Tuesday, December 13, 2011

Ke mana wakil Sabah dalam Skuad Harimau Muda?

PENSIANGAN, 13 Dis: PAS Sabah hari ini membangkitkan persoalan mengenai ketiadaan pemain Sabah dalam skuad bola sepak negara, ‘Harimau Malaya’ dan ‘Harimau Muda’.

Ketua Penerangan PAS Sabah, Hisammuddin Sulaiman dalam kenyataan yang dikeluarkan kepada Unit Media PAS Sabah melahirkan dukacita kepada pemain bola sepak tempatan Sabah yang tidak mendapat tempat bukan sahaja mewakili negeri malah negara secara keseluruhannya.

“Kami, diperingkat PAS Sabah melahirkan dukacita dengan perkembangan ini.

“Bukan atas faktor layak atau tidak, tapi apa yang diusahakan barisan Menteri Sukan Sabah dan Ahli Parlimen Sabah untuk melihat situasi ini, dan jangan memandang ianya suatu yang bersifat rasis,” katanya.

Beliau turut mempersoal kelibat wakil rakyat Sabah terutama ahli Parlimen dan Menteri Sukan Sabah yang ‘kurang berminat’ dengan bola sepak dan lebih kepada isu nasional yang lain.

“Ini hak anak Sabah yang perlu dipertimbangkan, sama ada baik mahupun sebaliknya.

“Usaha ke arah ini perlu ada… bukan kita mahu mendabik dada kita ada pasukan dan pemain terbaik. Tapi, perkembangan ini merupakan sesuatu yang tidak sihat berlaku. Tiada salah sekiranya gabungan antara negeri-negeri di Malaysia ini termasuk Sabah membentuk pasukan kebangsaan muda negara,” ujarnya.

Katanya lagi, anak muda Sabah yang mempunyai potensi dan bakat dalam bola sepak tidak mempunyai jalan untuk mengetengahkan bakatnya untuk ditonjol dan diasah peringkat negeri.

“Ada di kampung-kampung, mereka ini boleh pergi jauh. Tapi jauh ke arah mana… kita sendiri tidak tahu.

Apa wakil rakyat Sabah melihat ini satu cabaran atau satu peluang?” katanya.

PAS katanya, bersama Pakatan Rakyat akan memberikan suntikan baru bukan sahaja kepada anak muda Sabah mengetengahkan bakat dalam dunia bola sepak, malah akan memberikan perkhidmatan yang jauh lebih baik berbanding UMNO dan Barisan Nasional yang ada pada hari ini.

“Kita tidak mahu lihat lagi, Sabah berada seolah-olah dianaktirikan oleh kerajaan yang sedia ada,” jelasnya.

Monday, December 12, 2011

Keluarga Mangsa ISA terima bantuan

TAWAU, 12 Dis: Dewan Pemuda PAS Tawau dan PAS Kalabakan hari ini menyampaikan sumbangan sebagai bantuan meringankan beban keluarga mangsa ISA, khususnya menjelang sesi persekolahan 2012 akan datang.

Ketua Pemuda PAS Kalabakan, Usman Madeaming berkata, sumbangan tersebut menunjukkan kebersamaan dewan itu dengan isteri-isteri tahanan ISA dalam memahami dan menyelami kesengsaraan keluarga tahanan yang ditinggalkan.

“Mereka yang ditahan ini merupakan sahabat kita. Pengajar kuliah di masjid dan surau sekitar Tawau.

“Kita terkejut dengan berita penahanan ini dan akan bersama keluarga mangsa untuk menyelami betapa perit dan pahitnya perjalanan seorang isteri yang ditinggalkan suami akibat kerakusan ISA,” katanya ketika berucap sempena penyerahan sumbangan tersebut di Pejabat PAS Tawau.

Dalam pada itu, Ketua Pemuda PAS Sabah, Lahirul Latigu, yang turut hadir menyatakan bahawa Pemuda PAS Sabah sentiasa komited dalam isu kebajikan keluarga tahanan ISA.

"Bukan baru sekarang, PAS menentang akta kejam ini. Tetapi dari dahulu lagi.

“UMNO sudah menghina rakyat Sabah dan Sarawak. Ucapan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) untuk memansuhkan ISA ialah pada Hari Malaysia, yakni hari dimana kemasukan Sabah dan Sarawak serta Tanah Melayu lalu membentuk sebuah negara bernama Malaysia," kata beliau.

