Monday, May 4, 2009

Konsep Ulama dan Kepimpinannya

ulama

“Siapa yang dikatakan Ulama? Siapa yang beri dia pangkat Ulama?” pertanyaan begini sering timbul.

“Kalau kita nak lantik Ulama sebagai ketua, apa kriteria yang menentukan seseorang itu Ulama atau tidak?” soalan dikaitkan pula dengan perjawatan dan perlantikan.

Apabila seseorang menggali khazanah Islam untuk mencari takrif Ulama, sempit pula dada memikirkan bahawa Ulama seperti itu hanya seperti sebutir pasir di tepian pantai di hari ini. Terlalu sukar untuk dicari calon yang memenuhi kriteria seperti yang dinukilkan.

Kesulitan itu bertambah lagi apabila Ulama mahu diangkat sebagai pemimpin. Timbul pula persoalan berkaitan kesarjanaan, apakah ia sinonim dengan kepimpinan?

KELUASAN TAKRIF

Mungkin pendapat-pendapat yang pelbagai tentang takrif Ulama itu, adalah sebagai petanda kepada luasnya cakupan makna bagi kalimah Ulama, yang disebut dua kali di dalam al-Quran, tetapi tidak diperincikan seperti Allah memperincikan perihal harta pusaka atau wanita mahram, di dalam al-Quran. Ruang yang diberikan tanpa perincian itu bertujuan untuk menyediakan unsur keanjalan pada mendefinisikan Ulama sesuai dengan peredaran zaman, tahap keilmuan dan ketamadunan manusia serta keperluan-keperluan yang diperlukan dalam urusan awam merentas masa.

Hanya satu sifat yang melangkaui segala perubahan zaman dan keadaan, bahawa Ulama adalah manusia yang takut kepada Allah:

35_28

“Sesungguhnya, yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hambaNya hanyalah orang-orang yang berilmu (Ulama). Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Pengampun.” [Faathir 35: 28]

Bagaimanakah soal takut kepada Allah ini dapat diukur untuk menentukan siapa yang Ulama dan siapa yang bukan Ulama? Justeru kita bertemu dengan himpunan definisi yang pelbagai oleh sarjana Islam sepanjang zaman yang kesemuanya menjurus kepada makna komitmen penuh seorang hamba kepada segala kehendak, perintah dan larangan Allah Subhanahu wa Ta’aala.

KRITERIA NABI

Namun, Ulama sebagai pewaris para Nabi, bagaimanakah kualiti yang ada pada seorang Nabi, untuk pewarisan itu menepati kriterianya?

Allah Subhanahu wa Ta’aala membantu kita mengungkai persoalan ini melalui dua kisah yang terdapat di dalam al-Quran tentang Musa dan Yusuf ‘alayhima al-Solaatu wa al-Salaam.

Tatkala dua orang anak perempuan Nabi Shuaib menemukan Musa dengan bapa mereka berdua, salah seorangnya berkata kepada ayahanda mereka dengan ungkapan yang diabadikan di dalam al-Quran:

28_26

“Salah seorang di antara perempuan yang berdua itu berkata: “Wahai ayah (Shuaib), ambilah dia (Musa) bekerja, Sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang yang QAWIYY, lagi AMEEN” [al-Qasas 28: 26]

Penjelasan tentang kriteria Musa yang menjadikan beliau sebagai manusia yang paling berkelayakan untuk diupah bekerja diungkapkan sebagai Qawiyy dan Ameen. Pembahagian kualiti Musa kepada dua dimensi Qawiyy dan Ameen ini sangat berguna dalam memahamkan kepada kita apakah yang Allah Subhanahu wa Ta’aala kehendaki dari seorang hamba berkaitan dengan kelayakan dirinya.

Sheikh al-Islam Ibn Taimiyyah membahaskan perkara ini di dalam kitabnya, al-Siyasah al-Syar`iyyah fi Islah al-Ra`i wa al-Ra`iyyah sebagai memudahkan kita mengukur kelayakan.

QAWIYY itu bermaksud kekuatan, keupayaan, kemahiran dan segala yang diperlukan untuk sesuatu tugasan itu dilakukan mengikut spesifikasinya. Di dalam bahasa semasa, kalimah Qawiyy ini boleh difahami sebagai nilai KOMPETENSI.

AMEEN pula merujuk kepada sifat amanah, bertanggungjawab dan segala kualiti akhlaq seseorang yang mudah untuk difahami sebagai nilai INTEGRITI.

Sudah tentulah di dalam suatu pekerjaan, kelayakan tertinggi ialah pada seseorang yang memiliki nilai integriti dan kompetensi yang sama tinggi. Namun realitinya, manusia ada pasang surutnya pada kedua-dua dimensi kelayakan ini. Ada tugasan yang memerlukan keutamaan integriti, ada tugasan yang mesti mengutamakan kompetensi.

Bagi tugasan menguruskan gembala kambing seperti yang bakal dilakukan oleh Musa ‘alayhi al-Salaam, QAWIYY (kompetensi pada kekuatan fizikal dan kemahiran menggembala) disebut dahulu sebagai yang utama, berbanding sifat AMEEN (integriti).

