Friday, November 11, 2011

170 bukan Islam sertai DHPP

KOTA KINABALU, 12 Nov: Keserlahan dan keupayaan melihat PAS memimpin negeri menjadi tarikan dan dorongan seramai 170 orang bukan Islam dinegeri ini untuk menyertai Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP).

Naib Pengerusi DHPP Malaysia, S. Suria Narayanan berkata, jumlah tersebut akan bertambah dari semasa ke semasa selepas memperlihatkan keupayaan dan keseragaman pucuk kepimpinan PAS mentadbir dan mengurus negeri yang dikuasainya dengan cemerlang.

“Kita akan turun sekali lagi ke Sabah dan berkemungkinan besar lebih ramai orang bukan Islam untuk menyertai dewan ini.

“Kita mengalu-alukan mereka. Ini hasrat mereka, dan kita akan raikan,” katanya.

Kesemua 170 ahli DHPP dari kawasan Pensiangan tersebut telah menyerahkan borang permohonan kepada Setiausaha Agung PAS Malaysia, Dato’ Mustafa Ali.

Turut hadir dalam penyerahan borang tersebut ialah Pesuruhjaya PAS Sabah, Mohd Aminuddin Aling; Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah, Hamzah Abdullah, Ketua Penerangan PAS Sabah, Hishammudin Sulaiman; Setiausaha PAS Sabah, Awang Laiman; Ketua Pemuda PAS Sabah, Lahirul Latigu dan semua kepimpinan PAS Sabah.

Wednesday, November 9, 2011

PAS Sabah selar UMNO/ BN cuba mempolitikkan kenyataan DAP

KOTA KINABALU, 10 Nov: Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah (DPPNS) hari ini menyelar sikap pemimpin Barisan Nasional yang disifatkannya sebagai “nampak kuman diseberang laut, gajah didepan mata tidak dipandang”.

Ketua Penerangannya, Mohd Zulfikar Abd. Mijan (gambar) mendakwa, ramai pemimpin UMNO dan Barisan Nasional seolah-olah sudah buta mata dan telinga dan mati akalnya setelah mempolitikkan kenyataan Setiausaha Penerangan DAP, Tony Pua dalam sebuah akhbar berbahasa Cina baru-baru ini yang mengatakan hasrat DAP untuk mengurangkan bilangan penjawat awam sekiranya pembangkang memerintah kerajaan pusat.

Beliau turut menjelaskan bahawa, setiap keputusan mahupun hasrat yang dikeluarkan oleh individu dalam parti yang mewakili Pakatan Rakyat adalah bukan keputusan tepat. Sebaliknya, keputusan hanya diputuskan oleh ketiga-tiga parti dalam komponen pakatan tersebut.

“Ini hanya hasrat, perbincangan dan keputusan hanya berdasarkan kesepakatan ketiga-tiga parti dalam Pakatan Rakyat,” katanya.

Menurutnya, tiga parti utama yang bergabung dalam Pakatan Rakyat merupakan intipati utama yang harus menjadi prioriti berdasarkan setiap keputusan yang bakal diambil.  

“Janganlah bila ada orang dalam parti ini menyuarakan hasrat, terus nak kaitkan dengan keputusan pakatan… itu tidak betul,” jelasnya.

Sambil menyoroti kembali pendedahan penindasan terhadap hampir 1,000 anggota apprentices Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), beliau mendakwa bahawa kerajaan UMNO/ BN sebenarnya sudah lama mempelopori penindasan dan penghinaan penjawat awam.

“DAP belum perintah Malaysia pun lagi. UMNO/ BN ni dah perintah lama lebih 50 tahun, tapi isu ni pun dia nak sebarkan. Apa kes dengan isu pemberhentian 1,000 anggota perintis TLDM itu? ujarnya.

Pada 26 Oktober lalu, Pemuda PAS Sabah telah melontarkan cabaran kepada Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi selaku Menteri Pertahanan bagi menjawab persoalan dan perkaitan berbangkit berhubung penindasan anggota apprentices yang didakwanya diberhentikan tanpa suara hak dan pembelaan.

