Keterangan 1950. Betul, tetapi gambar bagaimana, bagaimana gambar diambil. Jika boleh digunakan peruntukkan Akta Keterangan 1950, kenapa kerajaan bersusah payah meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987 untuk memasukkan penggunaan gambar (imej) sebagai bukti yang boleh diterima?

Apa yang menyedihkan lagi, sudahlah gambar tidak boleh diterima sebagai bukti, para pemandu dan pemilik telah dikenakan bayaran RM10 untuk melihat dan mendapatkan salinan gambar tersebut oleh PDRM. Sudah lah tidak dibuktikan lagi mereka bersalah, mereka dikenakan bayaran untuk membuktikan mereka tidak bersalah. Sistem keadilan apa yang kita guna???

b)     Seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah.

Ada dua (2) isu di sini :
a)     Pembuktian bersalah; dan
b)     Siapa yang boleh menghukum seseorang itu bersalah.

Pembuktian salah.

Seperti yang diulas sebelum ini, adakah semua yang dituduh dan dikeluarkan Saman Ekor ini telah dibuktikan melakukan kesalahan oleh PDRM dan JPJ? Di Mahkamah mana mereka ini dibuktikan bersalah? Jika tidak pernah dibuktikan bersalah, kenapa menghukum?

Siapa yang boleh menghukum seseorang itu bersalah?

Kuasa untuk menghukum ini adalah kuasa Mahkamah. Inilah tujuannya diwujudkan tiga (3) cabang dalam kerajaan iaitu Eksekutif, Perundangan dan Kehakiman. Polis tiada kuasa menghukum. JPJ tiada kuasa menghukum malah kerajaan tiada kuasa menghukum. Hanya Mahkamah sahaja mempunyai kuasa ini. Justeru tindakan menyenarai hitam pemilik kenderaan ini adalah suatu hukuman. Siapa yang menyenarai hitam? Bukan Mahkamah tetapi JPJ. Adakah JPJ telah mendapat perintah Mahkamah untuk menyenarai hitam pemilik kenderaan?

JPJ akan menyatakan mereka mempunyai kuasa di bawah Seksyen 17(1)(d) APJ 1987 untuk menghalang transaksi. Bagaimana kuasa tersebut perlu dibuat? Peruntukkannya menyebut bahawa Pengarah JPJ hendaklah berpuashati bahawa seseorang itu tidak mempunyai “perkara yang belum selesai”. Bagaimana JPJ hendak berpuashati? Mestilah membuat suatu siasatan seperti memberikan peluang membuat representasi kepada pemilik. Ini disebut di dalam Seksyen 17(2) APJ 1987. Adakah ini dibuat? Tanyalah JPJ.

Senario sekarang ini adalah hukum dahulu buktikan kesalahan kemudian. Ini jelas bertentangan dengan prinsip keadilan.

c)     Menyenarai hitam bermaksud menghalang rakyat menggunakan harta.

Perkara ini diulas dengan terperinci di dalam kes Leonard Lim Yaw Chiang lwn Director of Jabatan Pengangkutan Jalan Negeri Sarawak & Anor [2009] 6 CLJ 280.

Yang Arif Hakim Mahkamah Tinggi Kuching tersebut telah memutuskan bahawa “perkara yang belum selesai” yang dimaksudkan di dalam Seksyen 17(1)(d) APJ 1987 ialah perkara yang telah dibawa ke mahkamah di mana yang dituduh tidak membela diri.

Mahkamah juga memutuskan bahawa tindakan JPJ Negeri Sarawak menyenarai hitam di bawah Seksyen 17(1)(d) APJ 1987 di atas suatu kesalahan yang belum dibuktikan adalah salah dan bertentangan dengan undang-undang. Malah tindakan tersebut juga dianggap bertentangan dengan Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak setiap rakyat menggunakan harta mereka.

Akhirnya Mahkamah Tinggi telah membenarkan tuntutan gantirugi terhadap JPJ kerana telah menyebabkan kerugian kepada pemohon di dalam kes itu akibat kehilangan penggunaan harta beliau iaitu kereta yang disenarai hitam.


Justeru saya ingin mengambil peluang ini untuk memperbetulkan persepsi dan pemahaman sesetengah pihak supaya apa yang diperjuangkan dan dibahaskan ini adalah isu penyalahgunaan proses keadilan. FAHAMI ISU SEBENAR! ANDA MAMPU MENGUBAHNYA!