Akan tetapi bagi tugasan yang bersangkutan dengan menguruskan harta dan wang, integriti dan kompetensi sama penting, dengan keutamaan diberikan kepada integriti berbanding kompetensi. Lalu tatkala Yusuf ‘alayhi al-Salaam meminta agar dirinya diposisikan kepada pengurusan perbendaharaan negara, beliau berkata:

12_55

Yusuf berkata: “Jadikanlah daku pengurus perbendaharaan hasil bumi (Mesir); Sesungguhnya aku adalah seorang yang teliti dalam penjagaan (HAFEEZ), lagi mengetahui cara mentadbirkannya (ALEEM)” [Yusuf 12: 55]

HAFEEZ itu adalah soal integriti manakala ALEEM pula merujuk kepada ilmu serta kemahiran sebagai nilai kompetensi baginda.

qawiyamin

Apakah input yang diperlukan untuk mengangkat manusia yang ULAMA berada dari kotak 2 dan 3 kepada Quadrant Par Excellence di kotak 4?

Di sinilah jawapan kepada kayu mengukur kriteria Ulama’ iaitu pada keupayaannya mematuhi seluruh hukum Tuhan pada Syariatullah dan Sunnatullah. Seorang alim yang takutkan Allah bukan hanya takut melanggar hukum Syariat malah juga hukum Sunnatullah. Bukanlah seorang itu dikatakan takutkan Allah apabila dirinya berilmu tinggi tentang halal dan haram, tetapi tidak berasa apa-apa melanggar hukum alam pada pekerjaan dan kehidupannya sedangkan hukum alam itu adalah Sunnatullah yang juga merupakan tuntutan Allah ke atas kita.

Justeru, sebelum Allah Subhanahu wa Ta’aala mengisytiharkan bahawa manusia yang paling takut kepada-Nya adalah para Ulama, Allah Subhanahu wa Ta’aala menjelaskan terlebih dahulu senario-senario yang tidak mungkin difahami kecuali oleh manusia yang menjunjung Syariatullah bersama Sunnatullah.

35_25-28

Dan jika mereka (yang kafir itu) mendustakanmu, (maka yang demikian itu tidaklah menjadi hal) kerana sesungguhnya orang-orang yang terdahulu sebelum mereka telah juga mendustakan (Rasul masing-masing), mereka telah didatangi Rasul-rasulNya dengan membawa keterangan-keterangan (mukjizat) yang nyata dan Kitab-kitab (nasihat pengajaran) serta Kitab-kitab (Syariat) yang terang jelas.

Kemudian Aku timpakan orang-orang kafir itu dengan azab yang membinasakan, maka perhatikanlah bagaimana buruknya akibat kemurkaanKu.

Tidakkah engkau melihat bahawa Allah menurunkan hujan dari langit, lalu Kami keluarkan dengan air hujan itu buah-buahan yang berlainan jenis dan rupanya; dan di antara gunung-ganang pula ada yang mempunyai jalur-jalur serta lorong-lorong putih dan merah, yang berlainan warnanya (tua dan muda) dan ada juga yang hitam legam;

Dan demikian pula di antara manusia dan binatang-binatang yang melata serta binatang-binatang ternak, ada yang berlainan jenis dan warnanya? Sesungguhnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hambaNya hanyalah orang-orang yang berilmu (Ulama). Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Pengampun. [Faathir 35: 25-28]

Ya…

Keterangan itu menjelaskan bagaimana seluruh hidupan di alam ini patuh kepada ketetapan-ketetapan Allah Subhanahu wa Ta’aala. Itulah cara mereka takut dan khusyu’ kepada Allah, iaitu dengan menjalani kehidupan ini sesuai dengan hukum alam iaitu hukum Allah ‘Azza wa Jalla yang Maha Esa. Jika seluruh makhluk di alam ini hidup dengan kepatuhan yang sedemikian rupa, bagaimanakah pula dengan manusia? Kemusnahan kaum-kaum yang engkar kepada perintah Allah (melanggar Syaritullah) adalah hukum Allah ke atas manusia (Sunnatullah).

Mampukah dikatakan seseorang itu takutkan Allah, dan dia adalah seorang yang Alim (Ulama), andai dia bersolat khusyu’, menjaga halal dan haram dalam kehidupan tetapi dalam masa yang sama menentang hukum alam?

Dia Syariatik.

Tetapi dia tidak saintifik.

Dengan ilmu Syariat, dilabelkannya manusia yang menolak Syariat sebagai golongan sekular. Tetapi dalam masa yang sama dia menolak hukum Sains (Sunnatullah) yang sebenarnya menjadikan dirinya juga sekular on the other side of the same coin.

KESARJANAAN ERA OTHMANIYYAH

Hal ini sangat ketara pada kaedah pembinaan tsaqafah (ilmu dan pemikiran) seseorang untuk melayakkan dirinya dianggap sebagai Ulama’ di era Othmaniyyah. Taskopruluzade Ahmet (1495 - 1561), seorang encyclopaedist Othmaniyyah yang terkenal dengan kitabnya Shakaik al-Nu’maniya telah menjelaskan klasifikasi ilmu seorang yang diiktiraf sebagai Alim Ulama. Ilmu-ilmu yang perlu dikuasai adalah:

  1. The calligraphic sciences: writing implements, styles of writing, etc
  2. The oral sciences: the Arabic language amd phonetics, lexicography, etymology, grammar and syntax, rhetoric, prosody, poetry, composition, history and other literary sciences.
  3. The intellectual sciences: logic and dialectics.
  4. The Spiritual sciences:
    1. The theoretical rational sciences: general theology, natural sciences, mathematics.
    2. The practical rational sciences: ethics, political sciences.
    3. the theoretical religious sciences: the Quran and Sunnah, the sciences devoted to their interpretation - Quranic exegesis, the study of prophetic traditions, Islamic theology and the principles of Islamic law and jurisprudence.
    4. The practical religious sciences: practical ethics, etiquette, ihtisab, and all subjects relating to Muslim life and worship.
    • The Ottoman Empire: The Classical Age 1300 -1600 by Halil Inalcik (1997), page 165.

