Tuesday, October 25, 2011

Penindasan kerajaan terhadap apprentices TLDM dibongkar

KOTA KINABALU, 25 Okt: Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah (DPPNS) hari ini mendedahkan penyelewengan dan penindasan kerajaan Malaysia ke atas anggota apprentices Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM).

Menurut Ketua Penerangannya, Saudara Mohd Zulfikar Abd. Mijan, terdapat hampir 1000 anggota apprentices TLDM  dibawah Skim Apprentices Diploma Teknologi Marin (DTM) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai berasa teraniaya kerana tidak diberikan hak dan kebajikan kepada mereka dengan apa yang dijanjikan sebelum ini.

“Ramai anggota tidak diberikan pangkat Petter Officer (PO) dan gaji yang setimpal kepada mereka”, jelasnya kepada sidang media di Pejabat PAS Sabah, Kota Kinabalu pagi tadi.

Tambahnya, terdapat beberapa perkara mengundang rasa tidak puas hati mereka terhadap pengurusan TLDM dalam melaksanakan tanggungjawab kebajikan kepada anggota.

Beliau mendakwa, selain kesemua anggota berkenaan tidak mematuhi kontrak sebenar dalam perkhidmatan, mereka juga tidak diberikan peluang untuk mendapatkan  penjelasan kukuh berkaitan arahan pemberhentian yang lebih awal dari waktunya.

“Alasan yang digunakan oleh pihak TLDM untuk menyekat kenaikan pangkat dan menawarkan berhenti sukarela adalah tidak munasabah dengan menggunakan alasan kegagalan penyiapan kapal ronda generasi baru dan lebihan anggota dalam perjawatan.

“Pampasan berhenti awal juga tidak komprehensif kerana itu  kesalahan TLDM yang tidak mematuhi kontrak menyebabkan caruman LTAT diterima adalah sikit berbanding anggota lain,” ujarnya.

Beliau menjelaskan, kegagalan pihak TLDM menyiapkan 23 daripada 27 buah baki kapal perang menyebabkan graduan lepasan DTM terpaksa diserapkan ke unit-unit kecil bahagian TLDM dengan tidak mempraktikal secara teknikal berhubung pengajian mereka di UTM.

Penindasan skim berkenaan semakin ketara apabila kesemua mereka tidak diberikan latihan peralihan untuk mempersiapkan diri sebagai orang awam dalam masyarakat.

“Mereka tidak ditawarkan peralihan sekurang-kurangnya 2 atau 3 bulan untuk mempersiapkan diri menjadi orang awam sebagaimana anggota lain,” katanya.

Selain dari itu, kesemua anggota DTM terbabit juga seolah-olah dipaksa dan diugut untuk menandatangani borang perjanjian umpama akujanji untuk tidak mengambil apa-apa tindakan undang-undang terhadap pengurusan TLDM.

“Ini terang-terangan, pihak TLDM adalah dayus dengan memaksa mereka ini tandatangan borang perjanjian. Mereka dipaksa menandatangani bagi menutup salah laku pengurusan TLDM,” tegasnya.

Dakwa Zulfikar, walaupun perkara ini berlaku semasa pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak memegang tampuk Menteri Pertahanan, namun penyelewengan dan penindasan ini katanya, wajar dijawab oleh Datuk Seri Najib dan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi selaku Menteri Pertahanan ketika ini.

Zulfikar menambah, pihaknya akan meneruskan saman keatas pihak TLDM dan Kerajaan Malaysia atas dakwaan penyelewengan dan penindasan tersebut. Walaupun pihaknya sudah mengemukakan saman pemula pada Februari lalu, namun ditolak oleh peguam atas alasan yang tidak munasabah.

Dokumen penyelewengan tersebut juga diserahkan kepada Ahli Parlimen Jerai, Saudara Mohd Firdaus Jaafar untuk didedahkan di Parlimen.