ZULHAZMI SHARIFF
Penasihat Undang-Undang
Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor (KASE)
11/3/2011

Tuesday, March 1, 2011

KENYATAAN MEDIA PRESIDEN PAS ; HAPUSKAN SAMAN EKOR


KENYATAAN MEDIA PRESIDEN PAS
1 Mac 2011
Hapuskan saman ekor sekiranya Pakatan Ke Putrajaya"
Parti Islam SeMalaysia (PAS) berjanji akan menghapuskan saman ekor sekiranya diberi peluang memerintah negara dalam pilihanraya akan datang bersama Pakatan Rakyat. Kita akan bersama rakan-rakan Pakatan Rakyat membincangkan kaedah paling baik bagi menyelesaikan masalah tersebut dan kita percaya PKR dan DAP akan bersetuju dengan tawaran tersebut. PAS ingin menegaskan bahawa pelaksanaan saman ekor bukanlah kaedah terbaik untuk mendidik rakyat supaya berhemah dalam memandu di jalanraya.
Parti Islam SeMalaysia (PAS) berjanji akan menghapuskan saman ekor sekiranya diberi peluang memerintah negara dalam pilihanraya akan datang bersama Pakatan Rakyat. Kita akan bersama rakan-rakan Pakatan Rakyat membincangkan kaedah paling baik bagi menyelesaikan masalah tersebut dan kita percaya PKR dan DAP akan bersetuju dengan tawaran tersebut. PAS ingin menegaskan bahawa pelaksanaan saman ekor bukanlah kaedah terbaik untuk mendidik rakyat supaya berhemah dalam memandu di jalanraya.

Kita memahami keperitan rakyat berhadapan dengan saman ekor yang tidak memberi peluang kepada rakyat untuk dibicarakan, membela diri dan dibuktikan bersalah, sebaliknya rakyat terus dihukum dengan nama mereka disenarai hitamkan dan pelbagai tindakan tidak berperi kemanusiaan.

Setelah beberapa bulan kita mengadakan kempen melalui KASE untuk mendesak dihapuskan saman ekor, tetapi kerajaan melayan dengan mengetatkan lagi akta berkaitan JPJ dan “menswastakan” urusan beberapa aspek saman ini, di mana tindakan ini akan lebih menyusahkan rakyat khususnya masyarakat luar bandar dan kurang berkemampuan. Sebab itulah, kita melihat bahawa rakyat tidak ada pilihan melainkan menukar pemerintahan BN kepada PAS dan Pakatan Rakyat dalam pilihanraya yang akan datang bagi melihat usaha murni kami ini dapat direalisasikan.

Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Presiden Parti Islam SeMalaysia (PAS)

Selasa, 26 Rabiul Awal 1432 / 1 Mac 2011


Friday, December 3, 2010

PAS Gesa Prihatin Kebajikan Muallaf Sabah


Kota Kinabalu – Ketua Dewan Pemuda PAS Sabah Lahirul Latigu memberikan sokongan moral kepada rombongan seramai 40 orang muallaf yang berlepas ke semenanjung untuk tujuan lawatan ke beberapa beberapa lokasi pondok pengajian dan institut pengajian Islam.

Lawatan rombongan muallaf ini atas kerajasama tajaan Yayasan Amal dan JAKIM yang merupakan program kali ke dua seumpamanya diadakan.

Lahirul ketika mengiringi rombongan tersebut di terminal 2 berkata lawatan tersebut merupakan satu usaha yang baik untuk memberi pendedahan dan pengalaman kepada mereka melihat suasana Islam yang sebenar di sana nanti.

Beliau berkata, Pemuda PAS sangat prihatin dengan kebajikan golongan muallaf di Sabah yang masih memerlukan perhatian dari sudut pendidikan asas seperti ilmu fardu ain.

“sehingga ke hari ini masih terdapat sebahagian besar golongan muallaf yang telah memeluk Islam bertahun lamanya tetapi masih mengamalkan budaya pagan dan animisme”

Jelas Lahirul, situasi golongan muallaf di Sabah sangat berbeza dengan situasi golongan muallaf di tempat lain kerana ia melibatkan nasib umat Islam di Sabah ini yang sebelum ini dipandang remeh oleh pemimpin Umno.