Inilah kriteria individu yang dikenali sebagai kelompok Sarjana atau Ulama di era Othmaniyyah. Kriteria inilah yang diletakkan untuk kelayakan seseorang itu mengisi jawatan mudarris, kadi, mufti dan seterusnya Sheikh ul-Islam.

Kesimpulannya, seorang saintis yang menolak hukum Syariat bukan sarjana dan bukan Ulama. Manakala seorang ustaz atau tuan guru yang menolak hukum Sains juga bukan sarjana dan bukan Ulama. Kedua-duanya adalah kelompok songsang yang tidak takut kepada Allah.

DEWAN ULAMA DAN INTELEKTUAL ISLAM

yusufrawaera80an

Al-Marhum Ustaz Yusuf Rawa dalam kenangan. Kembali ke Rahmatullah pada April 2000

Semasa Muktamar PAS berlangsung pada tahun 1983, Ustaz Yusuf Rawa yang mempelopori konsep Kepimpinan Ulama sebagai reaksi kepada peralihan era Dato’ Asri Muda kepada kepimpinan yang baru, beliau (Ustaz Yusuf Rawa) telah menukar nama Dewan Ulama PAS kepada Dewan Ulama dan Intelektual Islam.

Katanya:

Pembinaan kembali insan Muslim menerusi program pendidikan dan tarbiyyah akan dikendalikan perlaksanaannya oleh Dewan Ulama dan Intelektual Islam yang akan diberi tugas dan peranan penting dalam penyusunan baru organisasi Parti Islam.

Para Ulama dan intelektual Islam merupakan gabungan tenaga yang penting dalam usaha memupuk dan meningkatkan kesedaran Islam di kalangan ummah. Seluruh tenaga PAS di peringkat ahli-ahli dan pimpinan mestilah turut secara aktif bagi membantu para Ulama dan intelektual Islam itu melaksanakan tanggungjawab yang diberikan kepada mereka dalam suasana baru itu.

Perubahan Dewan Ulama kepada Dewan Ulama dan Intelektual Islam juga bertujuan untuk memadukan Ulama dan intelektual Islam sekali gus menghapuskan jurang perbezaan keilmuan yang wujud di kalangan mereka dan mengadunkan ilmu serta pengalaman masing- masing dalam konsep, matlamat dan peranan ilmu dalam Islam sehingga dualisma yang memisahkan ilmu Syariat dan ilmu akliyyah itu dihapuskan!

-[Kamaruddin Jaafar (ed.) : Memperingati Yusuf Rawa, pp. 55-66]

Sungguh hebat kenyataan Ustaz Yusuf Rawa ini kerana ia sudah pun dibentangkan seawal tahun 1983. Gagasan Kepimpinan Ulama yang diusahakan beliau bukanlah suatu gerakan untuk menghasilkan para MULLAH sebagaimana yang dirisaukan oleh al-Marhum Ustaz Abu Bakar Hamzah. Sebaliknya ia adalah gagasan untuk merawat paradigma sekular sama ada sekular pada menolak agama, atau sekular pada menolak intelektual sains. Ulama yang berkelayakan memimpin ialah ulama yang harmoni pada konsep ini.

Apa yang diperlukan oleh PAS untuk memenangkan Islam, adalah para ideologue yang pemikirannya telah dirawat daripada dualisma sekularisma yang memisahkan di antara ilmu Syariat dan ilmu akliyyah itu tadi.

Tetapi, apa yang berlaku, hanyalah kepada memadukan golongan Ulama dan intelektual ini di dalam kebersamaan mereka bekerja di dalam satu parti, tetapi memadukan pemikiran, paradigma dan pandangan hidup (worldview) masih belum berlangsung dengan baik. Golongan agamawan berjaya duduk semeja dengan golongan profesional tetapi proses memadukan disiplin dan ilmu masing-masing tidak berlaku. Golongan agamawan melihat banyaknya bahagian mereka yang perlu dipelajari oleh golongan profesional, tetapi tidak pula jelas pada melihat apa yang perlu agamawan ini ambil daripada disiplin dan ilmu golongan profesional seperjuangannya itu tadi.

Pergeseran di antara golongan Ulama’ dan profesional, dalam mendefinisikan kelayakan kepimpinan, menunjukkan bahawa cita-cita al-Marhum Ustaz Yusuf Rawa masih jauh dari realiti yang ada. Golongan profesional yang sekular mungkin tidak akan mendekatkan diri kepada PAS, tetapi masalah yang besar ialah bagaimana pula dengan ustaz sekular yang menolak ilmu aqliyyah, Sunnatullah atau ilmu Sains di dalam PAS?