Sidang media tersebut turut dihadiri Ahli Parlimen Jerai yang juga Pengarah Pengguna dan Alam Sekitar Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM), Saudara Mohd Firdaus Jaafar; Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah, Saudara Lahirul Latigu dan pimpinan pemuda PAS Negeri Sabah.

Pemuda PAS Sabah cabar Musa Aman

KOTA KINABALU, 26 Okt: “Jika benar Musa Aman orang Sabah, maka beliau dicabar memberi penjelasan terbaik buat warga Sabah”. Itulah cabaran Pemuda PAS Sabah kepada Kerajaan Negeri khususnya Datuk Seri Musa Aman dalam menangani isu berhubung penjualan tiga buah pulau Sabah yang diiklankan untuk dijual oleh sebuah laman web asing yang berpusat di Kanada.

Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah, Saudara Lahirul Latigu (gambar) berkata PAS mengambil pendirian serius berhubung isu berkenaan memandangkan ianya berkait mengenai kedaulatan dan keselamatan negara khususnya negeri Sabah pada masa kini dan akan datang.

“Kenapa pulau ini menjadi bahan dagangan, sedangkan ianya khazanah berharga kepada sesebuah negeri?”, soalnya kepada sidang media di Pejabat PAS Sabah, Kota Kinabalu, pagi tadi.

Kata Lahirul, PAS memberi tempoh tujuh hari untuk memberi peluang kepada Ketua Menteri, Musa Aman bagi menjawab semua persoalan dan isu berhubung penjualan pulau tersebut

“PAS juga akan membawa isu ini kepada kementerian yang bertanggungjawab serta Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk dibahaskan di Parlimen,” ujarnya.

Tambahnya, kempen “Selamatkan Pulau-Pulau Sabah” yang dilancarkan pada 16 Oktober lalu akan diteruskan ke seluruh Malaysia dengan kerjasama bersama Pemuda PAS Malaysia.

“DPPNS menyeru agar masyarakat turut sama beramai-ramai membantah aktiviti penjualan khazanah negara ini dengan menandatangani petisyen secara online di laman http://www.thepetitionsite.com/1/save-sabahs-islands,” jelasnya.

Kempen mengumpul tandatangan sedang giat diadakan di pusat-pusat membeli belah seluruh Sabah yang kini telah digerakkan oleh seluruh ahli Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah.

Beliau juga mendakwa, isu tanah di Sabah terutama di kawasan pedalaman yang gagal ditangani oleh kerajaan Sabah sebagai punca ketirisan kepimpinan kerajaan pimpinan Musa Aman dalam mentadbir Sabah dengan baik.

Sebaliknya, beliau menganggap sekiranya kerajaan Sabah telus dan ikhlas memperjuangkan hak rakyat maka golongan muda juga seharusnya diberikan hak pemilikan tanah.

Dalam sidang media itu juga, Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah, Saudara Mohd Zulfikar Abd. Mijan pula menempelak Musa Aman yang jangan hanya pandai memerintah tetapi memekakkan telinga apabila berhadapan isu kedaulatan.

“Jangan tahu perintah saja, tapi orang jual pulau dia buat-buat tidak tahu,” sinisnya.

Sidang media tersebut turut dihadiri Ahli Parlimen Jerai, Saudara Mohd Firdaus Jaafar dan kepimpinan Pemuda PAS Sabah.

Sunday, October 16, 2011

JUHAM tempelak kerajaan, gagal pertahan kedaulatan negara

KOTA KINABALU, 16 Okt: Jabatan Undang-undang dan Hak Asasi Manusia (JUHAM), Dewan Pemuda PAS Malaysia, hari ini menempelak kerajaan Malaysia kerana gagal menghalang kedaulatan dan khazanah Negara daripada terus dicerobohi.

Pengarahnya, Saudara Ahmad Zamri Asa’ad Khuzaimi berkata, kerajaan seharusnya mengambil pendirian tegas terhadap sebarang pertindihan, perebutan, penjualan serta apa jua aktiviti yang membabitkan kedaulatan negara.