Walaubagaimanapun, lontaran cabaran tersebut sehingga ke hari ini tidak diendahkan oleh pihak berkenaan dan mendakwa penindasan tersebut merupakan peristiwa benar berlaku.

Kenapa sampai sekarang tidak ada suara-suara pemimpin TLDM dan kementerian menjawab isu ini? Apakah takut sekiranya isu ini benar?, ujarnya lagi.

Pemuda PAS Sabah sedia bawa suara rakyat pelbagai kaum

KOTA KINABALU, 10 Nov: Keunikan negeri Sabah yang terdiri daripada pelbagai kaum dan suku merupakan satu anugerah yang tidak ternilai. Faktor georafi dan demografi yang timbul tidak sama sekali mematahkan semangat Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah (DPPNS) untuk bergiat cergas dan aktif ditengah-tengah lautan manusia.

Ketua Penerangannya Mohd Zulfikar Abd. Mijan (gambar) berkata, PAS sudah mula dikenali oleh semua lapisan masyarakat Sabah tanpa mengira kaum dan keturunan.

“PAS sudah mula diminati oleh golongan remaja dan anak muda. Masuk lah ke kampung-kampung sejauh pedalaman di Keningau, PAS sudah mula dibicarakan di bibir rakyat,” jelasnya.

Menurutnya, pendedahan isu penjualan pulau Sabah yang didedahkan oleh PAS baru-baru ini telah mula membuka mata masyarakat Sabah yang sudah mula sedar peranan PAS yang dibawa hanyalah untuk kemudahan dan kemajuan rakyat. PAS Sabah terutama katanya, bukan lagi hanya berkisar dipepenjuru masjid dan surau serta disebalik dinding-dinding konkrit malah sudah menjangkaui masa dan setiap sudut pepenjuru di jajahan negeri Sabah.

“Kita tidak sekadar mampu nak kendali program-program keagamaan sahaja. PAS sudah tembusi masjid dan surau… PAS juga telah berjaya menguasai setiap sempadan negeri Sabah,” dakwanya ketika ditemui di Pejabat Pemuda PAS Sabah.

Ketika ditanya mengenai kemampuan Pemuda PAS untuk menjadi teras dan keutamaan suara rakyat, beliau menjawab bahawa PAS Sabah sudah bersedia untuk mewakili golongan sasar seperti golongan belia dan anak muda juga termasuk dengan mana-mana kaum sebagai generasi pelapis bagi mengetengahkan isu dan rintihan mereka.

“PAS Sabah akan menjadi dominan dan penyebar rintihan mereka. Sudah lama mereka ini disisihkan oleh pembangunan Barisan Nasional tanpa kerelaan mereka.

“Kita mampu membawa suara rakyat ke persada politik. PAS bukan politik semata, kerana lahirnya PAS adalah mewakili suara dakwah dan tarbiyah,” ujarnya.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan terdapatnya unsur fitnah yang dibawa golongan tertentu yang berasa terancam setelah melihat kemajuan perjuangan PAS di bumi Sabah.

“Saya memperingatkan bahawa masyarakat Sabah supaya jangan mudah untuk mempercayai berita-berita negeatif terhadap PAS di sini. Itu mereka yang merasakan dirinya sudah terancam kuasanya apabila berhadapan dengan PAS,” katanya.

Jalan Sinua sesuai untuk laluan kereta kebal

KENINGAU, 10 Nov: PAS Kawasan Pensiangan hari ini melahirkan rasa kecewa dan sedih terhadap Kementerian Pembangunan Luar Bandar yang lewat menyiapkan projek naik taraf jalan Sinua dekat Sook, Keningau.
                                                  
Yang DiPertua PAS Kawasan Pensiangan, Hishammudin Sulaiman mendakwa pihaknya amat kecewa dengan sikap kementerian terbabit kerana lewat menyiapkan naik taraf jalan berkenaan yang hanya sesuai untuk kenderaan kereta kebal sahaja.

“Kami berasa kecewa dan sedih kerana rakyat melalui jalan yang tidak berturap yang sesuai dilalui untuk laluan kereta kebal,” jelasnya.