Seramai 10 keluarga mangsa ISA tersebut menerima sumbangan yang disampaikan oleh Ketua Pemuda PAS Sabah, Lahirul Latigu. Turut hadir dalam majlis penyerahan sumbangan berkenaan ialah Ketua Penerangan Pemuda PAS Sabah, Mohd Julfikar Abd. Mijan; Setiausaha Pemuda PAS Sabah, Firdaus Fuad; ahli jawatankuasa PAS kawasan Tawau dan Kalabakan serta isteri dan ibu mangsa tahanan ISA.

Sunday, December 11, 2011

Papan tanda hospital sudah naik lalang

PENSIANGAN, 12 Dis: Janji manis sebuah kerajaan Barisan Nasional Sabah di daerah ini sudah tidak memberi apa-apa erti lagi.
 
Pembangunan sebuah hospital yang dijanjikan sejak beberapa tahun lalu kini umpama ‘hospital lalang’ yang tidak ubah mencekik duit dan nyawa rakyat.

Yang Dipertua PAS Pensiangan, Hisammuddin Sulaiman berkata, janji yang diberikan Barisan Nasional kepada penduduk kawasan Pensiangan dan Keningau ibarat ‘janji pilihanraya’ yang mencekik darah dan nyawa rakyat.

“Janji hospital 5 tahun dulu, hari ini janji lagi… nak buat klinik. Tanah yang rata dah tumbuh lalang. Bukan pendek-pendek… tapi datanglah tengok sendiri.

“Papan tanda pun dah nampak nak terbalik, macam beri signal BN akan terbalik macam itu,” katanya dalam nada yang marah.

Menurutnya, pendedahan yang dibuat oleh Ketua Daerah Nabawan, OKK Sayau dalam sebuah akhbar tempatan Utusan Borneo mengesahkan lagi mengenai ketidakupayaan sebuah kerajaan BN pimpinan Datuk Seri Musa Aman yang hanya berjanji tapi tidak melaksanakan.

“Bukan saya yang dedahkan maklumat ini. Rakyat Sabah sudah baca kenyataan ini yang dikeluarkan sendiri oleh rakyat Sabah,” jelasnya.

Kata Hisammuddin, keresahan rakyat terutama golongan ibu yang mengandung yang menghadapi kesukaran mendapat bantuan di saat kelahiran bayi.

“Bayangkan ibu-ibu yang ingin melahirkan bayi terpaksa mengharungi jalan berbatu sejauh di pedalaman Sook menuju ke hospital terdekat di Keningau.

“Ada kemungkinan tidak sempat tiba di hospital, anak sudah dilahirkan dalam perjalanan,” dakwanya.

Dalam perkembangan lain, beliau yang juga Ketua Penerangan PAS Sabah mendesak kerajaan negeri menyediakan prasarana yang mencukupi di Klinik Nabawan.

“Klinik ini bukan kekurangan kakitangan, malah ubat-ubatan yang diperuntukkan tidak mampu menampung keperluan penduduk,” katanya.

Tuesday, December 6, 2011

Hasil bumi: Pakatan manfaat untuk rakyat Sabah

KOTA KINABALU, 7 Dis: Dewan Pemuda PAS Sabah menyeru rakyat dinegeri ini sekali lagi berani membuat perubahan dalam Pilihanraya Umum 13 akan datang demi kebaikan dan kesejahteraan tanah air.

Ketua Penerangannya  Mohd Zulfikar Abd Mijan menyatakan dengan tegas bahawa kemajuan dan kekayaan negeri Sabah ini tidak setimpal dengan apa yang rakyat dapat daripada perkara tersebut.

Katanya, kemenangan rakyat Selangor dalam membentuk kerajaan Pakatan Rakyat seharusnya tidak dipandang sepi kerana banyak manfaat dan keadilan yang diperoleh.

“Pilihanraya 2008 lalu, menyaksikan perubahan drastik rakyat terhadap kepimpinan kerajaan. Selangor yang dahulunya dicengkam hebat Barisan Nasional, berjaya ditembusi Pakatan Rakyat.

“Ini kemenangan rakyat. Sudah berpuluh tahun rakyat Selangor mengimpikan kerajaan kebajikan dan hari ini, dapat dirasai semua rakyat Selangor,” katanya.