Justeru, dalam suasana PAS sedang bergerak menuju kepada kepimpinan negara, keperluan untuk menguasai ilmu secara holistik bagi menghasilkan response yang tepat kepada kemajmukan Malaysia, kecamukan ideologi di dalam politik, ekonomi dan sosial serta gelombang globalisasi yang begitu meruncing, sentimen pergeseran di antara golongan agamawan dengan profesional, hanya akan mengheret PAS berpatah balik ke belakang, lebih ke belakang daripada 1983 yang telah didefiniskan dengan tepat dan jelas oleh al-Marhum Ustaz Yusuf Rawa.

Sesungguhnya kelayakan memimpin bukanlah pada agamawan atau Profesional, tetapi pada kemurnian aqliyyah Islam yang dicernakan di dalam kriteria Nabi Musa dan Nabi Yusuf yang kita warisi perjuangannya itu. Itulah ULAMA yang HAKIKI.

Kepimpinan Ulama bukan slogan atau retorik, tetapi satu agenda yang menuntut perubahan. Mengubah pemikiran agar berubah pendekatan dan kaedah perjuangan.

Selamat maju jaya, buat sekalian pejuang agama!

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 Ampang

BACAAN LANJUT

  1. ISLAM EMBEDDED: THE HISTORICAL DEVELOPMENT OF THE PAN-MALAYSIAN ISLAMIC PARTY PAS (1951-2003) oleh FARISH A. NOOR terbitan MALAYSIAN SOCIOLOGICAL RESEARCH INSTITUTE, KL (2004)
  2. THE OTTOMAN EMPIRE: THE CLASSICAL AGE 1300 - 1600 oleh HALIL INALCIK terbitan PHOENIX ORION BOOKS LTD, LONDON (1997)
  3. AGENDA 2008: APA ERTI SAYA MENGANUT ISLAM oleh ABU SAIF di http://saifulislam.com/?p=1216

Sunday, May 3, 2009

Isu Status Agama Anak Bawah 18 tahun : Respon Peguam Pembela Islam

Keputusan Jemaah Menteri
Meminggir Perlembagaan Persekutuan dan Hukum Syarak
Masyarakat Islam arus perdana amat terkejut dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz bahawa Jemaah Menteri telah bersetuju memutuskan kanak-kanak mesti kekal menganut agama asal ketika ibubapanya berkahwin walaupun salah seorang pasangan itu menukar agama. Keputusan yang dibuat oleh jemaah menteri dikatakan sebagai langkah penyelesaian jangka panjang berhubung isu pertikaian status agama kanak-kanak berkenaan apabila ibu atau bapa mereka menukar agama.


Keputusan Jemaah Menteri ini sangatlah dikesali. Manifestasi kekesalan ini dizahirkan apabila lebih seratus NGO Islam berkumpul menyatakan bantahan mereka (24.4.09). Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) juga melalui Timbalan Presidennya Musa Awang telah mengeluarkan kenyataan membantah keputusan tersebut. PGSM adalah NGO pertama yang menyuarakan kekesalan mereka.

Bagi memahami implikasi keputusan jemaah menteri ini beberapa perkara perlu diperincikan terlebih dahulu terutamanya kedudukan perlembagaan, undang-undang dan hukum syarak.

Sebenarnya terdapat tiga perkara utama yang terkesan daripada keputusan ini iaitu berkaitan dengan pembubaran perkahwinan, agama anak dan pemeliharaan anak.

Pembubaran Perkahwinan
Di dalam perkahwinan sivil yang didaftarkan melalui Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 pembubaran perkahwinan hanya boleh berlaku jika perkahwinan itu telah pecahbelah dan tidak dapat diselamatkan lagi. Perkara ini termaktub di dalam seksyen 52 Akta tersebut. Seksyen 51 Akta yang sama pula menjelaskan jika salah seorang pasangan itu memeluk Islam pasangan yang tidak memeluk Islam itu boleh memfailkan petisyen pembubaran perkahwinan menurut seksyen berkenaan selepas tiga bulan pasangannya memeluk Islam.


Ini bermakna petisyen perceraian atas alasan pemelukan agama Islam hanya boleh difailkan oleh pasangan yang tidak memeluk agama Islam sahaja. Selagi dia tidak memfailkan petisyen perceraian tersebut perkahwinan sivilnya bersama pasangan yang telah memeluk Islam tetap dianggap sah di bawah akta tersebut.
Jelaslah di sini ketidakadilan yang amat sangat berlaku kepada pasangan yang memeluk Islam itu memandangkan beliau langsung tidak mempunyai locus standi untuk memfailkan petisyen perceraian berdasarkan seksyen tersebut.

Namun mahkamah syariah menurut Jadual Kesembilan Senarai 2 Butiran I Perlembagaan Persekutuan, boleh membuat penentuan sesuatu perkara mengenai hukum dan doktrin syarak. Seksyen 46(2) Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 menepati semangat Perlembagaan Persekutuan ini dengan memberi kuasa kepada mahkamah syariah membuat penentuan mengikut hukum syarak apakah kedudukan perkahwinan tersebut. Seksyen 46(2) tersebut memperuntukkan jika salah satu pihak kepada sesuatu perkahwinan bukan Islam memeluk Islam, maka perbuatan yang demikian tidak boleh dengan sendirinya berkuatkuasa membubarkan perkahwinan itu melainkan dan sehingga disahkan oleh Mahkamah. (Mahkamah di sini bermaksud mahkamah syariah). Seolah-olah terdapat polemik di sini di mana kedua-dua mahkamah mempunyai bidangkuasa. Oleh yang demikian terdapatlah cadangan seksyen di atas ditiadakan bagi menyelesaikan kemelut ini. Tetapi sebenarnya bukan hanya seksyen tersebut sahaja perlu dipinda malah seksyen yang sama di negeri-negeri lain juga perlu dipinda dan mendapat pekenan Raja-Raja Melayu. Ia mungkin jalan yang tidak mudah digapai.