Kebanyakkan golongan muallaf di sini hidup dalam keadaan miskin dan tinggal jauh di kawasan kampung-kampung yang tidak mempunyai kemudahan asas seperti seperti air, elektrik dan jalan raya.

Selain itu kata Ketua Penerangannya Salman Amin, dengan bantuan prasarana yang sangat daif dan tidak diberi perhatian, apa yang membimbangkan juga iaitu dakyah dari golongan misionari yang bergerak aktif.

“Antara masalah yang dikenal pasti dihadapi oleh golongan ini iaitu tenaga pengajar yang tidak mencukupi disamping kelas-kelas penggajian agama yang sangat daif, jelas Salman.

Tambah Salman, kita tidak mahu sejarah hitam berulang lagi apabila kemasukkan Islam secara beramai-ramai masyarakat bumiputera ketika pemerintahan Tun Datu Mustapha yang tidak ada tindakan susulan akhirnya mereka kembali kepada agama lama mereka.

“Saya menerima respon daripada pihak yang prihatin dengan golongan muallaf ini agar dilantik seorang speaker dari kalangan mereka untuk bercakap di parlimen agar suara rintihan mereka didengar oleh pemimpin Negara ini”

Sehubungan dengan itu kata Salman, Pemuda PAS akan akan menggerakkan usaha untuk memberikan kesedaran kepada semua pihak akan tanggungjawab menjaga kebajikan golongan muallaf yang juga saudara seakidah mereka.

“Kita akan bertemu dengan pelbagai pihak dari kalangan pendakwah berpengalaman, NGO dan badan kerajaan agar usaha ini mendapat sokongan dari semua umat Islam di Sabah”

Monday, November 1, 2010

Tiba Masanya, Pejuang Usno Bersama PAS




Batu Sapi
- Dewan Pemuda PAS Sabah mengajak kepada semua ahli Usno yang masih teguh memperjuangkan masa depan perjuangan umat Islam di Sabah agar keluar dari Umno dan berganding bahu bersama PAS untuk merealisasiakn cita-cita yang sama, kata Ketua Penerangan Pemuda PAS Sabah Salman Amin.

Sejarah telah membuktikan perjuangan awal Usno sejak ia ditubuhkan telah banyak memberikan sumbangan besar kepada perkembangan umat Islam di Sabah.

Penubuhan USIA yang ditubuhkan oleh Tun Datu Mustapha yang masih berperanan hingga ke hari ini menjadi salah satu bukti kesungguhan beliau untuk memartabatkan Islam di bumi Sabah ini.

Malangnya kata Salman, kemasukkan Umno yang dijangka boleh menjadi rakan untuk membantu umat Islam di Sabah bertindak sebaliknya dengan mengambil kesempatan ini untuk mematikan inspirasi perjuangan rakyat Sabah.

"Ketika itu rakyat di Sabah mungkin terpedaya dengan Islam yang ada pada Umno padahal, ia tidak menggambarkan jatidiri seorang muslim sebenar mengikut Al Quran dan Sunnah"

Kita boleh lihat kesannya sehingga ke hari ini, betapa kefahaman Islam di Sabah masih di tahap yang rendah kerana pemimpin-pemimpin Umno tidak serius membela nasib umat Islam sebaliknya sibuk mengaut khazanah kekayaan bumi Sabah, kata Salman.

"laporan daripada Ngo-Ngo Islam yang masuk ke kampung-kampung mengatakan hampir 30 buah kampung di pedalaman Sabah berisiko tinggi terdedah kepada murtad. Malah di Sabah ada satu istilah iaitu 'kawasan selamat untuk murtad'.

Umno sampai bila-bila tidak akan jadi pembela kepada umat Islam selagi dasar perjuangannya yang bersifat perkauman dengan cuba berselidung disebalik wajah Islamnya"

"Kita boleh lihat sendiri keadaan umat Islam di Batu Sapi yang begitu daif dari sudut pembangunan walaupun begitu setia menyokong Umno selama ini, tambah Salman.

"Walaupun terdapat beberapa jabatan-jabatan yang ditubuhkan oleh kerajaan untuk menjaga hal ehwal umat Islam tetapi ruang lingkup gerakerjanya telah di kawal sepenuhnya oleh pemimpin umno sehingga membantutkan usaha jabatan-jabatan tersebut untuk membantu secara lebih meluas"

Ini terbukti kata Salman, apabila ramai dikalangan para ustaz tidak dibenarkan menyatakan pendirian mereka malah ramai juga yang diperkudakan agar tindakan pemimpin Umno dilihat mendapat sambutan dari badan-badan agama walaupun bertentangan dengan Islam.