“Kita merasa kecewa kerana kedaulatan dan khazanah negara terus dicerobohi tanpa campur tangan yang serius dari pihak kerajaan”, katanya semasa sidang media sempena pelancaran kempen Protes Barang Naik (Protes BN) dan kempen Selamatkan Pulau-pulau Sabah.

Beliau mendakwa bahawa, isu penjualan tiga buah pulau di Sabah adalah rentetan kegagalan pihak kerajaan menyelesaikan isu hak dan kedaulatan negara dengan baik.

Tambahnya, beliau juga menyokong penuh usaha Pemuda PAS Sabah dalam menyuarakan isu tersebut ke peringkat nasional.

Jual Pulau: Pemuda PAS Sabah lancar kempen

KOTA KINABALU, 16 Okt:  Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah (DPPNS) yang komited dan serius terhadap isu penjualan pulau Sabah ke pihak asing, hari ini melancarkan kempen Selamatkan Pulau-pulau Sabah.

Ketua Dewan Pemuda PAS Sabah, Saudara Lahirul Latigu berkata, Pemuda PAS Sabah bersama-sama dengan Jabatan Undang-undang dan Hak Asasi Manusia (JUHAM) Pemuda PAS Malaysia menganjurkan kempen bagi mengutip tandatangan rakyat Sabah bagi memberi sokongan membantah penjualan Pulau Montokud, Pulau Pandanan dan Pulau Mengalum.

“Pemuda PAS Sabah akan membuat satu petisyen bantahan untuk dihantar kepada Ketua Menteri selain membawa isu ini ke Parlimen untuk dibahaskan,” katanya pada satu sidang media sempena pelancaran kempen Protes Barang Naik (Protes BN) dan kempen Selamatkan Pulau-pulau Sabah di Pejabat PAS Putatan, Kota Kinabalu pagi tadi.

Beliau juga mendedahkan bahawa, masih terdapat hampir 500 buah pulau di Sabah yang masih tidak bernama.

Pada 30 September yang lepas, DPPNS beserta Pemuda DAPSY dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Sabah telah menghantar memorandum bantahan kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman.

Bagaimanapun memorandum tersebut hanya dapat diserahkan kepada Setiausaha kepada Setiausaha Politik Ketua Menteri berikutan ketiadaan Musa Aman ketika itu.

Sebelum ini, pendedahan oleh sebuah akhbar tempatan melaporkan bahawa ketiga-tiga pulau terbabit, Pulau Mengalum terletak di luar pantai Kota Kinabalu seluas 101 hektar ditawarkan pada harga US$18 juta, Pandanan dekat Semporna (empat hektar) US$2 juta dan Montukod, kira-kira satu kilometer di luar Kinarut (kira-kira tujuh hektar) dengan harga US$11.266 juta.

Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) Negeri Sabah, Datuk Osman Jamal berkata kerajaan negeri sememangnya mengetahui iklan penjualan tiga pulau berkenaan, tetapi tidak boleh menghalangnya kerana pulau-pulau berkenaan milik persendirian.

Pelancaran tersebut turut dihadiri Pengarah Pilihanraya Pemuda PAS Malaysia, Mohd Sany Hamzan; Pengarah Jabatan Hal Ehwal Sabah dan Sarawak, Saudara Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus; Pengarah Perpaduan Nasional dan Hubungan NGO, Pemuda PAS Malaysia, Yusni Md. Piah; Pengarah Jabatan Undang-undang dan Hak Asasi Manusia (JUHAM) PAS Malaysia, Ahmad Zamri Asa’ad Khizaimi; barisan peguam PAS Malaysia dan kepimpinan Pemuda PAS Sabah.

Saturday, October 15, 2011

Pemuda PAS Sabah lancar kempen Protes BN

KOTA KINABALU, 16 Okt: Ekoran bebanan kos hidup yang tinggi yang terpaksa ditanggung rakyat, Dewan Pemuda PAS Sabah mengajak seluruh warga di negeri ini bersama mereka dalam kempen membantah kenaikan harga barang.