Menurut Zulfikar lagi, rakyat Sabah merupakan rakyat yang berani membuat perubahan. Sabah yang sebelum ini pernah dipimpin oleh beberapa parti sebelum Barisan Nasional bakal menyaksikan kejatuhan BN yang selama ini rakus mengaut keuntungan tanpa perhitungan besar buat Sabah.

“Rakyat Sabah ialah rakyat yang berani membuat perubahan. Justeru, saya mengajak sekali lagi untuk saya dan rakyat Sabah semuanya untuk membuat perubahan yang lebih besar,” ujarnya.

Beliau memberi contoh mengenai kekayaan Selangor yang dibuat pengagihan sama rata untuk kesenangan rakyatnya. Rakyat Selangor kini menikmati 20 meter padu air percuma, pemberian bantuan pendidikan kepada anak Selangor yang berjaya melanjutkan pelajaran di universiti dan sebagainya.

Melihat kepada perkara tersebut, beliau tidak menolak bahawa kekayaan hasil bumi yang dimiliki Sabah pada hari ini mampu memberikan yang jauh lebih baik buat rakyatnya.

“Apa kita tidak malu dengan pengumuman Sabah sebagai negeri termiskin di Malaysia? Kita marah dengan kerajaan Persekutuan yang hanya tahu mengaut keuntungan hasil bumi Sabah tapi tidak tahu bagaimana nak mengurus rakyat,” katanya.

Thursday, December 1, 2011

21 pasukan rebut Piala YDP PAS Pensiangan

PENSIANGAN, 2 Dis: Sebanyak 21 pasukan dalam Kejohanan Bola "Orang Kampung Geng Kita", terbuka liga sembilan sebelah sedang bertungkus lumus bagi merebut Piala Pusingan YDP PAS Pensiangan.

Perlawanan akhir kejohanan tersebut akan diadakan 10 Disember 2011 di Lugayan, Sook dekat sini.

Menurut Yang DiPertuanya Hishammuddin Sulaiman, tujuan program ini adalah bukan sahaja untuk memupuk budaya yang sihat dalam sukan bola sepak malah, menyemarakkan rasa kekeluargaan pemimpin bersama rakyat.

“Semua orang tahu apa itu bola. Sudah menjadi sebati bola menjadi kelaziman permainan anak muda,” katanya.

Menurutnya, PAS serta remaja dan anak muda kampung sekitar ingin terus semarakkan semangat anak-anak muda menyertai kejohanan ini.

Kata Hishammuddin, kejohanan yang julung kali diadakan di sekitar Sook mendapat sambutan yang menggalakkan dan akan diteruskan pada tahun-tahun akan datang.

“Kita melihat, masyarakat semakin mendekati kita. Dan, kita menerima mereka seperti keluarga sendiri tanpa mengira siapa pun dirinya,” ujarnya.

Sunday, November 27, 2011

PAS Sabah adakan lawatan muhibbah ke negeri Pakatan Rakyat

KUALA LUMPUR, 28 Nov: Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah (DPPNS) hari ini mengadakan lawatan kerja seminggu ke negeri-negeri yang dipimpin oleh kerajaan Pakatan Rakyat.

Lawatan yang berteraskan muhibbah dan semangat setiakawan itu akan mengadakan perbincangan dua hala mengenai tawaran Pakatan Rakyat, pilihan raya dan kerjasama ekonomi.

Ketua Penerangannya, Mohd Zulfikar Abd. Mijan berkata, PAS Sabah sedang berusaha membawa keluar rakyat di negeri itu dari kepompong kekuasaan dan kerakusan pemimpin di bawah kerajaan Barisan Nasional.

“Kita mengadakan lawatan ke negeri-negeri pimpinan Pakatan Rakyat ini, bukan sahaja akan mengambil manfaat keseluruhan peluang malah akan membincangkan juga mengenai apa tawaran kita selaku parti dalam komponen Pakatan Rakyat kepada rakyat Sabah,” jelasnya.

Menurutnya, generasi muda pada hari ini sudah mula sedar dengan suasana perubahan yang turut dirasai oleh rakyat Sabah yang berada di semenanjung.

“Kita melihat ini merupakan mood perubahan dalam diri rakyat, terutama golongan muda.