"Berbeza dengan Islam yang diperjuangkan oleh PAS yang menjunjung tinggi al Quran dan Sunnah dan menjadi dasar perjuangannya seperti yang tercatat dalam perlembagaan PAS"

"Bukti keazaman PAS untuk memartabatkan Islam tidak mengira bangsa dan keturunan boleh dilihat di Kelantan dibawah pentadbiran Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat"

"Islam yang diperjuangkan oleh PAS tidak pernah berubah walaupun ada dikalangan pemimpin PAS yang dipenjara malah ada yang dibunuh oleh kerajaan yang zalim dibawah pentadbiran Umno-Bn, ujar Salman.

"Istilah PAS parti semenanjung tidak wujud sebenarnya kerana sepertimana Islam yang pernah menguasai 1/3 dunia tidak ada istilah Islam arab, Islam parsi atau Islam eropah kerana semuanya bernaung dibawah sebuah sistem keadilan Islam"

Justeru kata Salman, cukuplah keikhlasan Tun Datu Mustapha yang dikhianati oleh pemimpin Umno kononnya untuk membantu Usno memartabatkan umat Islam di Sabah menjadi satu sebab mengapa pejuang-pejuang Usno perlu bersama dengan PAS bermula di Batu Sapi ini.

Tidak Amanah, Batu Sapi mesti tolak Barisan nasional

Batu Sapi - Masyarakat di Batu Sapi mesti menolak kerajaan Barisan nasional kerana gagal menjalankan amanah mereka sebagai pemimpin yang dilantik oleh rakyat, kata Ahli Parlimen Shah Alam, YB Ir Khalid Samad.

Beliau berkata demikian ketika melakukan ceramah kelompok di Kg Cenderamata kelmarin disini.

Masyakat disini katanya perlu faham bahawa membuat perubahan bukanlah satu kesalahan malah ia merupakan hak rakyat untuk memilih siapa yang mereka akan pilih.

"Jika pemimpin Barisan nasional tidak menjalankan tugas dan amanah yang dipertanggungjawabkan, maka masyarakat di sini berhak untuk untuk tidak memilih mereka pada pilihanraya kali ini, kata Khalid.

Beliau berasa hairan mengapa pengundi masih mengekalkan undi kepada Bn sedangkan keadaan pembangunan dan kebajikan rakyat disini sangat menyedihkan.

Khalid berkata, jika rakyat di Selangor yang sudah pesat membangun dengan segala kemudahan yang ada boleh menukar kerajaan dari Bn kepada Pakatan Rakyat, rakyat di Sabah khusunya di Batu Sapi seharusnya sudah lama menolak Barisan nasional.

Jelas beliau lagi, antara faktor rakyat di Selangor menolak Barisan nasional pada Pilihanraya Umum 2008 kerana pemimpin-pemimpin mereka (Bn) mengamalkan rasuah dan penyelewengan.

Bekas Menteri Besar Selangor katanya, walaupun belum sampai setahun mentadbir tetapi sudah memiliki sebuah rumah yang berharga 4 juta ringgit.

Tambah Khalid, pendapatan royalty minyak Sabah setahun sebanyak 1 bilion ditambah dengan keluaran hasil balak, gas dan kelapa sawit sebenarnya menjadikan Sabah lebih kaya daripada Selangor tetapi malangnya apa yang berlaku iaitu rakyat Sabah masih di tangga termiskin dalam Negara ini.

Selain itu katanya, masyarakat disini jangan terpedaya dengan fitnah dan tohmahan yang dilakukan oleh Bn terhadap 4 buah negeri yang di tadbir oleh Pakatan Rakyat seperti Selangor, Kedah Kelantan dan Pulau Pinang.

Walaupun Pakatan Rakyat di Selangor baru memerintah hampir 3 tahun tetapi perubahan begitu jelas telah dillaksanakan berbanding kerajaan Bn yang sudah mentadbir selama 50 tahun lebih.

Dalam jangka masa yang singkat itu jelas Khalid, kami (PR) sudah mampu melaksanakan pentadbir dan pengurusan yang terbaik dan mengutamakan kebajikan rakyat Selangor.