Sebenarnya tatkala seseorang itu telah memeluk Islam sudah pasti Perlembagaan Persekutuan memberi jaminan kepada mualaf itu mengamalkan agamanya termasuklah undang-undang diri seperti munakahat. Mengheret mualaf ini ke mahkamah sivil merupakan pelanggaran hak kebebasan beragama bagi mualaf ini. Seorang yang sudah mendapat hidayah daripada Allah sudah tentu tidak mahu balik ke zaman jahiliyahnya kembali. Inilah hak yang perlu dipertahan oleh kerajaan dan bukan merobek hak ini atas alasan yang picisan yang tidak selaras dengan Perlembagaan.

Membawa orang bukan Islam ke mahkamah syariah pula bukanlah suatu perkara yang mudah kerana kebiasaannya orang bukan Islam enggan hadir ke mahkamah syariah atas alasan tidak mahu tertakluk kepada undang-undang Islam. Namun sebenarnya apa yang diputuskan oleh mahkamah syariah hanyalah membuat perisytiharan di sisi hukum syarak apakah kedudukan perkahwinan tersebut sahaja. Amatlah tidak wajar mualaf ini dinafikan hak ini.


Hakikatnya ialah sebahagian orang bukan Islam tidak mengiktiraf langsung keujudan mahkamah syariah ini. Mereka tidak mahu membantu mahkamah syariah memberi keputusan yang adil. Mereka sanggup memberi keterangan di medan media tetapi tidak di mahkamah syariah. Mahkamah Syariah adalah sebahagian dari system perundangan negara yang sah. Tidak ada seorangpun boleh memperlekehkan mahkamah syariah.

Agama Anak
Perkara 12(3) Perlembagaan Persekutuan menyatakan tiada seorangpun boleh dikehendaki menerima ajaran sesuatu agama atau mengambil bahagian dalam apa-apa upacara atau upacara sembahyang sesuatu agama, selain agamanya sendiri.
Perkara 12(4) pula menegaskan bagi maksud Perkara 12(3) di atas, agama bagi seseorang yang di bawah umur lapan belas tahun hendaklah ditetapkan oleh ibu atau bapanya atau penjaganya.

Perkara 12(4) ini telah ditafsirkan oleh penghakiman mahkamah tertinggi negara iaitu Mahkamah Persekutuan di dalam kes Subahsini mlwn Saravanan di mana mahkamah tersebut telah memutuskan bahawa salah seorang (bukan kedua) ibu bapa boleh menentukan keIslaman anak tersebut.

Peruntukan Perkara 12(4) dan juga tafsiran yang dibuat oleh Mahkamah Persekutuan tersebut sebenarnya selaras dengan Hukum Syarak. Sebenarnya telah disepakati di kalangan ulama’ bahawa apabila salah seorang ibubapa bukan Islam memeluk Islam, anak di bawah umur mereka itu disifatkan sebagai Islam. Ini adalah kerana anak yang dilahirkan itu adalah fitrah, dan fitrah di sini bermaksud Islam.

Undang-Undang Syariah ditegakkan berasaskan kepada al maqasid al syariah. Terdapat lima al maqasid al syariah (objektif syariah) iaitu menjaga agama (hifz al din), nyawa (hifz al nafs), keturunan (hifz an nasab), akal (hifz al aql) dan harta (hifz al mal).

Bagi mencapai maqasid ini umat Islam dipertanggungjawabk an memelihara kelima-lima perkara ini termasuklah menjaga agama dan keturunan. Oleh yang demikian agama anak itu hendaklah mengikut mana-mana ibubapa yang Islam. Umat Islam tidak dapat menerima sekiranya al maqasid al syariah ini tidak dapat dicapai.

Alasan Nazri agar mengikut ‘common sense’ adalah telalu dangkal. Dalam undang-undang kita tidak boleh menggunakan ‘common sense’. Ada asas dan falsafah yang perlu ditafsirkan dan dihayati. Sebagai perbandingannya jika kita menggunakan common sense tersebut, adalah kita boleh dianggap tidak melakukan kesalahan trafik apabila melanggar lampu isyarat merah tatkala tiada kenderaan yang melintasi di hadapan kita? Secara common sense nya sudah tentu kita tak bersalah tetapi undang-undang mempunyai falsafahnya tersendiri bagi mengawal kemaslahatan sejagat. Apatah lagi ‘common sense’ beliau itu melanggar hukum syarak pula.