“Mereka tidak sekadar melihat dan menonton apa yang dihidangkan... tapi apa yang mereka lakukan ialah mencari sebanyak mana sumber isu untuk dijadikan pelengkap kepada sesuatu dakwaan,”  ujarnya.

Kata Zulfikar, lawatan ini juga secara langsung akan membincangkan persediaan menghadapi pilihanraya yang akan berlaku pada bila-bila masa.

“Kesediaan pilihanraya pada tahun ini merupakan sesuatu yang amat mencabar.

“Kita akan menggunakan seluruh medium penyebaran yang ada untuk menyebarkan apa sahaja maklumat yang benar mengenai Sabah dan Malaysia kepada rakyat,” katanya.

Katanya, beliau juga tidak menolak kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini bahawa pilihanraya pada kali ini merupakan yang paling sengit dalam sejarah pilihanraya umum.

“Pemuda akan memberikan saingan sengit kepada pasukan lawan dengan perlawanan satu lawan satu.

“Kita juga percaya, mereka tidak senang dengan kerja kita. Tapi, apa salahnya kalau kita bekerja dan bersaing secara sihat,” katanya yang juga Ketua Penerangan PAS Sepanggar.

Lawatan yang disertai Ketua Pemuda, Lahirul Latigu bersama kepimpinan PAS Sabah itu bermula di Selangor pada 26 Nov lalu hingga 29 Nov akan turut berkunjung ke Kedah (30 Nov – 1 Dis) dan berakhir di Kelantan (2 Dis – 3 Dis).

Perutusan Hijrah 1433




Ketua Penerangan Pemuda PAS Sabah, Sdr Mohd Zulfikar Abdul Mijan menyeru kepada semua masyarakat di Sabah agar melakukan satu perubahan pada PRU ke 13 akan datang sempena kedatangan hijrah 1433.

Zulfikar mewakili saf kepimpinan Dewan Pemuda PAS Sabah mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan salam maal hijrah 1433 kepada semua masyarakat di Sabah khususnya dan rakyat Malaysia umumnya.

Beliau menjelaskan, hijrah sebenarnya satu konsep yang seerti dengan perubahan dan ia boleh di aplikasikan kepada semua tanpa mengira latar belakang agama dan suku kaum di Sabah.

Kata Zulfikar, hijrah atau perubahan di Sabah ini adalah sesuatu yang mesti dilakukan memandangkan suasana pembangunan di negeri ini yang masih jauh ketinggalan dalam pelbagai aspek kehidupan.

Beliau mengambil contoh bagaimana umat Islam di Makkah ketika sebelum hijrah hidup dalam keadaan serba kemunduran samada dari sudut ilmu ataupun teknologi. Apabila hijrah berlaku, umat Islam menjadi kuat dan digeruni lawan serta mampu mencabar kuasa besar dunia ketika itu.

Jelas beliau lagi, hijrah bukan sahaja sambutan yang penuh meriah tetapi apa yang lebih penting iaitu perlaksanaan hijrah itu sendiri. Jika selepas 50 tahun merdeka masyarakat di Sabah masih banyak ketinggalan, maka sudah tentu perubahan mesti dilakukan.

Perubahan ini kata beliau sudah tentu memerlukan pengorbanan yang tidak sedikit daripada semua masyarakat di Sabah. Jika tidak, negeri ini tidak akan dapat menikmati kemakmuran pembangunan hasil daripada khazanah buminya yang kaya dengan sumber semulajadi.

Apa ertinya 50 merdeka tetapi tanah-tanah milik rakyat dirampas tanpa hati perut dan hasil kekayaan muka buminya dikaut oleh pemimpin-pemimpin Umno-BN yang tamak harta dan kuasa tanpa memperdulikan nasib rakyat, persoal Zulfikar.

Justeru kata beliau, PRU ke 13 ini adalah peluang terbaik masyarakat negeri ini untuk melakukan perubahan dengan menukar kerajaan Barisan Nasional kepada kerajaan Pakatan Rakyat.
Unit Media dan IT, Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah tidak bertanggungjawab dengan kehilangan atau kerosakan disebabkan maklumat di dalam laman blog ini

hari ini

asal bukan umno

asal bukan umno

keamanan

borang keahlian

senyum

senyum

ARTIKEL

 

pemuda pas sabah. Copyright 2011 All Rights Reserved