Menurutnya, kesan balingan batu yang jelas dilihat dipapan tanda projek berkenaan juga membuktikan bahawa kemarahan rakyat sudah mencapai kemuncak.

“Ini merupakan kesan balingan batu, kesan kemarahan rakyat terhadap jalan yang tidak dibina dan pembangunan yang dibuat oleh Barisan Nasional,” katanya.

Dalam perkembangan lain, PAS Pensiangan juga menyumbang sebanyak 40 kepingan zink kepada Kg. Sinaron, Terusmadi untuk digunakan bagi pembangunan surau di kampung tersebut.

Turut hadir memberikan sumbangan tersebut ialah Ahli Jawatankuasa Dewan Pemuda PAS Selangor, Husni Zaim Mohmadan dan seluruh pimpinan PAS Kawasan Pensiangan.

Monday, November 7, 2011

PAS sambut baik pemansuhan PPSMI

KOTA KINABALU, 8 Nov: Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah (DPPNS) menyambut baik hasrat Kementerian Pelajaran untuk memansuhkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Ketuanya, Lahirul Latigu berkata, langkah pemansuhan tersebut dianggap wajar  apabila memperlihatkan keadaan masyarakat luar bandar terutama kawasan pedalaman Sabah yang begitu daif dari struktur bahasa dan kemudahan yang banyak mempengaruhi potensi penggunaan PPSMI tersebut

“Keadaan di Sabah terutamanya, boleh dinilai secara mudah. Bagaimana kita mahu meneruskan PPSMI ini sedangkan pelajar-pelajar luar bandar masih lemah penguasaan bahasa Inggeris dan kepakaran guru-guru menguasai PPSMI pun dilihat kurang.

“Lihat sahaja di kawasan pedalaman Sabah yang mana bukan sahaja keadaan sekolah yang usang, malah kemiskinan juga menghantui proses PPSMI tersebut,” katanya.

Beliau juga tidak menolak masih ramai guru-guru terutama dikawasan pedalaman yang bukan sahaja berhempas pulas mendidik pelajar-pelajar pedalaman, malah terpaksa juga melaksanakan pengajaran dua subjek berkenaan dalam dwi bahasa.

“Kita percaya, masih ramai dikalangan guru-guru yang terpaksa menggunakan dwi bahawa dalam proses pembelajaran dua subjek berkenaan. Ini sekaligus menyebabkan bebanan yang terpaksa ditanggung oleh guru-guru semakin bertambah,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Peneranganya Mohd Zulfikar Abd. Mijan berkata, Menteri Pelajaran harus mengotakan janjinya bagi memansuhkan PPSMI yang berkuatkuasa tahun 2012.

PAS Sabah sumbang 11 ekor lembu

KOTA KINABALU, 8 Nov: Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah (DPPNS) menyumbang 11 ekor lembu untuk dikorbankan sempena Aidiladha tahun ini.

Sumbangan tersebut telah disalurkan ke seluruh Sabah, antaranya Keningau (4 ekor), Putatan (2 ekor), Tawau (2 ekor) ,Sepanggar (1 ekor), Kota Belud (1 ekor) dan Beaufort (1 ekor).

Ketuanya Lahirul Latigu berkata, hasil daging korban akan diagihkan ke kawasan sekitarnya untuk dinikmati oleh seluruh masyarakat setempat.

“Sumbangan itu akan diagih-agihkan kepada masyarakat Islam setempat,” katanya.

Beliau, yang ditemui ketika mengedarkan sumbangan korban di Pulau Gaya bagaimanapun berharap agar seluruh masyarakat saling bekerjasama dan mengeratkan tali persaudaraan sepanjang masa.

“Setiap daripada kita harus memperkukuhkan tali persaudaraan dan bersikap toleransi dalam setiap tindakan. Amanah dan jujur dalam menguruskan hak rakyat mesti tersemat dalam diri,” jelasnya.
Unit Media dan IT, Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah tidak bertanggungjawab dengan kehilangan atau kerosakan disebabkan maklumat di dalam laman blog ini

hari ini

asal bukan umno

asal bukan umno

keamanan

borang keahlian

senyum

senyum

ARTIKEL

 

pemuda pas sabah. Copyright 2011 All Rights Reserved