Keputusan jemaah menteri tidak boleh mengatasi peruntukan Perkara 12(4) dan tafsiran yang dibuat dalam kes Subahsini. Jemaah menteri juga sebagai badan eksekutif tidak boleh mencampuri urusan kehakiman (samada sivil ataupun syariah) apatah lagi menganggu keputusan mahkamah dengan mengeluarkan kenyataan bertentangan dengan keputusan mahkamah. Seharusnya segala ruang yang dibenarkan oleh undang-undang diambil bagi menangani permaslahan ini dan bukan melalui campurtangan eksekutif yang secara langsung merujuk kepada kes Muhammad Ridzuan tersebut.

Pemeliharaan Anak
Mengenai pemeliharaan anak pula. Sudah menjadi amalan di mahkamah syariah dan mahkamah sivil bahawa kebajikan anak mengatasi hak ibu atau bapa. Di dalam memutuskan hak jagaan anak sudah tentulah faktor mengenai kebajikan anak ini di titikberatkan. Kebajikan anak ini termasuklah permasalahan aqidah, tumbesaran dan pembelajaran anak tersebut. Perkara sebegini boleh diputuskan oleh Mahkamah. Hak memelihara anak ini biasanya diputuskan setelah mengambil kira keperluan dan kebajikan anak.

Namun apa yang berlaku ialah masyarakat bukan Islam atas sebab-sebab tertentu terlalu takutkan mahkamah syariah dan menganggap mahkamah syariah hanya mempertahankan hak orang Islam sahaja. Sudah dibuktikan di dalam beberapa kes di mahkamah syariah, keputusan yang dikeluarkan oleh Hakim Syarie tidak memihak kepada orang Islam tetapi memihak kepada keadilan.

Berbalik kepada keputusan jemaah menteri di atas, amat jelas keputusan tersebut gagal mempertahankan kelebihan agama Islam sebagai agama Persekutuan. Keputusan tersebut menyamatarafkan Islam dengan agama-agama lain dan perkara ini tidak dapat diterima oleh masyarakat Islam arus perdana.

NGO-NGO Islam juga mempersoalkan keputusan Jemaah Menteri yang dibuat itu langsung tidak mengambilkira pandangan NGO-NGO Islam. Dalam masa yang sama pula pihak kerajaan termasuk Timbalan Perdana Menteri telah berjumpa dengan NGO bukan Islam mengenai kes yang tersebut di atas. Tiada usaha untuk mendapatkan pandangan NGO Islam dilakukan bagi mendapat pandangan mereka sebelum keputusan dibuat.

Malah ada beberapa NGO Islam cuba untuk bertemu dengan pimpinan kerajaan tetapi tidak dapat direalisasikan. Seharusnya pihak kerajaan lebih peka dengan sensitiviti umat Islam khususnya masyarakat saudara baru. Suara mereka harus didengar terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan yang membabitkan mereka dibuat. Hak mereka untuk didengar (audi alteram partem) oleh pimpinan kerajaan sudah tiada lagi. Di manakah audi alteram partem itu?

Pihak Kerajaan perlu lebih berhati-hati di masa akan datang dalam membuat keputusan berkaitan Islam. Jangan mendahului para ilmuan Islam dan ulama. Pandangan NGO Islam juga mestilah diambilkira. NGO-NGO Islam telah menzahirkan kegusaran mereka berhubung dengan keputusan jemaah menteri tersebut, sudah sewajarnyalah keputusan tersebut ditarik balik.


Zainul Rijal Abu Bakar,
Setiausaha Agong, Peguam Pembela Islam

Monday, April 27, 2009

PEMUDA PAKATAN DESAK JAPLIN LETAK JAWATAN



PEMUDA Pakatan Rakyat mencapai keputusan sebulat suara mendesak Pembantu Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Datuk Japlin Akim meletakkan jawatannya setelah didapati bersalah oleh Lembaga Disiplin UMNO kerana mengamalkan politik wang.

"Memandangkan beliau telah ditahan reman selama tiga hari dan sedang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), maka adalah wajar beliau meletakkan jawatan," ujar jurucakap Pemuda Pakatan Rakyat, Abdul Razak Haji Jamil selepas membuat kenyataan akhbar lima perenggan di pejabat guamannya di Asiacity, Kota Kinabalu.




SEPAKAT....Razak (duduk), Teddy (dua dari kiri) dan Salman (kanan sekali) menunjukkan kenyataan akhbar bertulis mereka di pejabat guaman Razak.


Razak menarik perhatian, pemimpin Pakatan Rakyat seperti Fairus meletakkan jawatan sebaik sahaja disiasat oleh SPRM walaupun akhirnya didapati tidak ada kes untuk diambil tindakan di bawah undang-undang rasuah.

"Sikap telus pemimpin Pakatan Rakyat ini sewajarnya dicontohi Barisan Nasional yang mewar-warkan untuk memerangi rasuah. Bukankah Lembaga Disiplin UMNO telah mendapati beliau bersalah, jadi mahu tunggu apa lagi," tanya Razak yang kesal kerana Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman 'menutup sebelah mata' di atas jenayah yang dilakukan Japlin dengan mengekalkan Japlin sebagai Pembantu Menteri.

Kenyataan bersama antara tiga Dewan Pemuda Pakatan Rakyat tersebut kata Razak dibuat setelah mengkaji sentiviti rakyat Sabah yang menolak pemimpin yang rasuah dan mereka hanya melestari keluhan rakyat agar pemimpin yang telah didapati bersalah sama ada oleh Parti atau Mahkamah disingkirkan daripada memegang jawatan di dalam kerajaan.