Kempen Protes Barang Naik atau singkatannya Protes BN tersebut dilancarkan oleh Lajnah Hal Ehwal Sabah dan Sarawak, Dewan Pemuda  PAS Malaysia (DPPM) pagi tadi di Pejabat PAS Putatan, Kota Kinabalu.

Pengerusinya, Saudara Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus berkata, Protes BN adalah sebagai usaha memberikan kesedaran kepada masyarakat berhubung peningkatan kos hidup khususnya kenaikan harga barangan keperluan.

"Saya pasti bahawa semua rakyat merasai bebanan kenaikan harga barang ini,” katanya.

Selain itu, kempen tersebut juga akan diperluaskan ke seluruh pelusok negeri Sabah termasuk dengan mengadakan ekspo, road show dan penyebaran risalah.

Mengulas mengenai caj tambahan 6% terhadap pembelian tambah nilai perkhidmatan prabayar dan pek permulaan kad SIM  bagi semua syarikat telekomunikasi, Ahmad Kerdee memaklumkan kemungkinan besar caj tambahan tersebut akan berkuatkuasa awal tahun hadapan.

Sehubungan itu rakyat ujarnya diseru untuk bersama dalam usaha menyatakan rasa tidak puas hati mereka kepada kerajaan melalui kempen ini.

Turut hadir majlis pelancaran tersebut ialah Pengarah Pilihanraya Pemuda PAS Malaysia, Mohd Sany Hamzan; Pengarah Perpaduan Nasional dan Hubungan NGO, Pemuda PAS Malaysia, Yusni Md. Piah; Pengarah Jabatan Undang-undang dan Hak Asasi Manusia (JUHAM) PAS Malaysia, Ahmad Zamri Asa’ad Khizaimi; Ketua Pemuda PAS Sabah, Saudara Lahirul Latigu; barisan peguam-peguam PAS Malaysia, wakil Pemuda PAS Putatan dan ahli PAS Sabah.

Friday, October 14, 2011

Pemuda Pakatan Rakyat Sabah demo bantah penutupan jalan


KOTA KINABALU, 14 Okt: Pemuda Pakatan Rakyat (PR) di negeri ini menganjurkan demonstrasi bagi membantah penutupan jalan pintas ke Sabah Medical Center (SMC) dari Jalan Lintas susur masuk melalui Jalan Bersatu 1, petang tadi.

Demonstrasi berkenaan diketuai Pemuda DAP Negeri Sabah, Jenz Wong dan diadakan di lokasi berhampiran persimpangan Jalan Lintas-Jalan Bersatu 1, dekat sini.


Mereka berbuat demikian selepas mendapat keluhan pengguna jalan raya yang terpaksa melalui jalan utama untuk menuju SMC.


Kira-kira 50 pemimpin dan ahli parti-parti komponen PR menyertai demonstrasi yang bermula jam 3 petang tadi dan berakhir setengah jam kemudian.


Antara barisan kepimpinan yang hadir adalah  Ketua Pemuda PAS Sabah, Saudara Lahirul Latigu; Ketua Penerangan Pemuda PAS Sabah, Saudara Mohd Julfikar Abd Mijan; Pemuda DAP Negeri, Jenz Wong, wakil-wakil daripada Pemuda PAS Sabah, wakil Pemuda DAPSY, wakil Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan para penyokong ketiga-tiga parti.
 
“Pemuda PAS akan bersama-sama pemuda Pakatan Rakyat dalam memperjuangkan hak-hak akyat terutama yang melibatkan isu kemudahan untuk rakyat,” kata Lahirul Latigu.

Demonstrasi aman itu bersurai tanpa sebarang insiden tidak diingini berlaku.
Unit Media dan IT, Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah tidak bertanggungjawab dengan kehilangan atau kerosakan disebabkan maklumat di dalam laman blog ini

hari ini

asal bukan umno

asal bukan umno

keamanan

borang keahlian

senyum

senyum

ARTIKEL

 

pemuda pas sabah. Copyright 2011 All Rights Reserved