Justeru katanya, masyarakat disini mesti buat keputusan yang terbaik demi masa depan generasi yang ada sekarang ini dengan memberikan undi kepada calon Pakatan Rakyat Tn Hj Ansari Abdullah dari Parti Keadilan Rakyat pada hari membuang undi 4 November nanti.

Saturday, October 30, 2010

Pemuda Sokong Debat Ansari - Yong




Batu Sapi
- Dewan Pemuda PAS menyokong sepenuhnya cadangan agar debat diadakan diantara ketiga-tiga calon yang bertanding di P185 Batu Sapi.

Langkah itu adalah sesuatu yang wajar bagi memperlihatkan kepada rakyat kredibiliti dan kewibawaan yang ada pada setiap calon yang bakal menjadi wakil rakyat di sini nanti.

Cadangan debat ini tercetus berikutan cabaran debat calon SAPP Datuk Seri Panglima Yong Teck Lee terhadap Ketua Menteri Sabah Musa Aman.

Ajakkan debat Yong itu bermula daripada kenyataan Musa Aman yang mengatakan bahawa slogan 'Sabah untuk orang Sabah' sudah tidak relevan lagi kepada masyarakat Sabah pada hari ini.

Walaubagaimanapun, cabaran debat Ansari itu ditolak oleh Yong atas alasan dia (Ansari) tidak ada local standy untuk berdebat dengannya sebaliknya Yong memilih untuk berdebat dengan Anuar Ibrahim, Ketua Umum PKR.

Ketua Pemuda PAS Sabah, Lahirul Latigu melihat keengganan calon SAPP itu untuk berdebat dengan Ansari sebaliknya memilih Anuar, hanyalah satu helah untuk melepaskan diri.

Lahirul berkata, adalah menjadi kebiasaan di negara-negara yang mengamalkan demokrasi apabila tiba pilihanraya, calon-calon yang bertanding akan dibawa ke pentas debat untuk memperlihatkan kewibawaan masing-masing.

"Suasana ini kita boleh lihat di negara jiran kita sendiri iaitu Indonesia yang berjaya menyuburkan budaya bertukar pandangan ini seterusnya menghasilkan kepimpinan yang berkualiti"

Mengapa tidak di Malaysia tegas Lahirul yang mendakwa negara ini antara negara yang maju dan berpegang dengan sistem demokrasi.

"ini secara tidak langsung memberi peluang kepada rakyat menilai calon-calon yang patut dipilih dan pada masa sama calon-calon yang bertanding dipilih dari kalangan yang mempunyai kelayakkan untuk menjadi wakil rakyat, tambah Lahirul.

Malangnya dinegara yang mengaku mengamalkan demokrasi seperti Malaysia, amalan berdebat dikalangan calon-calon yang bertanding masih belum begitu subur.

Selain itu, Lahirul juga mengajak masyarakat pengundi di Batu Sapi agar tidak terpedaya dengan gula-gula yang ditawarkan oleh Umno-Bn.

Menjelang hari pengundian, curahan projek mee segera di Batu Sapi tidak menggambarkan keikhlasan pemimpin Umno-Bn membantu rakyat sebaliknya mendedahkan betapa gagalnya mereka (Umno-Bn) menjalankan amanah yang diberikan oleh rakyat selama ini.

Terbaru iaitu janji Bn untuk memperuntukkan sebanyak RM5 juta untuk pembinaan Masjid Batu Sapi dan pembaikan bekalan air dan sistem parit yang sangat daif sejak sekian lama.

Mengapa baru sekarang persoal Lahirul, sebaliknya kesusahan yang dialami oleh sebahagian besar masyarakat di Batu Sapi sudah puluhan tahun di bawah pentadbiran Barisan nasional.

Jelas Lahirul, berbeza dengan Kerajaan Pakatan Rakyat seperti di Kedah dan Selangor yang baru saja mentadbir selama 2 tahun setengah, namun telah menunjukkan prestasi pentadbiran yang baik dan mengutamakan kebajikan rakyat.
Unit Media dan IT, Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah tidak bertanggungjawab dengan kehilangan atau kerosakan disebabkan maklumat di dalam laman blog ini

hari ini

asal bukan umno

asal bukan umno

keamanan

borang keahlian

senyum

senyum

ARTIKEL

 

pemuda pas sabah. Copyright 2011 All Rights Reserved