Tegas Razak, sebagai persediaan untuk menghadapi senario politik dan ekonomi Malaysia yang agak gawat, pemimpin yang terlibat dengan rasuah harus diketepikan segera atau meletakkan jawatan agar sistem akauntabiliti dan ketetelusan kerajaan tidak diragui masyarakat.

Dalam pada itu, Ketua Pemuda DAP Sabah, Yang Chang Tze @ Teddy Yang, ketika ditanya kenapa tidak melaporankan isu ini kepada SPRM, Teddy menjawab dan ianya tidak perlu kerana SPRM sedang menjalankan siasatan dan telah mengenakan ikat jamin RM100,000 ke atas Japlin.

"Apa yang kita perlukan sekarang ialah komitment kerajaan membasmi rasuah yang berleluasa di dalam sistem penyampaian dan pentadbiran kerajaan dan oleh kerana Lembaga Disiplin UMNO telah mendapati Japlin bersalah, maka beliau harus meletakkan jawatan, walaupun SPRM masih menjalankan siasatan," ujar Teddy yang menjelaskan DAP memandang berat isu pengekalan jawatan Japlin.

Manakala Wakil Dewan Pemuda Pas, Salman Mohd Amin mendakwa pihaknya tidak boleh bertolak ansur dengan amalan rasuah dan menyokong penuh deklarasi Pemuda Pakatan Rakyat yang mendesak Japlin meletakkan jawatan.

"Pendirian Pas amat jelas iaitu menentang amalan rasuah dan sekutu dengannya. Kita akan menentang setiap amalan rasuah pada masa sekarang dan akan datang," tegas Salman yang mengalu-alukan tindakan Kerajaan membasmi rasuah bagi memastikan konsep 1Malaysia menjadi realiti dan bukannya mimpi ngeri rakyat Malaysia.

Dalam pada itu, Japlin tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komen berhubung desakan berkenaan. Sms yang dihantar juga belum dijawab.


Sumber : Sabahkini.net



Sunday, April 19, 2009

Kursus Pengurusan Pasti Pantai Barat


Satu kursus pengurusan PASTI yang melibatkan lebih 30 pentadbir, pengurus dan AJK PASTI seluruh Pantai Barat Sabah telah diadakan salah sebuah lokasi terkemuka di Bandaraya Kota Kinabalu hari ini.


Kursus setengah hari itu telah mendedahkan kepada peserta perkara yang berkait dengan pengurusan kewangan dan pentadbiran PASTI. Sebanyak tiga kertas kerja dibentangkan oleh tiga tokoh-tokoh yang berkaliber dalam pengurusan PASTI.


img_11581Pengarah PASTI Pantai Barat Sabah, Cikgu Abd Hamid Abu Bakar (gambar) ketika ditemui selepas kursus berkenaan menjelaskan, objektif kursus itu diadakan adalah untuk memberi pendedahan kepada pengurus, setiausaha dan bendahari PASTI tentang kaedah pengurusan PASTI yang lebih berkesan sebagai pusat pembelajaran pra sekolah.


“Apa yang diharap selepas ini, seluruh AJK PASTI akan lebih berperanan untuk meningkatkan kualiti pengurusan PASTI di tempat masing-masing”, katanya.


Sementara itu, peserta-peserta kursus berkenaan yang datang dari pelbagai daerah termasuk Kudat, Pitas, Kota Marudu, Kota Belud, Beaufort, Keningau, Papar, Kota Kinabalu, Putatan dan Sepanggar rata-rata memuji dan berterima kasih atas usaha baik pengurusan PASTI Pantai Barat Sabah mengadakan kursus berkenaan.


Salah seorang peserta kursus, Ust Mustaqim Aling berpendapat pembentangan kertas-kertas kerja sepanjang setengah hari itu merupakan satu anjakan baru kepada semua mudir @ pengurus-pengurus PASTI.


“Apa yang diketengahkan oleh pembentang, bagi kami dari PASTI Kota Belud adalah suatu yang baru, kerana mungkin pendedahan seumpama ini tidak pernah diadakan (kepada pengurus PASTI). Ini adalah satu perkembangan yang baik dan kami berharap akan ada susulan selepas daripada ini”.

Friday, April 17, 2009

Liqa’ Bersama Ust. Hafiz Nordin di PPPNS

Sumber dari: http://inksensei.wordpress.com/

dsc01391edited1

Baru-baru ini berlangsung satu perjumpaan dengan Ust. Hafiz Nordin (Ketua Pemuda PAS P.Pinang) di PPPNS. Banyak maklumat yang dikongsi bersama, terutamanya tentang perkembangan pemuda di sana dan lain-lain.

Antaranya, beliau menjelaskan bagaimana PASTI di sana menjadi wadah untuk bersama & berdamping dengan masyarakat, di mana melalui aktiviti-aktivitinya membuka hubungan secara terus dengan rakyat. Selain PASTI, sekolah rendah agama mereka juga mendapat sambutan termasuklah dari golongan profesional yang menghantar anak-anak mereka belajar di sana. Mengenai hal yang sama, Ust. Hafiz juga meluahkan rasa hati beliau dimana dari segi pengorbanan, kita masih perlu mempertingkatkannya lagi, terutamanya dari segi kebajikan ahli & pemantapan organisasi kita untuk lebih berkesan kepada masyarakat.

Mengenai Pemuda PAS P. Pinang, Ust. Hafiz menjelaskan bahawa Pemuda P. Pinang berfungsi sebagai check & balance yang gigih walaupun mendapat banyak tentangan daripada Pusat melalui polis yang berlagak seperti *komunis dalam negara demokrasi. Mengenai Pakatan Rakyat pula, Ust. Hafiz menyatakan harapan & meminta kita berdoa mohon pimpinan-pimpinan dalam PR seperti Lim Guan Eng kembali kepada Islam.

Ust. Hafiz menjelaskan bahawa UMNO sedang menuju kehancuran disaat orang mula yakin dengan PAS yang tidak terlibat dengan budaya lompat parti, rasuah dsb.

Ust. Hafiz juga kagum dengan keazaman pemuda PAS dalam dakwah, terutamanya dalam amar makruf nahi mungkar. Beliau bersama pemuda di sana yang risau dengan gejala maksiat yang semakin berleluasa telah melakukan beberapa tindakan pro-aktif dengan turun padang. Sebagai contoh, menentang maksiat bentuk baru seperti kes hi-dance yang nyata mengalakkan pendedahn aurat, percampuran antara lelaki & perempuan, selain menggalakkan budaya hedonism.

Selain itu, Pemuda di sana turut membuka rumah perlindungan & pemulihan untuk remaja wanita bermasalah iaitu Rumah Upaya Daya & Harapan Ar-Rahman atau RAUDHAH.

Dalam pesannya beliau menyatakan kita mesti terus turun berdakwah bersama masyarakat samada sebagai individu, parti, atau NGO. Beliau sendiri turut mempromosikan ESQ sebagai satu cara untuk membantu pesertanya untuk berubah menjadi lebih baik dengan izin Allah.

*perkataan bergaris adalah dari penulis

Saturday, April 11, 2009

SPRM: Ketua Pemuda Umno Sabah diikatjamin

Apr 11, 09 9:33pmKetua Pemuda Umno Sabah,

Japlin Akim, yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Khamis lalu dan ditahan reman selama tiga hari untuk membantu siasatan, dibebaskan dengan ikatjamin hari ini.

Japlin, yang juga menteri muda pembangunan infrastruktur negeri, adalah antara pemimpin Umno yang didapati bersalah oleh Lembaga Disiplin Umno sebelum pemilihan itu hujung bulan lalu.

Ekoran itu, keahliannya dalam Umno digantung selama tiga tahun. Khamis lalu, Japlin ditahan bersama seorang kontraktor tempatan, Limus Jury, yang juga dibebaskan dengan ikatjamin hari ini.

Japlin dikenakan ikatjamin RM100,000 manakala Jury dibebaskan dengan ikatjamin RM300,000. Kedua-duanya dibebaskan dari balai polis Karamusing pada kira-kira jam 6.15 petang. Hadir sama ialah peguam mereka David Tan dan Nobert Chin.

Difahamkan, Majistret Herlina Muse menolak permohonan SPRM untuk melanjutkan tahanan reman ke ta Japlin dan Jury selama empat hari lagi selepas mendengar hujah dari kedua belah pihak di prosiding yang diadakan di balai polis tersebut.

"Kedua-duanya ditahan oleh pasukan SPRM dari Putrajaya tanpa pengetahuan SPRM negeri dan dipercayai berkaitan dengan ‘politik wang' sewaktu pemilihan Umno bulan lalu," kata satu sumber.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman yang juga pengerusi Umno Sabah dilaporkan berkata, Japlin kekal sebagai ADUN Usukan dan jawatan timbalan menteri yang disandangnya walaupun lembaga disiplin telah mendapatinya bersalah terbabit dalam politik wang.

Penyokong kuat Khairy

Sementara itu, dua lagi ketua Pemuda negeri - Nizam Abu Bakar Titingan dan Faizal Ampong - turut dipanggil oleh SPRM untuk soal siasat.

Mereka tiba di balai polis Karamunsing sejurus selepas Japlin dan Jury dibebaskan.

Nizam adalah timbalan ketua Pemuda Umno Sabah manakala Faizal pula merupakan bekas ketua Pemuda Batu Sapi.

Berikutan penahanan tersebut, difahamkan SPRM turut meneliti kes ketua Pemuda Umno Malaysia, Khairy Jamaluddin yang didapati bersalah oleh lembaga disiplin berhubung politik wang.

Japlin dikenali sebagai penyokong kuat Khairy.

Pada 17 Mac, Khairy didapati bersalah oleh lembaga tersebut selepas ejennya terbabit dalam politik wang, tetapi hanya diberi amaran kerana tidak cukup bukti.

Beliau juga dibenarkan bertanding jawatan ketua Pemuda Umno, yang dimenanginya selepas menewaskan dua lagi calon - bekas menteri besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo dan ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir.

Khairy, yang menegaskan beliau tidak melakukan sebarang kesalahan, juga tidak tersenarai dalam barisan kabinet baru Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang diumumkan Khamis lalu.
Unit Media dan IT, Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah tidak bertanggungjawab dengan kehilangan atau kerosakan disebabkan maklumat di dalam laman blog ini

hari ini

asal bukan umno

asal bukan umno

keamanan

borang keahlian

senyum

senyum

ARTIKEL

 

pemuda pas sabah. Copyright 2011 All Rights Reserved